Monthly Archives: September 2010

Mudah dengan dua kad




me 02.1 Mudah dengan dua kad

Samsung galaxy kini disiangi dengan model yang lebih menarik dan memenuhi keperluan pengguna.


Mempunyai dua telefon bimbit sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat, satu untuk karier dan sebuah lagi untuk santai atau keluarga.

Bagaimanapun menggunakan dua telefon agak merimaskan kerana pengguna keliru telefon mana berbunyi.

Ketika diberikan telefon bimbit dua kad SIM Samsung model B772, penulis dengan berat hati menerima kerana terpaksa mengembalikan Samsung GalaxyS.

Menarik juga menggunakan telefon dua kad SIM Samsung kerana skrinnya yang lebar serta mudah untuk mengubah daripada satu kad SIM kepada satu lagi hanya dengan menyentuh satu butang.

Samsung B7722 menampilkan skrin sentuh berukuran 3.2 inci dengan resolusi 240 x 400 piksel dan menyokong 256 K warna.

Telefon bimbit berkenaan juga mempunyai kamera dengan 5 megapiksel yang menyokong auto fokus dan flash LED.

Kameranya boleh merakam imej dengan resolusi maksimum 2592 x 1944 piksel dan video QVGA dengan resolusi 320 x 240 piksel.

Dengan memori 270 MB dan menyokong kad memori mikro SD atau mikro SDHC, ia boleh ditingkatkan sehingga 32 GB selain mempunyai pelabuh mikro USB bagi mengecas serta memindahkan data,

Mempunyai perayauan HTML Dolphin bagi menyokong WAP dan RSS dan menyokong pilihan sambungan Bluetooth 2.1 dan WiFi 802.11 b/g

Kualiti binaannya terbaik menjadikan telefon pintar ini kukuh dengan paparan skrin sentuh 3.2 inci hampir memenuhi bahagian depan telefon.

Di bahagian bawah skrin terdapat tiga butang di bahagian bawah skrin dengan butang tengah adalah butang utama manakala butang kiri sebagai butang telefon dan di kanan menamatkan perbualan atau menutupnya.

Bahagian kiri telefon bimbit terdapat pelabuh mikro USB dan pengawal bunyi sementara di kanan pula terdapat kamera dan butang bagi mengubah antara dua kad SIM serta kunci skrin.

Menggunakan antara muka TouchWIZ, ia mempunyai tiga skrin utama serta empat ikon yang memberikan akses kepada aplikasi yang biasa digunakan seperti buku telefon, mesej, menu dan papan kekunci.

Menurutnya mempunyai ikon sehingga tiga muka surat termasuk aplikasi seperti Facebook, MySpace, Google Maps yang diletakkan pada skrin utama.

Antara muka yang menarik membenarkan pengguna gaya dan saiz font.

Selain boleh menghantar dan menerima SMS dan MMS, B7722 juga menyokong emel dengan fail attachment sehingga 5 MB.

Sambungan 3G disediakan oleh B7722 tetapi hanya boleh diaktifkan oleh hanya satu daripada 2 kad SIM.

Status isyarat kedua-dua kad SIM dipaparkan tetapi hanya satu yang aktif yang mempunyai lampu hijau.

Samsung B772 boleh didapati di pengedar sah dengan harga runcit RM1,099.

/// utusanmalaysia ///

Signatur kopi Starbucks




va 02.1 Signatur kopi Starbucks

DUA seleksi kopi Starbucks Espresso iaitu Creme Brulee Macchiato dan Ice Creme Brulee Macchiato.

va 02.2 Signatur kopi Starbucks

ESPRESSO Caremel Muffin merupakan hidangan baru yang terdapat di Starbucks.

va 02.3 Signatur kopi Starbucks

CREME Brulee Frappucino Blanded Coffee.

JENAMA minuman kopi terkenal, Starbucks meraikan warisan minumannya dengan menonjolkan sajian terbaru berasaskan kopi espresso eksklusif sempena musim luruh kali ini.

Bermula daripada Caramel Macchiato sehinggalah kepada minuman kegemaran pelanggannya, Caffe Latte dan kopi tradisional iaitu Cappucino, Starbucks mendedikasikan minuman terbaru tersebut dengan mengekalkan kualiti tertingginya kepada pelanggan.

Sebagai menandakan bermulanya musim luruh ini, Starbucks menyoroti minuman signatur, Pike Place Roast iaitu kopi sederhana dengan tekstur lebih halus berbanding kopi lain di Starbucks. Campuran biji kopi Arabika yang bermutu tinggi menjadikan ia mempunyai tahap keasidan yang rendah di samping kehalusan teksturnya.

Selain itu, penggemar-penggemar kopi boleh menikmati Creme Brulee Macchiato iaitu campuran creme brulee, susu stim dan Starbucks Espresso di samping krim topping dan karamel hitam di atasnya.

Tidak ketinggalan kepada peminat kopi ais kisar, anda harus mencuba Creme Brulee Frappucino Blended Coffee.

Pengarah Pemasaran Starbucks Coffee, Sydney Quays menjelaskan, pada musim luruh kali ini pihaknya meraikan warisan kopi signatur iaitu Pike Place Roast yang dinamakan sempena memberikan penghormatan kepada kedainya yang pertama pada tahun 1971.

“Pike Place Roast adalah sebahagian daripada jiwa Starbucks dengan rasa koko yang lembut dan kekacang panggang. Kopi-kopi dengan espresso pekat terus menjadi menu terhebat di kedai kami kerana ia menjanjikan kepuasan rasa yang luar biasa,” jelas Sydney.

Menariknya, kali ini pelanggan akan dapat menikmati hidangan baru iaitu Espresso Caramel Muffin iaitu kek mufin istimewa Starbucks yang terhasil daripada kopi espresso dengan karamel lembut di tengah-tengahnya bersama kekacang garing di bahagian atas.

Selain itu Starbucks turut memperkenalkan koleksi barangannya sempena musim luruh seperti gelas dan cawan eksklusif. Untuk maklumat lanjut mengenai promosi yang sedang berlangsung di semua kedai Starbucks seluruh Malaysia lawati laman web di www.starbucks.com.my.

/// kosmo //

Tapai pulut tiga perisa




va 01.1 Tapai pulut tiga perisa

TAPAI pulut Sarimah mendapat permintaan yang tinggi khususnya untuk majlis-majlis keraian.


PADA zaman dahulu banyak pantang larang yang perlu dipatuhi dalam proses pembuatan pencuci mulut, tapai. Antaranya si pembuat tidak boleh makan sirih atau mendekatkan diri dengan benda-benda yang berwarna merah.

Mengikut kepercayaan, jika pantang larang itu diingkari, tapai yang berwarna putih itu akan berubah warnanya menjadi merah dan rasanya kurang enak.

Kepercayaan itu juga termasuklah si pembuat tapai tidak boleh makan makanan yang masam ketika membungkus kerana ia akan menyebabkan rasa tapai berubah menjadi masam.

Hari ini, tapai yang dianggap sebagai makanan tradisional bukan hanya dihidangkan pada majlis-majlis keraian di kampung-kampung bahkan ia juga dihidangkan di kebanyakan hotel bertaraf lima bintang.

Perniagaan tapai pulut Sarimah misalnya, turut mematuhi beberapa banyak pantang larang ketika proses pembuatan tapai.

Tampil dengan slogan iaitu ‘Anda Akan Menjadi Penggemar Sejati’, tapai pulut Sarimah menawarkan tiga perisa tapai yang berbeza. Tapai yang terbahagi kepada tiga jenis perisa itu terdiri daripada perisa pandan dengan pembalutnya berwarna hijau, perisa ros berwarna merah dan warna semula jadi untuk perisa asli.

“Idea untuk menghasilkan tapai tiga perisa ini adalah hasil perbincangan bersama isteri, Sarimah Rashid, 38, yang mahukan kelainan berbanding tapai-tapai yang sedia ada di pasaran,” kata pemilik perusahaan dan pengawetan tapai pulut Sarimah, Abdul Aziz Jais, 52, ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Abdul Aziz, pembuatan tapai menuntut ketelitian yang tinggi bagi mengekalkan rasa manisnya. Cara membuat tapai pulut ialah pulut perlu dicuci bersih dan direndam semalaman.

Alas plastik

va 01.2 Tapai pulut tiga perisa

PEKERJA tapai pulut Sarimah menimbang dan membungkus tapai pulut yang ditempah.


Selepas itu pulut tersebut dikukus selama satu jam. Semasa dikukus, pulut perlu direnjis dengan air supaya ia cepat masak.

Selepas hampir satu jam, pulut tersebut diletakkan di atas troli beralaskan plastik pada suhu 35 darjah Celsius.

Pada suhu yang disifatkan sebagai suam-suam itu, taburkan ragi di atas pulut. Pulut tersebut kemudiannya sedia dibungkus dengan kertas dan ditimbang untuk dimasukkan ke dalam kotak.

“Kami lebih selesa menggunakan plastik sebagai alas dan dibalut dengan kertas warna mengikut perisa. Bungkusan-bungkusan pulut itu dimasukkan ke dalam kotak dan sedia untuk dijual,” katanya.

Ujar Abdul Aziz, walaupun tiada pantang larang tertentu dalam pembuatan tapai pulutnya, tidak bermakna dia tidak mengamalkan pantang larang orang dulu-dulu.

“Apa yang paling penting dalam proses pembuatan tapai pulut ialah kebersihan dan cara kerja yang teliti kerana tapai pulut ini boleh dikatakan sebagai makanan yang sangat sensitif kepada si pembuatnya,” katanya.

Selepas empat tahun mencuba, membuat dan menjalankan perniagaan menjual tapai perisa asli dan pandan, Abdul Aziz dan isteri merasakan mereka perlu mencuba sesuatu yang baru bagi menarik perhatian orang ramai.

Tambahnya, sebelum ini tapai aiskrim dan tapai ubi selalu menjadi sebutan. Orang ramai hanya dapat merasa dua perisa tersebut selain daripada perisa asli dan pandan.

Bagi memberi kelainan kepada penggemar tapai, Abdul Aziz, isteri dan pekerjanya bersetuju untuk mencipta perisa baru iaitu tapai pulut ros.

Apakah keistimewaan tapai pulut Sarimah berperisa ros?

Selain rasa yang manis, tapai pulut itu juga berbeza daripada tapai-tapai yang lain. Bahkan, tapai perisa tersebut juga mendapat permintaan yang tinggi khususnya untuk majlis-majlis keraian.

Kepada mereka yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi talian 06-3853 041 /   06-3853 041       atau terus ke Lot 2635, Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka.

/// kosmo ///

53 sebab Malaysia istimewa




ho 01.1 53 sebab Malaysia istimewa


Setiap satunya bukan sahaja telah melonjakkan nama Malaysia di peta pelancongan dunia, malah ia menjadi permata yang dekat dengan hati, lalu menjadikan kita semua rakyat Malaysia!

1. Teh tarik – Apabila larutan teh bersama susu krim manis dan dicurah menggunakan kole pada kedudukan tinggi, maka terciptalah minuman rutin warga Malaysia yang dinikmati tidak kira waktu.

2. Songket – Fabrik tenunan tangan yang diserikan motif berbenang perak atau emas. Kekuatan nilai estetika dan identiti bangsa menjadikannya antara tekstil warisan yang elegan.

3. Taman Negara – Kekayaan khazanah alam dilindungi di banyak kawasan yang diwartakan sebagai taman negara. Masing-masing menyimpan tarikan ekosistem yang bernilai tambah.

4. Malaysia Airlines (MAS) – Syarikat penerbangan nasional utama dan banyak memenangi pengiktirafan dan anugerah antarabangsa.

5. Hari Raya Aidilfitri – Sambutan penting selepas sebulan umat Islam berpuasa, selain Hari Raya Aidiladha. Keraian ini merapatkan hubungan ahli keluarga dalam semangat ‘balik kampung’.

6. Menara Berkembar Petronas – Hingga kini, statusnya kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia dengan ketinggian 452 meter. Bangunan ikonik ini umpama salam pengenalan Malaysia kepada dunia.

7. Nasi lemak – Hidangan warisan ini memerlukan beras ditanak dengan santan kelapa dan dihidangkan bersama sambal, bilis goreng dan telur.

8. Wau bulan – Permainan tradisional persis layang-layang yang terkenal di negeri Kelantan.

9. Genting Highlands – Resort pelancongan tertinggi di Malaysia iaitu pada aras 2,000 meter dari aras laut ini menawarkan penginapan, taman tema dan tema percutian kelas satu.

10. Rangkaian lebuh raya – Jaringan lebuh raya utama negara melancarkan perhubungan darat di Semenanjung Malaysia.

11. Tahun Baru Cina – Perayaan besar bagi kaum Tionghua yang bercerita tentang kedatangan tahun baru. Sambutannya dimeriahkan dengan limau mandarin, pemberian ang pau, tarian singa dan bingit mercun.

12. Menara Kuala Lumpur – Menara telekomunikasi tertinggi yang terletak di Bukit Nenas di tengah-tengah ibu negara. Lokasi ini menyediakan pusat rekreasi, restoran berputar dan dek peninjau.

13. Pulau Langkawi – Pulau bebas cukai yang terletak di negeri Kedah ini terkenal dengan kisah Mahsuri dan pelbagai lagi tarikan buatan selain taman geologi berusia jutaan tahun.

14. Roti canai – Hidangan sarapan popular yang dimakan bersama kuah dal dan teh tarik.

15. Batik lukis – Seni tekstil indah hasil daripada teknik melukis, mencanting dan mewarna. Penggunaannya juga telah dipelbagaikan.

16. Proton – Pengeluar kereta nasional pertama ini telah dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelbagai model berprestij telah menambat hati pemandu tempatan dan juga luar negara.

17. Pulau Tioman – Pernah tersenarai sebagai 10 pulau tercantik dunia dan kewujudannya kini sedang dipertahankan sebagai antara syurga aktiviti selaman skuba dan gaya hidup pulau yang menyeronokkan.

18. Masjid Negara – Menjadi lambang kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Siap dibina pada 27 Ogos 1965 dan mampu menampung seramai 15,000 jemaah.

19. Litar Antarabangsa Sepang – Prasarana kelas dunia untuk perlumbaan Grand Prix A1, Grand Prix Motosikal dan Formula Satu.

ho 01.2 53 sebab Malaysia istimewa

TASIK Kenyir yang mendamaikan.

20. Deepavali – Festival cahaya yang disambut penuh adat oleh penganut Hindu. Ia jatuh pada hari ke-14 bulan Aipasi, kalendar Tamil.

21. Perak Man – Rangka tulang berusia 10,000-11,000 tahun di Gua Gunung Runtuh, Hulu Perak. Penemuan fosil manusia era Paleolitik paling sempurna di Asia Tenggara itu melakar sejarah tersendiri.

22. Bandar Raya Melaka – Kota warisan sejarah yang sarat nilai pertembungan budaya Melayu, Cina, India, Portugis serta Baba dan Nyonya.

23. Perodua – Syarikat pengeluar kereta nasional kedua dan ditubuhkan pada 1993.

24. Tasik Kenyir – Merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dan terletak di Hulu Terengganu.

25. Orang Utan – Haiwan primat yang menjadi maskot negara ketika Sukan Komanwel 1998. Sebuah pusat pemeliharaan orang utan sering dikunjungi di Sepilok, Sabah.

26. Krismas – Keraian 25 Disember yang disambut secara berbeza oleh kaum Cina, India serta bumiputera Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian.

27. Pulau Pinang – Selain Melaka, negeri ini turut melestari pelbagai nilai sejarah hebat Negeri Selat.

28. Vaisakhi – Diraikan penganut agama Sikh pada tarikh 14 April.

29. Muzium Negara – Ia dirasmikan pada 31 Ogos 1963, berlokasi di Kuala Lumpur dan merupakan lokasi wajib bagi anak Malaysia untuk mengenali sejarah.

30. LIMA – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi dijayakan secara dwitahunan. Pameran berprestij itu mengumpulkan jentera udara dan maritim yang berkaitan komersial dan pertahanan.

31. Pulau Sipadan – Terletak berhampiran bandar Sampoerna, Sabah, ia adalah antara pulau terindah di dunia dan ibarat syurga buat komuniti penyelam skuba.

32. Homestay – Konsep inap desa yang berjaya melonjakkan industri pelancongan domestik. Masyarakat kampung didekati melalui acara seni, masakan dan gaya hidup.

33. Kereta Api Tanah Melayu – Nostalgia pengangkutan bijih timah kini menghubungkan penduduk di sepanjang laluan landasan 1,699km di seluruh negara.

34. Batu Caves – Formasi gua batu kapur semula jadi yang menjadi meriah terutamanya ketika penganut Hindu menyambut Thaipusam.

35. Gua Niah – Gua batu kapur terbesar di dunia iaitu seluas 12 hektar di Miri, Sarawak. Fosil manusia berusia 40,000 tahun pernah ditemui di situ.

36. Citrawarna 1M alaysia – Ibu negara disimbahi warna kebudayaan dari 14 buah negeri di seluruh negara pada setiap penghujung Mei.

37. Cendol – Hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada tepung beras dan dihidang bersama ais parut, santan dan gula melaka.

38. Putrajaya – Pada tahun 1999, Putrajaya telah menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dengan ciri-ciri bandar raya pintar.

39. Rumah panjang – Rumah tradisional masyarakat Iban di Sarawak. Setiap rumah mengandungi sehingga 20 bilik dan diketuai oleh tuai rumah.

40. Gunung Kinabalu – Berketinggian 4,095 meter, ia adalah gunung tertinggi di Malaysia dan terletak di Kota Kinabalu, Sabah.

ho 01.3 53 sebab Malaysia istimewa

KEUNIKAN kain songket.

41. Piala Monsoon – Kejohanan kapal layar antarabangsa mengumpulkan jaguh-jaguh dunia di Pulau Duyung, Terengganu setiap musim tengkujuh.

42. Petaling Street – Bekas penempatan kaum Cina yang kini menjadi lokasi niaga gerai paling terkenal di tengah-tengah Kuala Lumpur.

43. Istana Negara – Tempat bersemayamnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang turut menjadi lokasi istiadat pertabalan dan upacara rasmi.

44. KLIA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor menjadi pintu masuk udara utama dengan akses jaringan kereta api elektrik dan lebuh raya canggih.

45. Pasar Seni – Turut dikenali sebagai Central Market, ia menjadi pusat yang mengumpulkan barangan seni, kraf dan cenderamata tempatan.

46. Le Tour de Langkawi – Kejohanan lumba basikal terbesar yang mengumpulkan para peserta dari seluruh dunia.

47. Raflesia – Selain bunga raya sebagai bunga kebangsaan, bunga eksotik terbesar di dunia ini sinonim dengan diversiti belantara Malaysia khususnya di Malaysia Timur.

48. Lemang – Diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasak di dalam buluh. Makanan ini popular dimakan bersama rendang.

49. AirAsia – Syarikat penerbangan nasional kedua dan syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia.

50. Hari Gawai – Diraikan oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak sebagai meraikan musim menuai padi.

51. Wat Phothivihan – Patung Buddha tidur yang kedua terbesar di dunia terletak di Tumpat, Kelantan.

52. Bangunan Sultan Abdul Samad – Sebuah bangunan warisan kebangsaan yang menjadi saksi kepada penurunan bendera Union Jack dan digantikan dengan Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1957.

53. Hari Kebangsaan – Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang wajib dihayati demi menyuntik semangat patriotisme dan kesetiaan pada negara.

BlackBerry Curve kini 3G




me 01.1 BlackBerry Curve kini 3G


SYARIKAT pengeluar telefon bimbit pintar BlackBerry, Research In Motion (RIM) baru-baru ini telah memperkenalkan model terbarunya, Curve 3G (Curve 9300).

Berbeza daripada beberapa siri Curve sebelum ini yang hanya dilengkapi akses rangkaian EDGE (2.5G), kehadiran model ini pasti akan memberi kepuasan kepada pengguna menerusi tawaran sambungan 3G (HSDPA) berkelajuan tinggi.

Dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan penggunanya di seluruh dunia, tawaran spesifikasi terbaik pada Curve 3G ini bakal melengkapkan aktiviti komunikasi individu di mana sahaja mereka berada.

Dengan capaian 3G, ia akan memudahkan operasi seperti pelayaran Internet lebih pantas, kelancaran permainan muzik serta menyokong aktiviti komunikasi menerusi laman sembang.

Menurut Pengarah Urusan RIM Asia Tenggara, Gregory Wade, BlackBerry Curve 3G itu dilengkapi spesifikasi canggih dan terkini untuk keperluan pengguna moden.

“Menerusi capaian 3G dan juga Wi-Fi, pengguna dapat mengakses maklumat dan menjalankan komunikasi dengan lebih pantas.

“Di samping itu, mereka turut ditawarkan dengan beberapa aplikasi lain seperti BlackBerry Messenger (BBM) dan akses rangkaian laman web sosial,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, produk selular pintar tersebut juga disempurnakan bersama papan kekunci QWERTY penuh, pad trek optik untuk navigasi lebih lancar, sistem penentu kedudukan global (GPS) binaan dalam dan kekunci media untuk kemudahan capaian fail media pada bila-bila masa.

Bagi fungsi multimedia, ia dilengkapi dengan kamera dua megapiksel yang boleh menjalankan fungsi rakaman video.

Untuk ruang storan pula, ia menyokong kad memori microSD dan SDHC dengan kapasiti sehingga 32 gigabit (GB).

Apa yang menarik, model berkenaan dipacu menggunakan sistem operasi terbaru yang diperkenalkan oleh BlackBerry iaitu BlackBerry 6.

Ia menawarkan ciri-ciri operasi yang lebih segar dan berkuasa selain mudah untuk dikendalikan.

Model terbaru Curve 3G itu bakal berada di pasaran pada pertengahan bulan ini.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh daripada laman web www.blackberry.com/curve3G.

/// utusanmalaysia ///