Monthly Archives: June 2010

Harga ayam boleh cecah RM10




ne 01.1 Harga ayam boleh cecah RM10

HARGA ayam boleh meningkat lebih tinggi daripada RM7 sekilogram menjelang musim perayaan dan cuti sekolah jika ia tidak lagi dikawal kerajaan. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Ayam mungkin jadi sajian golongan berkemampuan sahaja selepas ini jika keputusan kerajaan mengeluarkannya daripada menjadi barangan kawalan mendorong kepada lonjakan harga khususnya menjelang musim perayaan dan cuti sekolah.

Kebimbangan itu dikongsi oleh beberapa persatuan pengguna yang menjangkakan tidak mustahil harga ayam yang kini sekitar RM7 sekilogram boleh naik sehingga RM10.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, tindakan memansuhkan daging ayam sebagai barangan kawalan menjadi berita yang ditunggu-tunggu oleh peniaga.

“Jika keputusan itu kekal, maka kerajaan perlu ada mekanisme khas bagi memantau bekalan dan turun naik harga ayam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memansuhkan lesen runcit bagi ayam, besi (bar bulat keluli lembut) dan simen berkuat kuasa 15 Julai ini.

Tujuan langkah itu diambil adalah bagi mengelak ketirisan bekalan barangan kawalan ke sempadan negara.

Kebimbangan Jacob mengenai kenaikan harga ayam itu turut dikongsi oleh Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Shaani Abdullah.

Menurut beliau, isu ketidakstabilan harga ayam akan berlaku lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

“Bila pasaran yang menentukan harga, pemborong dan peniaga terdorong mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan lebih dan akhirnya pengguna menjadi mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Perunding Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Dr. Abdul Rahman Md. Salleh pula berpendapat, pasaran wajar dibiarkan untuk menentukan harga ayam tetapi pada masa yang sama kerajaan memantau di peringkat peruncit.

-kosmo

ManggaAd jana pendapatan




in 02.1 ManggaAd jana pendapatan

DARREN LEE (tiga dari kanan) bersama kumpulan berpengalaman yang diberi nama ManggaAd Team.


KECANGGIHAN era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah membuka ruang kepada para blogger bergiat aktif dalam alam siber.

Mereka tidak hanya menjadikan blog sebagai medium komunikasi dalam bentuk penulisan ataupun pengimejan malah memasarkan produk tertentu bagi menjana pendapatan.

Kini pemilik-pemilik blog mempunyai cara lebih mudah dan pantas untuk meraih pendapatan melalui blog mereka dengan menggunakan rangkaian iklan blog terbaru iaitu ManggaAd.

ManggaAd yang baru dilancarkan pada penghujung Mei lalu adalah kerjasama antara Kumpulan Utusan dan AdExcel, sebuah syarikat mempunyai kepakaran dalam bidang sosial media dan teknologi digital web 2.0.

Rangkaian iklan blog terbaru ini dikendalikan oleh mereka berpengalaman dari Utusan Media Sales (UMES), Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) dan Adexcel sendiri yang diberi nama ManggaAd Team.

Ketua Pegawai Eksekutif AdExcel, Darren Lee, berkata, ManggaAd memberi peluang kepada pemilik-pemilik blog untuk menjana pendapatan untuk kandungan blog mereka melalui kempen-kempen iklan dengan lebih berkesan.

“Selain daripada menjana pendapatan, kelebihan ManggaAd adalah blogger-blogger dapat berkenalan dengan blogger lain yang turut menggunakan rangkaian iklan blog terbaru ini.

“Ciri ini memberi peluang kepada blogger berkongsi pertalian untuk menjana lebih trafik ke laman mereka sekali gus meningkatkan interaksi,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Darren Lee menambah, ManggaAd dapat memainkan peranan sebagai rangkaian sosial untuk blogger-blogger mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat dan bertukar pendapat dengan pengguna lain.

Ujarnya, antara muka menarik dan mudah dikendalikan menjadi tarikan kepada mereka yang menggunakan produk terbaru di alam siber ini. ManggaAd turut mendapat sokongan syarikat akhbar berpengaruh di Malaysia.

“ManggaAd turut mengetengahkan medium iklan interaktif berbanding dengan iklan statik yang agak membosankan. Pendekatan tersebut dijangka dapat menarik lebih ramai orang untuk mengunjungi sesuatu blog dan meningkatkan lagi pendapatan.

“Penggunaan ManggaAd amat mudah dan pantas. Blogger-blogger ini hanya perlu mendaftar dengan tiga langkah mudah iaitu daftar akaun baru, aktifnya dan menggunakan widget kami di laman web atau blog mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Darren Lee menambah, pengiklan turut dapat menikmati faedah menggunakan ManggaAd kerana berupaya mendapat pendapat dan maklum balas dengan serta merta mengenai iklan dari pengguna Internet.

“Melalui pengiklanan sosial ini pengiklan dapat mengetahui trend terkini apa yang diinginkan pengguna Internet masa kini. Mereka tidak perlu lagi memikirkan untuk mengambil pakar-pakar pengiklanan yang mahal sekali gus menjimatkan kos pengiklanan.

“Pelbagai aktiviti akan diatur seperti pertandingan menawarkan hadiah-hadiah untuk menarik lebih ramai pengunjung menggunakan rangkaian iklan blog ManggaAd.

Sementara itu, Editor, Projek Khas (Online) UKSB, Mohd. Rosli Manah, berkata, pengguna rangkaian iklan blog ManggaAd boleh memilih menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Katanya, setakat ini ManggaAd berjaya menarik lebih 1,000 pengguna sejak ia dilancarkan dan dijangka lebih ramai akan menggunakan perkhidmatan terbaru tersebut.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai rangkaian iklan blog ManggaAd boleh melayari laman web ManggaAd.com.

-kosmo

Robot Piala Dunia 2010




me 02.1 Robot Piala Dunia 2010


Kejohanan bolasepak Piala Dunia telah terasa bahangnya dari Afrika Selatan dan perlawanan antara pasukan sudah memasuki minggu kedua. Peminat bola sepak di seluruh dunia telah mula merasai kehangatan acara bola sepak empat tahun sekali itu.

Begitu juga bagi peminat robot, mereka juga tidak ketinggalan memeriahkan sambutan kejohanan tersebut, namun ia dilakukan dengan cara mereka yang tersendiri.

Robot bola

DI Hanover, Jerman, para peminat robot menyambut ketibaan kejohanan bola sepak Piala Dunia dengan menghasilkan empat robot humanoid yang berkebolehan untuk bermain bola sepak.

Empat robot itu yang tingginya kira-kira 60 sentimeter dan dinamakan Rajesh, Penny, Sheldon serta Leonard merupakan sebahagian pasukan B-Human yang memenangi kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Robot di Austria pada tahun lalu.

Robot-robot itu mempamerkan kehandalan pada satu perlawanan pertunjukan di CeBIT iaitu pameran teknologi tinggi terbesar di dunia.

SOCCER BOT

Soccers bot merupakan antara ciptaan robot bermain bola untuk pertandingan

RoboGames yang menghimpunkan hampir 70 peserta daripada seluruh dunia.

Dicipta menyerupai manusia (humanoid) ia memiliki ciri-ciri asas seperti pemain bola sepak iaitu menendang.

Bersaiz lebih besar daripada sebiji bola tenis, ia mampu melakukan pelbagai pergerakan secara sendiri tanpa memerlukan kawalan daripada manusia.

Selain bermain bola sepak, mereka juga turut memperkenalkan robot untuk pertempuran, Sumo Bots, dan juga android yang mampu melakukan aksi kungfu.

Vision Vgos

Vision Vgos dicipta bagi menyertai pertandingan RoboCup, pertandingan robot humanoid bermain bola diadakan di Suzhou, China.

Setinggi 445 milimeter, ia memiliki 21 sambungan yang bebas bergerak dan diselaputi gentian yang lembut bagi menyerap hentakan.

Rekaan robot ini telah diilhamkan oleh Tomotaka Takashi dari Kyoto, Jepun.

Digelar sebagai Pasukan Osaka, mereka telah mencipta robot yang mampu bermain bola sejak 2003 lagi dan telah menjuarai beberapa siri pertandingan RoboCup.

Hoap-3

Hoap- 3 merupakan sebuah lagi robot yang boleh bermain bola sepak ciptaan Fujitsu Automation dan telah memenangi Anugerah Robot pada tahun 2007.

Ia mampu menendang dan mengesan pergerakan bola di samping mampu menangkapnya namun ia masih perlu dikawal oleh manusia.

Walaupun Hoap-3 masih dikawal menggunakan wayar, namun lihat sahaja pada wajahnya yang memiliki mata dan mulut yang luas memudahkan ia dikawal dan menentukan sasaran iaitu menembusi gawang lawan.

-utusanmalaysia

Patung lilin Ronaldo




st 03.1 Patung lilin Ronaldo

HASIL kerja teliti termasuk solekan pada sudut-sudut sukar seperti mata.

NAMANYA cukup sensasi dalam arena sukan bola sepak sehingga mendapat perhatian luar biasa daripada peminat. Dengan pengiktirafan melalui pelbagai anugerah termasuk Pemain Terbaik Dunia FIFA 2008, bukanlah menghairankan Cristiano Ronaldo menjadi rebutan banyak kelab antarabangsa.

Menjadi pemain tambatan dan kesayangan Manchester United satu ketika dahulu, kelab tersebut bagaimanapun melepaskan Ronaldo apabila Real Madrid mahu membelinya dengan bayaran AS$132 juta (RM431 juta).

Perpindahan pada tahun 2009 itu juga, meletakkan Ronaldo sebagai pemain paling mahal di dunia bahkan bayaran gaji tahunannya bersama Real Madrid dikatakan mencecah RM64 juta.

Dengan status bintang bola sepak terbaik dan termahal dunia, Muzium Madame Tussauds di London memilih untuk menghasilkan patung lilin Ronaldo sebagai pengiktirafan kepada pemain itu.

Idea sebenar patung lilin Ronaldo dilakukan pada bulan ini juga bersempena dengan Piala Dunia 2010 yang kini sedang meriah berlangsung di Afrika Selatan. Pameran patung lilin Ronaldo boleh disaksikan orang ramai terutama peminatnya sejak 9 Jun lalu.

st 03.2 Patung lilin Ronaldo

PATUNG lilin Ronaldo dihasilkan Muzium Madame Tussauds di London sebagai penghormatan kepada pemain itu.



Menurut jurucakap Muzium Madame Tussauds, Liz Edwards tempoh masa menyiapkan patung Ronaldo memakan masa selama empat bulan. Dari segi kos, perbelanjaan yang digunakan pula mencecah RM711,225 (AS$218,000).

Kedudukan patung lilin Ronaldo turut dibarisi oleh pemain tersohor lain seperti David Beckham dan kapten pasukan Liverpool, Steven Gerrard.

“Kedudukan patung lilin menunjukkan Ronaldo berada dalam keadaan seperti mahu membuat sepakan percuma dengan memakai jersi baru Portugal. Memandangkan Piala Dunia merupakan festival paling mendapat sambutan jadi kami mengalu-alukan kedatangan pemain yang cukup berbakat untuk dijadikan lambang kebesarannya.

“Pihak muzium menunaikan permintaan orang ramai yang mahukan patung lilin Ronaldo sebagai daya tarikan,” Edwards.

st 03.3 Patung lilin Ronaldo

SEORANG jurusolek patung lilin melakukan kerja-kerja terakhir menyiapkan patung Ronaldo.

Tidak hanya hebat di atas padang, bergelar jejaka kacak, Ronaldo juga seorang pencinta fesyen. Maka tidak hairanlah Ronaldo mengidentifikasikan stail di butik miliknya CR7.

Kejayaan pembukaan butik tersebut mendapat sambutan hebat terutama dalam kalangan peminat Ronaldo yang meminati gaya macho jejaka itu.

Menyentuh gaya rambutnya, Ronaldo memberitahu dia tidak banyak mengubah trend rambut kerana gemar berpotongan pendek. Ini kerana rambut pendek memudahkannya untuk bergerak aktif di padang.

Lagipun, apabila berambut panjang cara penjagaannya amat rumit. Ia memerlukan terapi mengikut jadual supaya tidak mudah rosak.

“Rambut pendek mudah diurus. Sapu sahaja gel ia sudah nampak kemas dan segak,” beritahunya.

-kosmo

Kereta termahal di dunia




me 01.1 Kereta termahal di dunia

Hanya terdapat empat model Bugatti Type 57SC Atlantic di dunia dan kereta ini dijual dengan harga kira-kira RM130 juta.



MEMILIKI kereta mewah atau kereta idaman sememangnya suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan naluri dan keinginan manusia terutama golongan lelaki.

Maka tidak hairanlah jika kita dapat melihat ramai daripada pemilik kereta yang sanggup mengubahsuai kereta agar kelihatan seperti kereta sports yang menjadi idaman mereka.

Tetapi ada satu lagi golongan jutawan yang hobi mereka mengumpul kereta-kereta lama atau klasik dan sanggup membelanjakan wang berjuta-juta dollar untuk memiliki barangan antik yang diminati mereka.

Di California, Amerika Syarikat, baru-baru ini, sebuah kereta antik BUgatti Atlantic Model 1936 telah dijual dengan harga antara RM100 juta dan RM130 juta.

Kereta Bugatti jenis 57SC itu boleh dianggap sebagai antara kereta tercantik pernah dicipta dan pernah memenangi Anugerah Pebble Beach Concours d’Elegance 2003.

Kereta yang memecah rekod jualan kereta paling mahal di dunia itu mempunyai reka bentuk Perancis dan diperbuat daripada aluminium pada badannya.

Siapa pembeli dan jumlah sebenar yang dibayar untuk mendapatkan kereta itu tidak didedahkan oleh pelelongnya Gooding & Company, bagaimanapun, dipercayai kereta itu dijual kepada Muzium Automotif Mullin di California milik Peter Mullin.

Mullin merupakan Pengerusi Emeritus of MullinTBG dan pengasas serta pengerusi syarikat M. Financial yang mempunyai hobi mengumpul kereta-kereta antik keluaran negara Perancis dan ditempatkan di muzium automotifnya.

Hanya terdapat empat model Bugatti Type 57SC Atlantic di dunia dan salah satu daripadanya dimiliki oleh Ralph Lauren, manakala kereta yang dijual dengan harga tertinggi di dunia itu dimiliki oleh mendiang Dr. Peter Williamson yang juga merupakan pengumpul koleksi kereta Bugatti.

Jualan kereta tersebut telah memecah rekod jualan lelong yang dilaksanakan oleh Goodong & Company sebelum ini selepas berjaya menjual kereta Ferrari 250 Testa Rossa 1967 dengan harga AS$12.2 juta di Maranello, Itali pada 2009.

Kereta James Bond dilelong

Sementara itu, kereta Aston Martin DB5 yang digunakan oleh James Bond dalam filem Goldfinger dan Thunderball akan dilelong pada 27 Oktober ini di London dengan anggaran nilai melebihi RM16 juta.

Menurut syarikat pelelong RM Auctions, ini adalah kali pertama kereta Aston Martin DB5 keluaran 1964 yang digunakan oleh Sean Connery dalam filem 007 itu ditawarkan untuk dibeli oleh orang awam.

Apa yang menarik, kereta itu bukan sahaja mengekalkan gaya dan kejuruteraannya tetapi juga peralatan serta gajet asal seperti cermin kalis peluru, nombor pendaftaran khas JB007, alat pengesan, panel bumbung boleh dibuka, pelepas asap dan minyak pelicin.

Pada 1969, pemilik stesen radio Philadelphia, Jerry Lee berjaya menyakinkan Kilang Aston Martin Lagonda untuk menjualkan kereta itu kepadanya dengan harga RM39,000.

Hasil lelongan kereta itu nanti akan dimasukkan kepada Jerry Lee Foundation, sebuah pertubuhan yang menjalankan aktiviti mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan pendidikan.

Kali terakhir kereta model seperti itu dijual di pasaran ialah pada 2006 apabila dibeli oleh seorang pembeli persendirian dengan harga RM6.9 juta, bagaimanapun Aston Martin itu tidak pernah digunakan untuk lakonan dalam filem James Bond.

-utusanmalaysia