BlackPad lawan iPad




me 01.1 BlackPad lawan iPad

Ketua pegawai eksekutif RIM, Jim Balsillie bersama dengan replika BlackBerry Bold ketika pelancarannya, dua tahun lepas dan kini syarikat itu ingin memasuki pasaran komputer tablet seperti Apple.

POPULARITI iPad sebagai komputer tablet atau komputer sesentuh sememangnya tidak dapat dinafikan, terutama di kalangan penggila barangan keluaran Apple.

Sebagai contoh, walaupun produk itu belum dipasarkan secara rasmi di negara ini tetapi telah ramai yang memilikinya dengan membeli di negara luar.

Sememangnya jika ditanya apakah kegunaan penting iPad, mungkin ramai yang akan tersenyum sambil menyatakan ‘ia sekadar trend.’

Komputer boleh sentuh ini walaupun mencerminkan gaya masa depan tetapi ia kurang popular kerana tidak praktikal, sangat sensitif dan tidak sesuai untuk aplikasi pejabat.

Tidak ramai daripada kita yang selesa untuk menulis menggunakan pen stylus di skrin berbanding menaip di papan kekunci apabila melakukan kerja-kerja pejabat.

Bagaimanapun, populariti iPad perlu juga disaingi dan pengeluar telefon pintar BlackBerry, Research in Motion (RIM) yang kini dalam perancangan untuk memperkenalkan komputer tabletnya sendiri menjelang akhir tahun ini.

Alat itu dijangka mempunyai saiz yang hampir sama dengan iPad, iaitu skrin diagonal 9.7 inci dan dilengkapi dengan teknologi Wi-Fi dan Bluetooth untuk membolehkan pengguna mengakses Internet menggunakan telefon BlackBerry.

Produk yang dijangka dipasarkan menjelang sambutan Krismas ini bertujuan memberi pilihan kepada pengguna untuk memiliki peranti di antara telefon bimbit dan komputer notebook yang kini dikuasai iPad.

Apple menyatakan sehingga bulan lepas, syarikatnya telah menjual 3 juta komputer tablet iPad dalam masa 80 hari selepas diperkenalkan di Amerika Syarikat.

BlackPad

Menurut salah seorang yang dikatakan mempunyai kaitan dengan perancangan syarikat itu, RIM merancang untuk menamakan alat yang bakal diperkenalkan mereka sebagai BlackPad.

Untuk memperkuatkan lagi spekulasi itu, RIM yang berpangkalan di Waterloo, Ontario merupakan syarikat yang membeli hak Internet untuk domain www.blackpad.com bulan lepas.

Harga untuk peranti itu dijangka berada sekitar harga iPad iaitu bermula daripada AS$499 (RM1,596) kerana syarikat itu tidak mahu melancarkan perang harga dengan Apple.

Bagaimanapun, RIM akan meningkatkan persaingannya dengan memperkenalkan telefon lungsur terbarunya BlackBerry 9800.

Telefon ini akan menggunakan skrin sesentuh sepenuhnya seperti iPhone dan boleh dilungsur keluar papan kekunci Qwerty untuk memudahkan pengguna menaip e-mel.

Kembali kepada pasaran komputer tablet, RIM terpaksa membuktikan kepada pengguna bagaimana produknya mampu mengatasi komputer-komputer tablet lain termasuk iPad yang popular sebab ia mempunyai banyak aplikasi.

Bagi William Power, penganalisis dari Robert W. Baird & Co., RIM harus membuktikan kematangan teknologi skrin sesentuhnya untuk mencabar pendahulu pasaran seperti Apple.

Sudah tentu, kelebihan RIM adalah kemampuan e-mel dan populariti telefonnya di kalangan pelanggan korporat.

Komputer tablet itu juga akan bersepadu dengan sistem e-mel telefon pintar dan juga mempunyai ciri-ciri keselamatan dalam sistem pesanan segera.

Selain RIM, syarikat komputer Hewlett-Packard juga bulan ini telah membeli syarikat pengeluar telefon pintar Palm bagi membolehkannya memperkenalkan peranti tablet yang menggunakan sistem operasi Windows dari Microsoft.

Sementara LG Electronic dari Korea Selatan pula dikatakan merancang untuk memperkenalkan komputer tabletnya yang menggunakan perisian Android dari Google.

Kesimpulannya, persaingan untuk memenangi pasaran komputer tablet semakin menarik selepas Apple dan RIM mula melancarkan ‘perang’ ke atas produk masing-masing.

//utusanmalaysia//

86 total views, 1 views today

Comments

  1. says

    oh ya……..sy teringin sangat2 nak memiliki i-pod………..tapi tu lar….fulus nya enggak cukup lagi..sedang menabung 50sen sehari.agak2 bila la ek dapat beli?hihi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam