Malas punca kegagalan





ORANG yang malas selalunya tidak menetapkan matlamat hidup. – Gambar hiasan.


DALAM menempuh hidup yang serba mencabar, tidak dinafikan ada segelintir daripada kita yang akan ketinggalan.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kegagalan. Antaranya tidak mempunyai tujuan hidup, kurangnya keyakinan, tidak berdisiplin dan tidak berani mengambil risiko.

Namun, faktor utama mungkin boleh dikaitkan dengan sifat malas. Perasaan itu wujud seiring dengan keengganan kita melakukan sesuatu tugas dan suka menunda kerja. Seterusnya, melarikan diri daripada kewajipan.

Implikasi yang diberikan oleh perasaan ini amat kuat. Apabila satu perasaan itu terdetik di hati secara langsungnya akan mempengaruhi fikiran dan fizikal kita. Keadaan ini akan menjadi teruk sekiranya rasa tersebut dilayan dalam jangka masa yang lama. Pengaruhnya amat kuat dalam memberi impak kepada kejayaan seseorang.

Keselesaan kita berada dalam sesuatu lingkungan atau zon membuatkan sukar untuk kita keluar melakukan perubahan. Seharusnya kita harus membuka mata dan melihat kerana motivasi itu ada di mana-mana sahaja.

Lihatlah pada kerajinan yang ditunjukkan oleh seorang pengutip sampah dan pemandu bas. Mereka sanggup melakukan kerja bertahap rendah kerana sudah tiada pilihan untuk melakukan tugas yang bertaraf hebat. Bukankah mereka lebih baik daripada golongan malas yang menunggu bulan jatuh ke riba?

Sehubungan itu, seorang individu yang masih dibuai perasaan malas harus mengaplikasikan faktor persekitaran mereka sebagai penyuntik motivasi.

Mungkin panduan yang disenaraikan ini mampu digunakan oleh remaja dan pekerja untuk terus menongkah arus perdana yang semakin sengit persaingannya.

1Menetapkan tujuan: Orang malas tidak memiliki motivasi untuk berkembang ke arah kehidupan yang lebih baik. Ini membuatkan mereka tidak mempunyai tujuan atau matlamat hidup yang nyata dan jelas. Keadaan ini hanya mengakibatkan kehidupan mereka terumbang-ambing dan menjadi pasif, seterusnya cenderung menyerahkannya kepada nasib.

Dengan itu, kehidupan yang kita dijalani akan berasa bosan. Jika diamati, tujuan hidup ini mampu menyentuh emosi dan mencetuskan perasaan untuk berbuat sesuatu. Secara tidak langsung mendorong dan membakar semangat manusia agar berjaya. Setiap manusia yang diciptakan itu adalah unik sama ada dalam aspek minat, kecenderungan, kebolehan, cara berfikir dan bertindak.

Sehubungan itu, tetapkan apa tujuan hidup anda dan mulakan langkah yang berani.

2Berani hadapi ketakutan: Orang yang malas juga boleh dikaitkan dengan mereka yang takut menghadapi kegagalan. Ia disebabkan mereka berasa malu dan kurang keyakinan untuk mendepani masalah yang dihadapinya.


TANPA usaha meningkatkan produktiviti, tiada yang akan berubah dalam hidup. – Gambar hiasan.


Berani menghadapi risiko untuk meraih kejayaan dalam hidup adalah penting bagi setiap individu. Setiap perjuangan perlu disertai dengan risiko.

Di saat anda dihantui perasaan cemas dan takut, seharusnya jangan melarikan diri tetapi menghadapi dengan tenang kerana kejayaannya mampu membangkitkan keyakinan diri. Gunakan masa silam kita sebagai guru paling berguna untuk mengubah kehidupan. Kata orang, alah bisa tegal biasa.

3Meningkatkan kemampuan diri: Untuk terus memangkin kejayaan seharusnya kita perlu terus berlatih dan berusaha meningkatkan kemampuan diri. Berada dalam keadaan yang sama hanya mengakibatkan produktiviti dan motivasi untuk berjaya semakin berkurang.

Belajar adalah kunci untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya kita terus tekun, secara langsung kemampuan kita juga akan meningkat. Semangat ketekunan itu boleh terus membara jika anda menyemat dalam fikiran dengan kata-kata ‘saya ingin dan mahukan perkara tersebut’.

Contohnya, jika kita ingin menjadi perunding cara, maka fokuskan kelakuan kita ke arah tersebut dengan mengasah kemampuan, mendiagnosis masalah, mencari penyebab, menganalisis, menyediakan jalan penyelesaian dan memperbaiki kemampuan berkomunikasi.

4Disiplin diri: Disiplin melatih seseorang mengawal kelakuan mereka untuk berjaya. Ia menggabungkan sikap sabar, berorientasi matlamat dan tanggungjawab dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perkara yang perlu ada dalam pemikiran seseorang dalam mencapai tahap disiplin yang tinggi adalah kekuatan dalam melawan segala dugaan.

Golongan berdisiplin adalah mereka yang menghormati janji dan komitmen yang telah dibuat dalam diri mereka. Sikap begini secara langsung membina semangat kemahuan yang tinggi, pergorbanan, tumpuan, sikap terbuka dan mencabar minda mereka untuk mencapai apa yang diingini.

5Lingkungan positif: Jika perasaan malas mulai muncul dalam diri anda, jangan terus berdiam diri. Langkah terbaik dalam menghilangkan perasaan tersebut adalah dengan menghampiri orang yang sedang tekun dan bersemangat melakukan sesuatu.

Dekati mereka yang sedang bekerja keras dalam merealisasikan impian mereka. Berada dalam lingkungan golongan yang mempunyai arah hidup, optimis dan motivasi diri secara tidak langsung akan menginspirasi dan menimbulkan semangat yang membuak-buak untuk terus berada dalam landasan yang betul.

-kosmo

Amalan penenang jiwa




Setiap kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia bukan ujian semata-mata tetapi juga untuk mendekatkan kita dengan-Nya.


BERSIHKAN diri dan jiwa dengan ayat-ayat suci al-Quran.


DALAM kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada menghadapi masalah. Kebiasaannya timbul akibat daripada pelbagai punca sama ada kerana diri sendiri atau orang lain.

Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: ‘Allah meringankan bagi mu peraturan-peraturan agama dan manusia itu dijadikan bersifat lemah‘- surah al-Nisa’:8. Perlakuan manusia yang menghadapi masalah berkaitan dengan pelbagai tindakan seperti kurangnya rasa sabar dalam diri, sentiasa gopoh gapah, suka bantah-membantah serta menyalahkan satu sama lain, rasa putus asa, tidak wujud rasa syukur, manusia mudah lupa dan sebagainya.

Beberapa kaedah penyucian jiwa kita perlu lakukan di mana sebahagiannya memang telah menjadi amalan sebahagian umat Islam saban hari. Antara amalannya seperti:

*Solat wajib dan solat sunat (solat Tahajud, solat Taubat, solat Hajat, solat Tasbih atau solat Awwabin).

*Puasa wajib dan puasa sunat.

*Mengeluarkan zakat (fitrah dan harta benda).

*Menunaikan haji.

*Membaca al-Quran (Jika tidak memahami, baca maknanya).

*Berzikir dalam bentuk perkataan dan hati.

*Bertafakur.

*Sentiasa mengingati mati dan hari akhirat.

*Muhasabah diri.

*Jihad, selalu amalkan perkara baik amar makruf dan jauhi kerja buruk nahi mungkar.

*Tawaduk’ dan sifat qanaah (berpada-pada).

*Ketahui dan sedari cara menghalang godaan syaitan dalam jiwa.

*Ketahui cara menghindar penyakit hati.

Sebagai contoh, dengan melakukan solat-solat sunat, hikmahnya adalah boleh membimbing untuk pembentukan kecemerlangan diri atau insan kamil, dapat membina personaliti dan tingkah laku mulia.


AMALAN berzikir mendekatkan diri kepada Allah.

Boleh mendekatkan diri dan menjalin hubungan dengan Allah. Membersihkan diri dari sifat keji dan buruk. Praktik yang baik untuk pengurusan masa. Melatih diri untuk berakhlak atau berdisiplin dan bermoral dan melatih diri untuk memberi tumpuan kepada sesuatu perkara.

Dengan menjalani ibadah puasa, hikmahnya adalah seperti:

*Menjadi benteng kepada godaan syaitan atau iblis dan perisai terhadap kejahatan.

*Latihan untuk mendisiplinkan diri.

*Memupuk sikap sabar.

*Mewujudkan rasa insaf.

*Menimbulkan kekuatan untuk menundukkan nafsu.

Dengan berzikir, berdoa dan beristighfar, hikmahnya adalah untuk membersihkan diri daripada dosa dan maksiat, untuk mendapat keampunan Allah, untuk mendapat ketenangan batin, keikhlasan hati, meningkatkan kecintaan kepada Allah dan berupaya melindungi diri daripada melakukan dosa.

Malah, Allah telah menegaskan hikmah berdoa dan berzikir dalam firmannya yang membawa maksud ‘…dan Tuhan kamu berfirman, ‘berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu‘- surah al-Mukmin : 60, dan ‘Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian’ -surah al-Baqarah: 168.

Dengan bertafakur, hikmahnya adalah seperti:

*Penyuluh untuk mengenal diri dan pencipta.

*Mendorong penjelajahan fikiran.

*Pemusatan tumpuan untuk meneliti tahap personaliti dan tingkah laku.

*Mendorong untuk celik akal.

*Mewujudkan kesedaran kendiri.

*Berupaya membuahkan sikap amanah dan jujur.

Firman Allah yang bermaksud, ‘Mereka yang mengingati Allah baik di waktu berdiri, duduk dan berbaring dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia‘ – surah ali-Imran : 191.

Sebenarnya kehidupan ini kita tidak boleh lari dari menghampiri diri dan sentiasa mendapat bantuan dan perlindungan Allah. Dalam mengharungi kehidupan kita perlulah menghadapi pelbagai cabaran dan menghadapi kegagalan dan rasa putus asa dengan penuh kesedaran.

-arkibkosmo

Temu duga berkesan




Sesi temu duga adalah antara proses yang akan dilalui kebanyakan orang ketika memohon kerja. Ia adalah antara proses penting dalam hidup setiap orang kerana akan menjadi penentu masa depan dan kerjaya.



ANDA telah berjaya melepasi halangan pertama apabila resume hebat anda membuatkan sebuah syarikat tertarik untuk mengambil anda bekerja. Bagaimanapun langkah seterusnya yang perlu anda hadapi ialah sesi temu duga.

Tidak kira sama ada ia merupakan pekerjaan pertama atau anda telah menghadapi sesi temu duga untuk kali ke-10, adalah penting bagi setiap pemohon bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi sesi temu duga.

Temu duga dalam pekerjaan adalah penting bagi sesebuah syarikat. Berpandukan resume yang berkesan, majikan akan mengenali pemohon dengan lebih dekat melalui sesi temu duga yang dijalankan.

Ada sesetengah syarikat yang melakukan sesi temu duga lebih daripada sekali. Temu duga yang dijalankan bukan sahaja melalui interaksi tetapi juga ujian atau pembentangan.

GenK menyenaraikan beberapa tip kepada remaja bagaimana menghadapi temu duga yang berkesan.

DENGAN persediaan rapi anda tidak kelam-kabut dan gementar semasa ditemu duga.



1. Pakaian seperti anda ingin bekerja

Ada sesetengah syarikat yang tidak mengkehendaki pemohon untuk berpakaian terlalu formal ketika sesi temu duga dijalankan. Memadai sahaja dengan berpakaian kemas dan tidak menjolok mata. Jangan sesekali memakai seluar jean, memakai baju T yang terlalu buruk dan tidak bersikat rapi.

Kebanyakan penemu duga lebih senang melihat pemohon memakai pakaian kemas seperti kemeja dan berseluar slack. Bagi wanita pula, anda disarankan tidak mengenakan pakaian yang terlalu nipis atau seksi, memakai terlalu banyak aksesori dan bersolek terlalu tebal.

2. Buat kajian

Pastikan sebelum menghadiri temu duga anda meluangkan sedikit masa membuat kajian mengenai syarikat tersebut. Selain itu, pastikan anda tahu tugas-tugas yang diperlukan bagi jawatan yang dipohon. Ia memberi bonus kepada anda kerana mempunyai sikap ingin tahu yang begitu mendalam terhadap syarikat dan pekerjaan yang ingin dipohon.

3. Jangan lambat

Jangan lambat menghadiri sesi temu duga. Ia adalah antara perkara paling dilarang berlaku semasa sesi temu duga. Kejadian itu akan memberi kesan terhadap pandangan majikan terhadap anda walaupun anda memberi alasan tersesat atau kesesakan lalu lintas. Jika majikan mula merasa benci, kebarangkalian untuk anda memperoleh pekerjaan tersebut adalah tipis.

4. Tanya soalan

Tidak semestinya majikan sahaja yang mengutarakan soalan. Anda juga boleh bersiap sedia dengan soalan-soalan anda. Ia merupakan idea yang bagus jika anda juga bertanyakan soalan. Kenapa begitu? Ini kerana, ia menunjukkan yang anda bersungguh-sungguh menginginkan jawatan tersebut. Namun apakah soalan-soalan yang sesuai untuk ditanya kepada majikan?

*Adakah syarikat ini memberi peluang kepada saya untuk belajar kemahiran-kemahiran baru lain daripada jawatan yang dipohon?

*Adakah sebarang persoalan yang bermain di fikiran tuan untuk mengetahui lebih lanjut tentang diri saya?

*Adakah saya akan dilatih terlebih dahulu untuk memahirkan diri dalam jawatan tersebut?

*Apakah perkara yang paling penting perlu saya tahu mengenai jawatan ini?

5. Ucap terima kasih

Jangan kedekut untuk mengucapkan terima kasih kepada majikan sebelum dan selepas temu duga. Apabila anda melangkah masuk ke pintu majikan, ucapkan terima kasih apabila disuruh duduk.

Sebelum anda melangkah keluar pula, ucapkan sekali lagi terima kasih kerana kerjasama yang mereka berikan.

Namun ingat, jangan terlalu banyak mengucapkan perkataan terima kasih kerana ia boleh disalahtafsir oleh majikan sebagai terlalu mengampu atau hipokrit.

-kosmo

Hadapi kerenah degil




Degil adalah tanda si kecil sudah membina identitinya sendiri, selain berasa dirinya sudah berada dalam zon selamat.


SIKAP si kecil yang degil bukan bermakna dia memberontak dan tidak memerlukan perhatian ibu bapanya.

ANAK anda enggan makan bersama apabila diajak? Kalau diminta mengemas barang permainannya, dia hanya berdiam diri atau cuba mengelak. Mungkin juga si kecil itu sengaja membuat bising apabila si adik sedang tidur atau akan lari ketika disuruh mandi.

Anda yang mempunyai anak kecil mungkin sudah biasa menghadapi situasi seperti ini. Siapa sangka dalam usia sementah itu, si comel ini sudah mula mengaplikasi soal pendirian dan kemahuannya.

Percaya atau tidak, anak yang berusia tiga tahun ke atas berasa kurang bergantung pada anda. Itu adalah tanda bahawa dia sudah membina identitinya sendiri selain berasa dirinya sudah dalam zon selamat. Namun, itu bukan bermakna dia menjadi pemberontak.

Berdegil adalah cara bagi anak kecil itu menunjukkan ketegasannya. Jadi, apabila dia menolak untuk bekerjasama dengan anda, dia sebenarnya cuba memberitahu, ‘saya tidak sukakan peraturan mama’. Maka, apakah yang perlu anda lakukan?

Menurut jurnal Adolescent Child Specialty Services yang ditulis oleh Rebecca S. Blakeman, setiap kanak-kanak akan menunjukkan kemerdekaan diri melalui cara yang tidak sepatutnya dari semasa ke semasa. Meskipun begitu, adalah sangat penting bagi ibu bapa itu memahami situasi anak tersebut.

Ibu bapa tidak harus berleter apabila tidak berasa senang dengan kelakuan anak-anak. Ia sebaliknya akan membuatkan sikap anak menjadi lebih buruk.

Beri pilihan

Jurnal Rebecca itu meminta ibu bapa cuba memahami kehendak anak mereka. Dalam situasi anda memintanya makan namun dia menjerit tidak mahu, usah dipaksa lagi. Paksaan hanya akan membuatkan dia menangis atau menunjukkan kemarahan.



Maka, cuba letakkan diri anda di tempatnya. Jika anak sibuk bermain, hampiri dia dan dakap si kecil itu sambil memberitahunya mengapa perlu makan. Itu adalah langkah pujukan psikologi.

Tanpa disedari, anda sebenarnya menunjukkan bahasa tubuh dan ucapan yang membuatkan dia sedar dirinya diambil berat. Tanpa perlu memarahinya, tunjukkan betapa anda hendak ambil tahu mengapa dia tidak mahu makan.

Walau apapun yang dilakukannya, pastikan anak anda tahu bahawa semua perkara ada hadnya. Pendirian mereka mudah dilentur apabila anda menyatakan bahawa anda menyayanginya dan setiap yang disuruh itu adalah untuk kebaikannya.

Memberi pilihan adalah cara terbaik untuk si anak mematuhi sesuatu peraturan. Jika dia ada masalah mengikuti sesuatu permintaan atau suruhan, fikirkan alternatif untuk mencari penyelesaiannya.

Contohnya, jika anak kecil sering ‘meragam’ gara-gara tidak mahu tidur dalam gelap, berikannya lampu suluh atau pasangkan lampu yang bercahaya suram. Di situ, aspek tolak ansur sudah terbina antara ibu bapa dengan si anak tersebut.


ANAK yang sudah pandai berdegil apabila disuruh makan memerlukan pendekatan psikologi yang lembut.

Orang dewasa perlu sentiasa menunjukkan sikap yang baik. Selain memberi perhatian ketika dia menunjukkan kenakalan atau kedegilan, anak kecil perlu sentiasa didekati dan dilayani semasa dia sedang dalam keadaan ‘angin baik’ atau mengikut kata.

Beritahu anak-anak tentang apa yang betul atau tidak betul. Selalunya apabila si anak membuat kesalahan, dia pasti akan rasa bersalah.

Oleh itu, jangan cepat marah. Sebaliknya, cakaplah secara baik dan terangkan kepadanya mengapa anda tidak mahu kesalahan itu diulanginya.

-KOSMO

Haiwan eksotik ancam si comel




Ramai ibu bapa yang tidak menyedari dan memahami risiko daripada pelbagai jangkitan yang dibawa oleh haiwan eksotik.


KANAK-KANAK di bawah usia 5 tahun tidak wajar dibiarkan bermain dengan haiwan eksotik.


IBU bapa tidak seharusnya menjadikan haiwan eksotik seperti landak, iguana atau hamster, ular, cicak mahu pun kura-kura sebagai peliharaan mereka sekiranya mempunyai anak di bawah usia 5 tahun di rumah.

Ia berikutan laporan terbaru dari sekumpulan pakar pediatrik di Chicago mengenai bahaya yang datang daripada haiwan peliharaan eksotik.

Selain bukti mereka boleh membawa bahaya seperti kuman, haiwan peliharaan eksotik juga mungkin lebih mudah melakukan sesuatu seperti menggigit atau mencakar berbanding kucing dan anjing, sekali gus meletakkan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun terdedah kepada risiko kecederaan.

Kanak-kanak mudah dilukai kerana perkembangan sistem imunisasi dan ditambah pula dengan tabiat mereka yang gemar memasukkan tangan di dalam mulut.

Itu bermakna keluarga yang mempunyai kanak-kanak di bawah usia lima tahun, perlu mengelak daripada memiliki haiwan peliharaan eksotik seperti di atas.

HAMSTER antara haiwan peliharaan kegemaran kerana saiznya yang kecil dan comel.


Selain itu, kanak-kanak juga perlu dihindar daripada berhubung dengan haiwan-haiwan tersebut di zoo atau mana-mana tempat awam, menurut laporan daripada American Academy of Pediatrics.

“Ramai ibu bapa yang tidak menyedari dan memahami risiko daripada pelbagai jangkitan yang dibawa oleh haiwan-haiwan eksotik itu,” kata Dr. Larry Pickering dari Centers for Disease Control & Prevention yang mengetuai penyelidikan tersebut.

“Contohnya, kira-kira 11 peratus penyakit yang berkaitan dengan virus Salmonella di kalangan kanak-kanak berpunca daripada sentuhan dengan haiwan seperti cicak, kura-kura dan lain-lain reptilia.

“Malah, hamster juga boleh membawa kuman ini apabial boleh menyebabkan cirit-birit, demam dan kekejangan pada perut,” kata Dr. Pickering lagi.

Virus Salmonella turut ditemui pada anak-anak ayam yang baru menetas dan kanak-kanak boleh dijangkiti apabila mencium atau memegang haiwan tersebut dan kemudian memasukkan tangan mereka ke dalam mulut, katanya.

IGUANA yang dibiarkan bebas di dalam rumah boleh menyebarkan pelbagai virus dan bakteria kepada bayi.


Rakan sepasukan, Dr. Pickering, Dr. Joseph Bocchini pula berkata, baru-baru ini dia merawat seorang bayi yang dijangkiti virus Salmonella yang dibawa oleh iguana peliharaan keluarganya yang dibenarkan berkeliaran bebas di dalam rumah.

Menurut Dr. Bocchini dari Louisiana State University di Shreveport, bayi itu telah ditahan di hospital selama empat minggu sebelum dibenarkan keluar apabila pulih sepenuhnya.

Landak contohnya boleh menjadi berbahaya kerana bulunya boleh menembusi kulit dan dikenali untuk menyebarkan kuman bakteria yang menyebabkan demam, sakit perut dan ruam.

Dengan pengawasan dan perlindungan seperti mencuci tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan, ia mungkin dapat mencegah sesuatu. Tetapi, tambah Dr. Bocchini, setiap keluarga perlu menunggu sehingga anak-anak mereka membesar terlebih dahulu sebelum membawa pulang haiwan peliharaan eksotik ke rumah.

Bagaimanapun, kepada mereka yang telah sedia ada memiliki haiwan peliharaan tersebut, perlu menghubungi doktor haiwan bagi mengetahui secara spesifik mengenai risiko dan kemungkinan kuman yang dibawa oleh mereka (haiwan peliharaan).

ULAR bukan sahaja boleh menyebarkan virus, malah boleh mematuk bayi anda.


Data menunjukkan kira-kira empat juta keluarga di Amerika Syarikat (AS) mempunyai haiwan peliharaan jenis reptilia. Menurut American Veterinary Medical Association, semua jenis haiwan peliharaan eksotik semakin meningkat dari segi jualannya.

Bagi jurucakap International Hedgehogs Association, Z.G. Standing Bear, tiada sebarang alasan untuk mengharamkan pemeliharaan landak atau haiwan eksotik lain.

“Cadangan kami ialah tiada haiwan yang harus dijadikan peliharaan untuk kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah. Ini boleh mencegah daripada berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diingini,” jelasnya