
SEBAGAIMANA kemajuan fesyen pakaian orang dewasa, fesyen kanak-kanak juga mengalami perubahan dari segi rekaan, warna, corak dan fabrik. Paling penting, kanak-kanak cepat membesar, menjadikan bidang perniagaan berkenaan bergerak lebih pantas.
Permintaan yang menggalakkan bagi pakaian kanak-kanak mendorong Fadzillah Omar atau selesa dengan panggilan Su menyertai perniagaan itu sejak dua bulan yang lalu. Lebih bijak dia berniaga melalui blog iaitu di www.eimaancollection.blogspot.com.
Menurut Su, perniagaan pakaian kanak-kanak melalui blog memberi keuntungan kepada peniaga dan pelanggan. Ini kerana barangan didapati daripada pembekal pada harga borong menjadikan harga jualan jauh lebih rendah.
“Saya memilih untuk menjual pakaian melalui blog kerana saya tidak perlu mengeluarkan modal untuk membuka kedai dan mempamerkan pakaian yang terlalu banyak untuk menarik perhatian pelanggan.
“Selain itu, pelanggan juga dapat berjimat kerana mereka tidak perlu keluar untuk membeli pakaian. Mereka juga dapat membeli pakaian berjenama dengan harga jauh lebih murah,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
Su memberitahu, dia memilih pakaian kanak-kanak kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan berbanding baju remaja dan dewasa.
“Kanak-kanak cepat membesar dan ibu bapa sering membeli pakaian baru mengikut pembesaran anak-anak. Ia perniagaan yang menguntungkan,” katanya yang menjual pakaian berjenama Zara, Mark and Spencer, Polo, Baby Gap dan lain-lain.
Katanya lagi, sejak memulakan perniagaan blog dua bulan lalu, dia mempunyai capaian pengunjung sekurang-kurangnya 200 orang sehari dan hampir mencecah 300 orang sehari setiap kali menjalankan promosi.
![]() |
|
LAMAN blog Su dilayari oleh hampir 200 pengguna sehari.
|
“Dalam masa sebulan saya dapat menjana pendapatan sehingga empat angka daripada perniagaan blog sahaja. Secara langsung pendapatan tambahan ini dapat menambah keselesaan hidup saya dan keluarga.
“Namun, saya belum bercadang untuk menjalankan perniagaan blog ini secara sepenuh masa kerana sayang untuk meninggalkan pekerjaan saya sekarang,” jelas pengurus pentadbiran sebuah syarikat swasta itu.
Sokongan keluarga
Su bertuah kerana perniagaan blognya disokong penuh oleh suami, Mior Ashraf Norul Bashah, 32, serta anak-anak, Mior Danial Afiq, 6 dan Nur Eimaan Nashwa, 5, yang bertindak sebagai model pakaian kanak-kanak di blognya.
“Saya dan suami masing-masing bekerja tetapi kami membahagikan tugas masing-masing untuk melancarkan perniagaan ini tanpa mengabaikan tanggungjawab ke atas anak-anak.
“Selalunya, saya akan mengambil pesanan pelanggan dan mendapatkan bekalan dengan pembekal manakala suami pula akan menghantar tempahan kepada pelanggan menggunakan pos ekspres atau pos laju,” katanya.
Selain itu, mereka juga mengambil kesempatan membawa anak-anak bermain di taman dan dalam masa sama menjalankan sesi bergambar dengan baju-baju yang ingin dipamerkan di dalam blog.
“Bagi pakaian kanak-kanak berumur lingkungan umur lima tahun, saya akan gunakan anak-anak saya sendiri sebagai model, malah mereka juga teruja dan seronok melakukannya.
![]() |
|
MIOR DANIAL dan Nur Eimaan turut membantu Su dalam perniagaan blog dengan menjadi model.
|
“Selain itu, ketika mengemaskini blog di rumah, saya masih dapat menemani anak-anak mengulangkaji pelajaran dan makan bersama,” katanya yang banyak menggunakan masa rehatnya di pejabat untuk melayari blog.
Dalam pada itu, Su memberitahu dia juga menjual pakaian dalam blog secara runcit dan borong pada harga berbeza. Pelanggan yang membeli pada harga tertentu juga dikecualikan daripada membayar kos penghantaran.
“Ada juga blogger lain yang membeli pakaian di blog saya secara borong dan menjual semula di blog mereka. Ini menunjukkan perniagaan blog mempunyai potensi yang besar,” katanya.
-kosmo

