Kekwa penawar kencing bernanah






BUNGA kekwa mempunyai banyak khasiat. Selain di taman sebagai herba sampingan, bunganya cantik sebagai hiasan di dalam taman.

Daunnya bujur dan meruncing dengan urat tengahnya amat jelas. Kelopak bunga tersusun secara terputus-putus antara 10 hingga 15 kelopak dan boleh gugur satu persatu secara berasingan. Di sekeliling stigmanya pula mengeluarkan bunga-bunga kecil berwarna kuning menjadikan penampilannya sungguh menarik.

Nama saintifiknya chrysanthemum. Pokok ini tahan panas dan memerlukan cahaya yang cukup untuk hidup subur dengan warna bunga yang berseri. Rebusan bunga yang kering dikatakan boleh mengubati kencing bernanah.

Pokok ini juga digunakan untuk sakit luar tubuh. Biasanya daun yang segar digunakan sebagai ubat pupuk pada bahagian tubuh yang bermasalah seperti bengkak-bengkak dan bisul.

-kosmo

Kenapa tidak dipanggil – panggil temuduga kerja kerajaan?




Sebenarnya, hari ini saya ingin berkongsikan satu tips, iaitu
“Mengapa Saya Tidak Dipanggil Temuduga”?

Ramai di antara rakan – rakan kita yang dah Berjaya masuk ke
sektor awam.

Tapi itu bagi mereka yang berjaya. Yang masih belum berjaya
bagaimana?

Iaitu bagi mereka yang masih tidak dipanggil – panggil untuk
menghadiri temuduga..

Borang permohonan dah diisi banyak kali, tapi masih tidak
dipanggil – pangil temuduga. Apa sebabnya ye? Sehinggakan ramai
yang berputus asa dan menyalahkan orang lain di atas hal
tersebut.

Hai, janganlah begitu. Kita tidak boleh salahkan orang lain di
atas kegagalan kita. Mungkin ada sebabnya. Atau mungkin juga
takdir oleh Tuhan. Jangan sesekali merasa kecewa. Mungkin belum
rezeki. Yang penting kita berusaha untuk mendapatkannya. Sekali
kita tersungkur, bukan bermakna kita akan tersungkur selama –
lamanya. Cuba bukakan minda kita kepada alam yang terbuka luas
yang disediakan oleh tuhan ini. Bermacam – macam rezeki yang
boleh kita perolehi. Apa yang penting, carilah rezeki yang halal
dan diredhai.

Untuk kerja kerajaan, terdapat beberapa sebab kita tidak
dipanggil temuduga.

1. KESILAPAN DALAM MENGISI PERMOHONAN
===========================================
Ramai calon yang mengisikan borang permohonan dengan tidak
melihat syarat dan kelayakan diperlukan untuk jawatan tersebut.
Adakah sijil/diploma/ijazah mereka berkaitan atau tidak.
Sebolehnya, mereka mohon seberapa banyak jawatan dalam sektor
awam
. Memang tiada masalah, tapi pastikan ianya mengikut
keutamaan dengan kelayakan yang anda miliki.

2. JAWATAN YANG DIPOHON TIADA KEKOSONGAN
==============================================
Ya, jika jawatan tersebut kurang kekosongan ataupun langsung
tiada, memang susah untuk dipanggil temuduga. Jawatan ada
diiklankan, tetapi kekosongan tidak banyak. Jadi, sudah pasti
yang dipanggil temuduga amat sedikit. Jawatan – jawatan khas
dalam badan kerajaan tertentu ada yang memerlukan staf yang ramai
dan ada juga yang kurang. Contohnya, jawatan
Pegawai/pembantu/pen.pegawai tadbir adalah satu jawatan yang amat
popular yang diperlukan oleh semua kementerian/jabatan kerajaan.
Jadi, kekosongan bagi jawatan ini memang tinggi berbanding yang
lain.

3. PENDAFTARAN PEMOHON TELAH LUPUT TEMPOH SAHNYA
==================================================
Dah daftar lama dah, tapi bila tak dipanggil temuduga dalam
setahun anda tak update. Dan masih menunggu panggilan temuduga.
Ianya adalah mustahil. Apabila habis tempoh setahun, terus saja
update pendaftaran/permohonan anda. Lebih baik ianya diupdate
setiap 6 bulan (ni berdasarkan pemerhatian saya). Dengan cara
ini, anda lebih mudah (bukan semestinya) untuk dipanggil
temuduga. Dan satu lagi, jika anda baru saja habis menghadiri
temuduga atau mendapat calon simpanan, seeloknya anda update
pendaftaran/permohonan anda.

4. JAWATAN TERHAD, TAPI PERMOHONAN RAMAI
=========================================
Ini juga merupakan salah satu sebab utama mengapa anda sukar
dipanggil untuk hadiri temuduga.  Permohonan begitu ramai, anda
terpaksa bersaing. Pada masa ini, kelayakan anda menjadi taruhan.
Maksudnya,  jika anda ada ijazah, cgpa akan dijadikan tapisan.
Pemohon yang memiliki CGPA yang teratas akan dipanggil temuduga
terlebih dahulu. Maksudnya, jika jawatan itu memerlukan 600 orang
untuk ditemuduga, maka senarai calon yang 600 orang teratas dari
CGPA  dari beribu – ribu permohonan akan dipanggil temuduga
terlebih dahulu. Tapi itu jika kekosongan terhad. Sekiranya
kekosongan banyak, tiada syarat CGPA dikenakan. Mereka yang layak
akan dipanggil temuduga.

5. KELAYAKAN SIJIL/DIPLOMA/IJAZAH IPTS/IPTA/OVERSEA TIDAK
DIIKTIRAF

============================================================
Jika kelayakan anda tidak kira samada dari IPTA,  IPTS mahupun
Luar Negara, jika ianya tidak diiktiraf oleh JPA, memang anda
tidak akan dipanggil temuduga. Jadi, pastikan kelayakan anda
diiktiraf untuk memasuki sector awam. Tak tahu samda ianya
diiktiraf atau tidak, semak di link ini
http://www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainIktiraf.asp

6. TIDAK LEPAS PEPERIKSAAN KHAS
===============================
Ada untuk jawatan tertentu memerlukan peperiksaan khas atau
ujian khas sebelum dipanggil temuduga. Jadi ramai juga yang tidak
lepas peperiksaan ini. Ada ujian menguji pengetahuan, ada ujian
fizikal dan ujian bakat. Jika berjaya lulus peperiksaan, baru
dipertimbangkan untuk dipanggil temuduga pula. Bukan bermaksud
berjaya peperiksaan kompem dapat temuduga. Untuk jawatan PTD,
penguatkuasa, dan lain – lain boleh dijadikan contoh.

Itulah antara sebab – sebab utama yang saya kaji kenapa kita
tidak dipanggil temuduga kerja kerajaan. Mungkin ada beberapa
sebab lagi, tapi ini sudah cukup untuk menerangkannya.

Tip beli rumah

Beli sekarang atau nanti dulu?

KEPUTUSAN membeli rumah dianggap langkah besar atau paling kritikal dalam hidup. Selain kenderaan, rumah menjadi pelaburan terbesar dilakukan mana-mana individu yang merasakan masanya sudah tiba untuk berteduh di rumah sendiri.
Bagi yang bijak merancang, rumah dapat dimiliki pada usia muda. Namun, ada individu terpaksa melalui tempoh panjang dan mencabar sebelum dapat memiliki rumah yang dibeli hasil titik peluh sendiri.

Selain faktor kemampuan kewangan, pembeli rumah perlu mengambil masa lama untuk meneliti pelbagai aspek. Nilai hartanah, lokasi, jenis rumah, kemudahan dan persekitaran projek perumahan perlu menepati cita rasa pembeli. Bagi yang kurang berpengalaman, amat penting pandangan pelbagai pihak termasuk ibu bapa diperoleh untuk dijadikan asas pertimbangan.

Sehubungan itu, pembeli rumah perlu melengkapkan diri dengan maklumat dan kemahiran sepatutnya supaya pelaburan yang dibuat bukan saja terjamin malah memberi keuntungan jangka panjang.

Dengan hasrat menyalurkan maklumat berguna kepada pembaca yang bercadang membeli rumah, kolum Tanya Pakar kali ini merujuk Pengerusi Eksekutif firma perunding hartanah terkenal, Rahim & Co, Datuk Abdul Rahim Rahman berhubung isu beli rumah.

BANYAK faktor perlu dipertimbang pembeli sebelum mendapatkan rumah idaman termasuk soal kepadatan dan kemudahan disediakan.

Khidmat yang disediakan di firma ini meliputi pelbagai disiplin seperti penilaian, penyelidikan, jualan, rundingan dan pajakan, pengurusan kemudahan, pengurusan projek, lelongan serta rundingan pelaburan. Ini termasuk pembelian aset di luar negara.

Bersama kolum ini, Abdul Rahim yang juga pengasas Rahim & Co sejak 33 tahun lalu memberi panduan asas bagi individu yang bercadang membeli aset pertama.

Ikuti temubual ini…

Seseorang perlulah bersedia dari segi kewangan jika ingin membeli rumah. Bagaimana kita hendak menentukan sama ada kita sudah bersedia membeli rumah? Apakah ada strategi kewangan yang perlu diamalkan?

Membeli rumah adalah antara perkara penting dalam hidup. Lazimnya, individu membeli rumah apabila usianya mencecah 30 tahun. Pada peringkat usia ini, mereka biasanya sudah berumahtangga dan mempunyai anak.

Sehubungan itu, mereka harus mencari rumah sendiri untuk keluarga. Apabila bercadang membeli rumah, pertama sekali, seseorang mestilah mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap.

Jika mengusahakan perniagaan, mereka perlu pastikan pendapatan bulanan stabil. Ini kerana dalam soal pembelian rumah, hanya segelintir individu saja mampu membayar secara tunai manakala selebihnya memerlukan pinjaman dari bank.

Kemudian, perlu dipastikan anda mempunyai wang tunai mencukupi. Sebagai contoh, jika pendapatan anda sekitar RM3,000, anda mesti mampu memperuntukkan satu pertiga daripadanya untuk bayaran balik secara bulanan bagi pinjaman yang dibuat.

Selain itu, wang juga mestilah cukup untuk bayaran pendahuluan rumah yang lazimnya dikira pada kadar minimum lima peratus daripada harga rumah. Perlu diingatkan, bukan aspek kewangan saja perlu diambil kira, persediaan dari sudut psikologi juga harus difikirkan.

Apabila membeli rumah, bayaran balik pinjaman setiap bulan perlu menjadi keutamaan manakala perbelanjaan lain yang tidak penting hendaklah dikurangkan.

Dalam kelembapan ekonomi sekarang, apakah wajar seseorang membeli rumah? Adakah lebih elok menyimpan wang terlebih dulu atau beli saja sekarang?

Ia bergantung kepada kedudukan seseorang. Sesetengah individu, pada usia sekitar 30 tahun pun masih tinggal di rumah ibu bapa, jadi keperluan untuk membeli rumah sendiri tidak begitu dirasakan.

Soal beli sekarang atau tidak, tiada piawaian tetap dalam menentukannya. Kesan kelembapan ekonomi akan dapat dilihat dengan ketara di Malaysia mungkin dalam tempoh terdekat.

Ramai yang akan kehilangan pekerjaan atau mungkin berada dalam ketidaktentuan berhubung kedudukan pekerjaan mereka. Ada kemungkinan juga harga pasaran rumah turun. Namun, lebih baik kita membuat pemerhatian terlebih dulu hingga pertengahan tahun untuk melihat sama ada penurunan harga rumah akan berlaku sebelum kita membuat keputusan.

Nasihat profesional dari pihak yang arif mengenai hartanah juga langkah bijak sebelum membuat keputusan.

Apakah jenis maklumat berhubung rumah dan pemaju perumahan yang perlu diselidik pembeli terlebih dulu?

Sebelum membeli rumah, beberapa aspek perlu dilihat. Antaranya, kualiti fizikal rumah. Ini dilihat melalui pelan atau rumah contoh jika rumah itu belum siap.

Kemudian, anda perlu lihat aspek lokasi dan kejiranannya sama ada ia memenuhi kehendak atau dilengkapi kemudahan asas seperti kedai, sekolah, klinik selain dihubungi jalan raya dan pengangkutan.

Semak juga status pegangan pajakan atau bebas. Jika pajakan, periksa berapa tahun lagi tempoh ia berakhir. Aspek lain yang perlu diambil kira adalah peningkatan nilai modal (capital value appreciation) serta pelaburan – sama ada rumah itu mudah dijual semula atau disewakan serta perkhidmatan selepas jualan.

Apakah tip pembelian rumah yang betul? Ramai menyatakan lokasi sebagai aspek terpenting. Bagaimana lokasi mempengaruhi harga dan nilai sesebuah rumah?

Ya, lokasi sesebuah projek perumahan memberi impak kepada harga dan nilai hartanah. Sebagai tambahan kepada aspek lokasi, kualiti kejiranan seperti kadar jenayah dan keselamatan kawasan, kemudahan asas dan persekitaran berkait rapat.

Rumah di lokasi yang memiliki semua kualiti ini dianggap rumah bernilai, mempunyai prospek peningkatan nilai modal dan harganya juga tentu lebih tinggi berbanding rumah lain.

Contohnya, di Kuala Lumpur, kita dapat lihat perbezaan harga rumah yang agak ketara di Bangsar dan Sri Hartamas dengan kawasan yang terletak di pinggir bandar.

Bagaimana kita boleh tahu nilai rumah idaman berbaloi dengan harga ditawarkan?

Ada dua sebab utama mengapa orang membeli rumah, Pertama, untuk didiami dan kedua, untuk tujuan pelaburan. Jika tujuannya untuk didiami, semua aspek kualiti yang dihuraikan sebelum ini seperti lokasi, kemudahan, kejiranan, jenis rumah, prospek nilai jual semula yang baik boleh menentukan sama ada harganya berbaloi atau tidak.

Jika seseorang membeli rumah untuk tujuan pelaburan, lihat pada aspek seperti pulangan sewaan serta analisis dari beberapa senario berbeza. Dalam soal ini, kita boleh membandingkan rumah di kawasan urban di Selangor dan lokasi sama tetapi di Kelantan.

Harga kedua-dua rumah ini tidak banyak berbeza tapi pulangan yang diperoleh jika rumah ini disewakan, tentu lebih tinggi bagi rumah di Selangor berbanding Kelantan.

Mana lebih baik, pegangan pajakan (leasehold) atau pegangan bebas (freehold)?

Bagi kebanyakan pembeli, rumah yang dibeli adalah untuk selama-lamanya. Dalam hal ini, pegangan bebas tentu menjadi pilihan yang lebih baik.

Bagi pegangan pajakan pula, pembeli memiliki rumah terbabit untuk suatu tempoh waktu saja. Di Malaysia, pegangan pajakan adalah bagi tempoh 99 tahun. Jika anda membeli rumah dari orang lain, bermakna tempoh pegangan pajakan kurang dari 99 tahun.

Kebanyakan rumah yang dijual sekarang ini dalam kategori pegangan pajakan. Pegangan pajakan yang lebih lama adalah lebih baik. Kadangkala, seseorang terpaksa memilih rumah pegangan pajakan kerana tidak mempunyai pilihan.

Kepada mereka, saya nasihatkan elak daripada membeli rumah yang pegangan pajakannya kurang 80 tahun. Satu lagi yang ramai tidak tahu, pemilik rumah boleh memanjangkan tempoh pegangan pajakan rumah. Cuma, prosesnya memakan masa dan memerlukan bayaran tambahan. Selain itu, anda perlu membuat permohonan dari pihak berkuasa.

Bagaimana kita boleh menyelidik rekod pemaju?

Sejarah projek perumahan yang dikendalikan pemaju, tempoh persiapan dan penyerahan, kualiti dan khidmat selepas jualan boleh dirujuk daripada Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (NHBA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau pencarian di internet.

Untuk lebih yakin, semak dengan Bursa Malaysia sama ada pemaju tersenarai. Pembeli juga disaran menyemak sama ada pemaju memiliki lesen pemaju yang sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Anda juga boleh bertanya daripada pembeli lain atau mereka yang sudah membeli serta mendiami kawasan perumahan sama.

Aliran membeli rumah lelong semakin popular sekarang. Adakah wajar membeli rumah melalui kaedah ini? Apakah ia ada kesan baik atau buruk?

Di Malaysia, lelong rumah dianggap tidak begitu baik. Rumah yang dilelong dilihat sebagai aset yang ingin ‘dilepaskan’ dan tidak baik. Namun, lelongan rumah di Australia dan Amerika Syarikat (AS) misalnya, dianggap sebagai kaedah penjualan hartanah terbaik serta popular.

Di negara ini, persepsi utama terhadap rumah lelong ialah sebagai jualan penutupan (foreclosure) atau terpaksa kerana pembeli gagal membayar semula pinjaman rumah.

Lelongan semakin terkenal di Malaysia, mungkin kerana semakin banyak rumah yang dilelong bank. Antara kelebihan lelongan rumah ialah tunai yang cepat, tarikh penutupan yang tepat dan tiada rundingan yang memakan masa panjang.

Antara kekurangannya pula, wujudnya masalah tersembunyi jika rumah yang dilelong tidak diperiksa dengan teliti, masalah hak milik yang tidak jelas serta masalah lain seperti hutang atau cukai tertunggak.

Namun, tidak salah membeli rumah lelong, cuma perlu diselidik jika ada masalah yang mungkin menyusahkan kerana kadangkala rumah yang dilelong dibiarkan tanpa penghuni bagi tempoh lama. Jadi, jika anda ingin membeli rumah lelong dan membayar jumlah tertentu, anda mungkin perlu menambah lagi bajet membaiki kerosakan rumah.

Sesetengah individu suka membeli dan menjual semula rumah selepas sesuatu tempoh singkat. Apakah ini memberi kesan kepada pembeli tulen?

Tindakan membeli dan menjual semula rumah yang dimaksudkan ini sebenarnya mempunyai kebaikan. Ini kerana ia membuatkan pasaran menjadi lebih aktif seterusnya membuatkan ekonomi lebih baik.

Mungkin ada yang melihatnya sebagai tindakan spekulasi. Namun spekulasi itu sebenarnya sebahagian daripada asas perniagaan hartanah. Kalau tiada spekulasi, pasaran hartanah tidak berkembang. Maka, kebaikannya, ia mewujudkan pasaran tadahan dan permintaan yang lebih baik selain memberi hasil lebih baik kepada kerajaan.

Kesan tidak baik pula berlaku apabila ia berleluasa. Ini tidak bagus untuk pasaran. Golongan spekulator ini membeli sesuatu rumah bukan untuk didiami tapi untuk meraih keuntungan dengan menjualnya semula dalam tempoh singkat.

Spekulasi yang terlalu banyak akan mewujudkan nilai tiruan dalam pasaran. Kesan kepada pembeli tulen pula, mereka perlu memenuhi kehendak yang ditetapkan penjual atau spekulator untuk memiliki rumah idaman. Ini bermakna, kuasa tawar-menawar akan berkurangan.

-bharian




Belajar menabung

Tip pejamkan mata, simpan duit

DALAM soal duit, istilah cukup bagai tidak pernah wujud dalam kamus hidup. Biarpun pendapatan mencecah lima angka, bukanlah menghairankan jika mendengar seseorang mengeluh wang tidak cukup. Kata orang, semakin besar periuk, semakin besarlah keraknya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan tabiat suka berbelanja dimiliki ramai orang. Memang sukar mengikis atau mengawal tabiat buruk ini kecuali dengan satu-satunya alternatif iaitu belajar menabung.

Menabung bukan saja cara mengawal nafsu membeli-belah, tetapi suatu kemestian yang perlu dilaksanakan. Namun, perubahan taraf hidup dan perkembangan cita rasa masyarakat, menabung bukan lagi menjadi amalan.

Tidak dinafikan, amalan menabung bukanlah mudah dilakukan. Ia memerlukan kecekalan hati dan motivasi tinggi selain ilmu betul mengenai kaedah menabung serta kepentingan amalan ini bagi setiap individu.

Seseorang perlu menabung supaya mereka dapat mencapai kebebasan kewangan. Kebebasan kewangan adalah alasan utama menabung atau menyimpan kerana selain barangan dan perkhidmatan, wang juga diperlukan untuk melakukan apa yang dihajati pada bila-bila masa. Selain itu, menabung juga penting sebagai persediaan menghadapi situasi tidak terduga.

Laporan berhubung kesedaran menabung di kalangan rakyat Malaysia yang didapati masih rendah baru-baru ini secara tidak langsung membuktikan yang ramai orang terutama anak muda tidak mengerti kepentingan menabung.

Sehubungan itu, bagi mengetahui mengapa perlunya amalan menabung diterapkan dalam diri dan faedah menyimpan wang, Tanya Pakar mendapatkan pandangan Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Musalmah Abdullah.

Kongsi tip menabung ini…

Apa sebenarnya definisi menabung?

Secara umum, tabungan bermaksud mengasingkan sejumlah wang dan dari segi kewangan. Ia juga bermaksud menyimpan sejumlah wang daripada pendapatan yang diperoleh untuk kegunaan di masa depan ataupun baki pendapatan selepas ditolak dengan perbelanjaan.

Apakah tujuan atau matlamat menabung dan bagaimana ia memberi kebaikan kepada seseorang individu?

Menabung atau menyimpan wang mempunyai pelbagai tujuan – sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Ada yang menabung untuk membeli harta yang diimpikan, ada yang menabung untuk berkahwin dan ramai melakukannya untuk bekalan hari tua.

Kebanyakan individu yang bekerja lazimnya memperuntukkan pendapatan untuk ditabung bagi keselesaan hidup selepas bersara.

Bagaimana cara sepatutnya untuk menabung? Adakah ia perlu dilakukan dengan mengasingkan sejumlah wang yang hendak ditabung setiap kali selepas baru menerima gaji atau menyimpan wang lebihan selepas melakukan semua perbelanjaan yang perlu?

Ada banyak cara orang menabung. Selain menabung dengan menyimpan wang di sesetengah tempat kerana belum ada kemudahan bank, antara cara lain yang pernah dipraktikkan masyarakat dulu ialah dengan menyimpan wang dengan cara membeli setem.

Apabila berpeluang menyimpan sedikit wang belanja, mereka biasanya membeli setem dan menyimpannya di dalam album. Selepas beberapa lama setem berkenaan dikumpul, mereka akan menukarkannya untuk mendapatkan wang.

Zaman sekarang, ada banyak pilihan untuk seseorang menyimpan wang. Sama ada dalam akaun simpanan di bank, amanah saham dan sebagainya. Cara menabung yang sebaik-baiknya ialah mengasingkan sebahagian daripada pendapatan selepas menerima gaji.

Kadar yang hendak ditabung mungkin sekitar satu pertiga daripada jumlah pendapatan. Mengasingkan lebih awal jumlah wang yang hendak ditabung adalah lebih digalakkan kerana ia lebih terjamin daripada menunggu untuk menyimpannya sebaik menunggu gaji baru.

Dalam tempoh menunggu itu, kemungkinan wang yang ada dibelanjakan adalah besar. Untuk lebih mudah dan lebih terjamin, cara pemotongan gaji bulanan juga dilihat sebagai kaedah berkesan.

Antara kaedah automatik seperti pemotongan gaji dan kaedah manual seperti penyimpanan sendiri (di mana-mana tempat strategik), mana satu yang lebih dianggap sebagai tabungan berkesan?

Ia bergantung kepada individu. Paling utama ialah kesedaran individu itu sendiri. Kesedaran untuk menabung di kalangan generasi masa kini boleh dikatakan agak kurang berbanding generasi dulu. Mungkin disebabkan perbezaan taraf ekonomi antara kedua-dua zaman ini.

Orang dulu lebih cenderung menabung kerana mereka merasai sendiri bagaimana sukarnya mendapatkan wang. Berbeza dengan situasi sekarang di mana taraf kehidupan adalah lebih baik dan ramai yang sudah biasa hidup senang. Jadi mereka tidak begitu sedar mengenai kepentingan menabung.

Ada di antara kita yang lebih berdisiplin dengan kaedah menabung manual kerana mereka tidak yakin untuk membuat potongan gaji. Ini kerana mereka tidak dapat menganggar berapa banyak wang yang dapat disimpan untuk sesuatu bulan.

Selain itu, cara ini juga dianggap psikologi berkesan bagi sesetengah individu kerana mereka akan lebih terdorong atau bersemangat apabila melihat jumlah wang yang disimpan.

Cara automatik atau forced saving seperti potongan gaji bulanan pula lebih selamat dan sesuai untuk mereka yang sukar mendisiplinkan diri membuat tabungan. Hasil ‘tabungan senyap’ ini biasanya akan menggembirakan seseorang selepas suatu tempoh yang lama.

Benarkah menabung banyak bersangkut-paut dengan sikap berjimat? Jjusteru untuk menabung, seseorang juga perlu mengamalkan sikap jimat-cermat dalam berbelanja?

Amalan menabung memang berkait rapat dengan amalan berjimat cermat. Wang yang berjaya disimpan hasil daripada perbelanjaan berjimat inilah yang selalunya dijadikan tabungan.

Oleh itu, seseorang haruslah berbelanja dengan berhemah supaya mereka dapat membuat simpanan untuk kepentingan masa depan. Namun, diakui memang sukar untuk berjimat dan menabung dengan adanya pelbagai barangan menarik dan tawaran jualan hebat di sana-sini. Ini ditambah pula dengan kemudahan kredit yang begitu senang untuk diperoleh.

Jadi, cara terbaik adalah dengan mengawal nafsu dan keinginan berbelanja.

Bagaimana jika jumlah pendapatan seseorang ‘cukup-cukup’ saja dan mereka tidak mampu untuk menabung?

Mempunyai pendapatan yang disifatkan sebagai ‘cukup-cukup’ tidak sepatutnya menjadi alasan untuk seseorang mengelak daripada menabung. Jika mereka merasakan pendapatan hanya ‘cukup-cukup’ untuk menampung kos sara hidup dan keperluan asas, mereka sepatutnya mencari jalan menambah pendapatan untuk dijadikan tabungan.

Banyak perkara boleh dilakukan bagi menjana pendapatan sampingan. Umpamanya melakukan sesuatu yang kita mahir dan minat. Kemudahan internet juga boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan sampingan.

Adakah menabung perlu dilakukan secara sistematik? Maksudnya, jumlah yang sama perlu disimpan setiap bulan atau ia bergantung kepada jumlah pendapatan bulanan yang diterima? Jika pendapatan bagi bulan tertentu lebih tinggi apakah jumlah tabungan perlu ditambah?

Seseorang perlu ada suatu kadar peratusan yang tetap untuk disimpan setiap bulan. Mereka perlu mendisiplinkan diri untuk memenuhi kadar yang sudah ditetapkan untuk disimpan.

Tetapi apabila mereka menerima lebihan pendapatan untuk sesuatu bulan, jumlah yang perlu ditabungkan juga sepatutnya ditingkatkan.

Adakah pelaburan jangka panjang seperti saham amanah adalah cara menabung yang lebih menguntungkan?

Pelaburan seperti saham amanah sememangnya suatu jenis tabungan yang menguntungkan dan disyorkan. Ini kerana ia berisiko rendah dan sesuai bagi mereka yang mahukan hasil dalam jangka masa panjang.

Pelaburan begini lebih menguntungkan jika dimulakan dari usia muda. Selain saham amanah, menyimpan dan melabur menerusi koperasi juga menjadi alternatif baik. Ini keran sambil menyimpan, seseorang dapat menikmati faedah lain yang disediakan untuk ahli koperasi.

Andai seseorang individu mempunyai minat serta bersungguh-sungguh menabung, mereka boleh mencari maklumat bagaimana membahagi-bahagikan wang mereka untuk disimpan dan dilaburkan dalam beberapa skim simpanan dan pelaburan.

Tetapi harus dipastikan juga skim simpanan atau pelaburan itu sah di sisi undang-undang dan selamat.

Dalam situasi ekonomi yang agak suram sekarang, bagaimana dengan rutin menabung seseorang? Wajarkah jumlah tabungan dikurangkan atau adakah ini masa yang sesuai untuk menggunakan tabungan yang ada jika perlu?

Kegawatan ekonomi tidak terlalu menjejaskan jika seseorang tidak kehilangan pekerjaan tetap. Bagi mereka yang tidak menghadapi masalah terjejasnya kewangan, lebih baik dikekalkan saja tabungan wang seperti biasa.

Tetapi, bagi mereka yang dibuang kerja atau dipotong gaji akibat kegawatan ekonomi, inilah waktunya tabungan yang dibuat selama ini boleh dimanfaatkan. Tabungan itu boleh dijadikan modal berniaga atau sebagainya sebelum mendapat kerja baru.

-bharian




Bahaya murung

Tip lelaki kawal gangguan emosi

ANDAI wanita menjadikan tangisan sebagai alternatif mahupun terapi terbaik melepaskan tekanan, lelaki pula ada cara sendiri. Tidak macho andai lelaki menangis, malah air mata bagaikan berat untuk dititiskan. Malah, bagi segelintir lelaki, menangis tidak wujud dalam kamus hidup.
Dek tebalnya sifat kelakian, kadang kala kaum Adam berdepan masalah setiap kali mahu meredakan gangguan psikologi seperti tekanan dan kemurungan. Malu dan bimbang diri dilabel lemah, mendorong lelaki yang ditimpa gangguan emosi cenderung berdiam diri.

Disebabkan terlalu memendam rasa, kelakuan dan karektor peribadi lelaki bertukar murung. Kemurungan atau depression boleh diklasifikasikan gangguan dalaman dan perasaan seseorang.

Gangguan perasaan ini boleh menjadi buruk andai tiada usaha memulihkannya atau mencari jalan keluar dari kemelut yang dihadapi melalui pengucapan kata-kata semangat atau alternatif lain.

Apakah sebenarnya punca berlakunya kemurungan?

Kemurungan boleh berlaku dalam diri sesiapa saja – tidak kira lelaki mahupun wanita. Namun, masalah itu cenderung dialami golongan dewasa yang dibebani masalah harian, peribadi mahupun keluarga.

Faktor kemurungan boleh berpunca daripada pelbagai sebab seperti kematian anggota keluarga, putus kasih, perceraian, krisis ekonomi dan bebanan di tempat kerja.

Malah, faktor penyakit kronik juga boleh mendedahkan diri kepada gejala kemurungan. Jika gagal mengawal perasaan atau bersikap reda dan realistik, seseorang yang menghidap penyakit kronik boleh bertukar murung hingga menganggap dunia sudah tidak bererti lagi.

Keadaan bertambah buruk andai individu lemah ini mendapat pengesahan doktor mengenai penyakit yang mungkin tidak boleh diubati lagi atau ramalan jangka hayat pendek yang menanti mereka.

Gejala kemurungan tidak boleh ditangani sepenuhnya dengan berbekalkan kata-kata semangat semata-mata. Sebaliknya, hati yang cekal dan positif selain inisiatif berubah perlu menjadi taruhan individu yang mahu mengatasi sindrom kemurungan.

Tanpa keyakinan diri serta kesungguhan tampil lebih positif, individu yang dilanda kemurungan pasti berada dalam kedudukan bahaya jika tidak dikawal sepenuhnya.

Selain itu, berdasarkan perkembangan semasa dan faktor sekeliling, masalah kewangan serta kelembapan ekonomi juga mendorong individu bertukar murung. Biarpun kesan kelembapan ekonomi belum dirasakan sepenuhnya, sudah menjadi lumrah manusia bersikap panik sehingga diri cemas.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye pernah menulis mengenai pentingnya pembangunan dan penggalakkan kesihatan mental yang baik dalam mengharungi kegawatan ekonomi sekarang.

Saranan itu dilihat serius kerana berlaku peningkatan dalam kes kemurungan dan tekanan yang boleh mendatangkan kesan amat buruk kepada rakyat.

“Kesan kegawatan ekonomi memungkinkan semakin ramai pekerja menghadapi kegusaran, tekanan dan kemurungan yang bersangkut paut dengan pekerjaan dan tugas mereka.

“Impak masalah kesihatan mental yang berpunca daripada masalah ekonomi boleh menjejaskan pekerja dan keluarga mereka serta seluruh masyarakat amnya. Ini amat serius dan perlu diatasi,” katanya.

Sehubungan itu, Lee mencadangkan Kementerian Kesihatan memperkenalkan langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang untuk membantu rakyat menghadapi tekanan dan kemurungan.

Selain itu, kementerian disaran meningkatkan usaha penggalakan kesihatan mental yang baik di kalangan rakyat Malaysia.

Lee berkata, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak berlakunya kejadian bunuh diri dan peningkatan kes pesakit mental disebabkan faktor kegawatan ekonomi dan pengangguran.

Lebih-lebih lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, kemurungan adalah punca yang kelima antara faktor utama yang menyebabkan manusia hilang upaya. Ini dianggarkan meningkat ke tempat kedua menjelang 2020.

Sehubungan itu, kempen dan program pendidikan berhubung kesihatan mental yang baik wajar dilaksanakan bagi mengelak lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa kemurungan tanpa disedari.

Info

  • Individu murung dikenal pasti mengalami perubahan dalam sistem otak.
  • Perubahan ini boleh dicetuskan oleh penyakit fizikal, tekanan, kekecewaan atau kesedihan.
  • Selain persekitaran, faktor keturunan juga antara penyebab penyakit ini.
  • Sindrom kemurungan adalah penyakit membabitkan kesihatan badan, perasaan dan fikiran.
  • Kemurungan juga menjejaskan tabiat makan dan tidur, fungsi seharian dan proses berfikir.
  • Perkataan kemurungan atau depression adalah diambil daripada perkatan Latin yang membawa maksud to press down.
  • Sejak abad ke-14, to depress merujuk kepada penaklukan atau menjatuhkan jiwa (spirit).
  • Sekarang kemurungan atau depression digunakan dalam kajian bidang fisiologi dan ekonomi.
  • Pada pertengahan abad ke-20, pengkaji mengeluarkan teori bahawa kemurungan disebabkan ketidakstabilan bahan kimia dalam neurotransmitter di otak.
  • Teori ini berdasarkan pemerhatian yang dibuat pada tahun 1950-an mengenai kesan reserpine dan isoniazid yang memberi impak kepada simpton kemurungan.
  • Simptom kemurungan
  • Kesedihan atau kekosongan perasaan yang berpanjangan.
  • Tiada minat atau rasa seronok terhadap hobi dan aktiviti lain yang lazimnya mendatangkan keseronokan.
  • Mudah berasa letih dan tidak bertenaga.
  • Perasaan pesimistik dan mudah berputus asa.
  • Rasa bersalah dan tidak berguna.
  • Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur.
  • Hilang selera makan dan penurunan berat badan.
  • Keinginan untuk mati dan membunuh diri.
  • Rasa tidak tenteram dan mudah marah.
  • Kurang daya tumpuan dan sukar membuat keputusan.
  • Simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman.
  • 5 tip elak kemurungan
  • Belajar lebih bersabar dan berfikiran positif.
  • Usah terlalu bercita-cita tinggi hingga sukar digapai.
  • Elak bersendirian. Luangkan masa bersama mereka yang bermakna dalam hidup.
  • Babitkan iri dalam aktiviti menyihatkan dan bersosial.
  • Tingkatkan keyakinan diri dengan menyertai kursus motivasi.-bharian