Wakaf al-Quran melalui SMS




dn 05.1 Wakaf al Quran melalui SMS

Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan mushaf al-Quran yang akan diserahkan kepada wakil Kemboja, Soleh Abu Bakar (kanan), Ana Iqbal Ramli dari Aceh (dua dari kanan) dan Mohamad Yusof Kulloma dari Nigeria (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan di Auditorium Masjid Putra di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 11 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat negara ini bersama-sama memberikan sumbangan bagi menjayakan program wakaf al-Quran untuk dunia melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri berkata, program yang dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Yayasan Restu itu adalah bagi membantu masyarakat Islam minoriti di beberapa negara untuk turut sama memiliki naskhah kitab suci itu dan terjemahannya dalam bahasa masing-masing.

‘‘Kerajaan berharap setiap lapisan masyarakat negara ini dapat menterjemahkan komitmen mereka dengan menyumbangkan dana kewangan bagi menjayakan program itu sekali gus menyemarakkan aktiviti ihya Ramadan.

‘‘Dana kewangan tersebut akan digunakan bagi membantu masyarakat minoriti Islam di seluruh dunia khususnya masyarakat Islam di Kemboja, China dan Russia bagi mendapatkan bekalan naskhah al-Quran dan tafsirannya dalam bahasa masing-masing,” kata beliau pada pelancaran program berkenaan di Masjid Putra di sini hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Turut hadir pengerusi bersama program itu, Lt. Jeneral Datuk Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abd. Latiff Mirasa.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan 5,000 naskhah al-Quran kepada ATM yang diwakili oleh Azizan manakala 5,000 naskhah lagi kepada Kementerian Dalam Negeri yang diwakili oleh Abu Seman.

Naskhah al-Quran bernilai hampir RM1 juta itu merupakan sumbangan Yayasan Taqwa.

Perdana Menteri berkata, inisiatif yang dilakukan melalui program tersebut dapat menunjukkan kepada dunia Islam bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa terkehadapan dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kemasyarakat sejagat.

‘‘Kita juga akan dilihat sebagai sebuah negara yang peka dengan penderitaan negara-negara Islam yang lain,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau difahamkan pada tahun lepas Kementerian Pertahanan (Kementah) telah mendapat sumbangan lebih RM1 juta daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mushaf al-Quran telah diedarkan kepada para pegawai kanan dan berpangkat kolonel ke atas.

‘‘Jadi, saya meminta agar keuntungan LTAT dapat terus dijadikan sebagai sebahagian amal jariah dan mudah-mudahan pegawai berpangkat kolonel ke bawah akan memperoleh mushaf yang sama pula tahun ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang kini dapat menyelaraskan program wakaf al-Quran di peringkat dunia dan berharap ia dapat menjadi satu acara tahunan setiap kali Ramadan.

‘‘Namun, jangan dilupa ada juga di kalangan umat Islam di Malaysia yang belum memiliki mushaf al-Quran dan saya harap Kagat dan Kementah dapat mengedarkannya ke surau-surau, masjid dan pusat-pusat tahfiz serta individu yang belum memilikinya,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri akan hadir ke Kementerian Pertahanan pada 18 Ogos ini bagi menerima sendiri sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat untuk menjayakan program wakaf al-Quran itu.

‘‘Naskah al-Quran yang diwakaf itu akan disampaikan kepada umat Islam minoriti di luar negara melalui atase-atase pertahanan atau kedutaan Malaysia di luar negara,” katanya.

Menurutnya, program yang julung kali dikendalikan oleh ATM itu dijalankan melalui kerjasama tiga firma telekomunikasi iaitu Celcom, Maxis dan DIGI bagi menerima sumbangan melalui SMS daripada para penderma.

‘‘Pada kali ini syarikat telekomunikasi tersebut tidak mengenakan sebarang caj bagi sumbangan tersebut kecuali bayaran bagi kadar laluan.

‘‘Program sumbangan melalui SMS itu berlangsung mulai hari ini sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada 17 November ini,” katanya.

Program yang menawarkan sumbangan dari RM1 hingga RM10 boleh dilakukan dengan menaip wakaf 1 bagi RM1 atau seterusnya sehingga wakaf 10 (RM10) dan kemudian dihantar ke 32728.

Sumbangan juga boleh terus disalurkan ke Bank Islam Bhd. atas nama Yayasan Restu Wakaf dengan nombor akaun; 14032010021452.

/// utusanmalaysia ///

178 total views, 1 views today

Comments

  1. Amin Affendi Alhaj says

    Assalamualaikum…

    Tahniah kepada semua tenaga pengurusan dan pihak2 terlibat dalam melaksanakan amal jariah / wakaf Al Quaran yang julung2 kali di anjurkan di Malaysia. Semuga usaha murni dan jihad ini di berkati Allah SWT dan dikurniakan sebesar2 ganjaran. Disyorkan aktibiti ini dapat dikembang, diterus dan aktifkan di seluruh dunia. Insaallah.

      • rozinah ariffin says

        Satu-satunya usaha yg terlalu murni untuk seluruh umat islam berbakti melalui AlQuran. Melalui usaha ini dapatlah seluruh umat islam menguasai dan membaca AlQuran tanpa merasai keupayaan diri untuk memilikinya tidak berupaya. Saya menyokong sepenuhnya merealisasikan usaha murni ini. Terima Kasih kepada Kerajaan Malaysia yg berjiwa Perihatin. Semoga ALLAH memberkati usaha murni ini.

  2. surya says

    ada banyak santri-santri yang sedang berusaha belajar dan menghafalkan Alquran, namun mereka kesulitan dengan quran yang kurang, apa ada yang bisa membantu menyumbangkan ALQURAN untuk mereka?????

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam