Tag Archives: aliran darah

Urut batin

mainpix1 Urut batin
CONTOH urutan memulihkan pengaliran darah pada bahagian penting yang mempunyai kaitan langsung dengan alat kelamin.

Tip atasi masalah kelakian, senam mantap tenaga batin

SUDAH hampir sebulan, Zakrul (bukan nama sebenar) nampak serba tidak kena – moody, marah-marah dan suka menyendiri. Kalau dulu, pantang diajak makan-makan atau pekena teh tarik lepas kerja, sekarang jangan harap lah dia hendak bersama teman. Kalau tidak ada kerja, Zakrul lebih suka terperuk di cubical (ruang bertugas) tanpa diganggu sesiapa. Mengapa dia tiba-tiba berubah?

Puas bertanya, akhirnya dengan sahabat karib, Zakrul mengakui punca dirinya moody serta tidak terurus. Dalam berbisik, Zakrul memberitahu, ‘beb, barang aku problem lah!’. Zakrul yang mendirikan rumah tangga dengan gadis yang pilihan tiga tahun lalu hairan mengapa dia tidak mampu perform setiap kali bersama isterinya sejak sebulan lalu.

Senario yang dialami Zakrul ini sebenarnya biasa dilihat dalam masyarakat. Namun, sudah lumrah, kita tidak pernah membincangkannya secara terbuka. Lelaki segan bercerita mengenai hal-hal sulit kecuali jika bersama teman baik, doktor atau tukang urut dan bomoh yang ditemui untuk mengadu masalah. Jauh sekali bercerita dengan isteri…

Mungkin tidak salah mengatakan ramai lelaki enggan mengakui masalah kelakian yang dialami biar sekronik manapun. Aksi yang mengundang ejekan tidak macho atau perbuatan penuh rela mengakui diri tidak cukup gah di ranjang bagai tidak pernah wujud dalam kamus hidup segelintir lelaki.

Dek ego dan sikap malu berterus terang, ada lelaki cenderung mencari jalan penyelesaian sendiri termasuk membeli ubat kuat tepi jalan atau mendapatkan khidmat tukang urut batin.

Urut batin? Nampaknya, makin popular istilah ini sejak kemahiran mengurut dikomersialkan umpama suatu exercise penjenamaan semula paling efektif. Perhatikan saja kiri kanan jalan, tentu ada kain rentang atau kertas tertera info pusat urutan batin serta nombor telefon yang boleh dihubungi andai berdepan masalah kelakian.

Apa sebenarnya masalah kelakian dan bagaimana ini berlaku? Apakah ubat paling mujarab untuk mengatasinya? Benarkah urut batin jalan penyelesaian terbaik memulihkan kejantanan?

XY – Ikon Lelaki menemubual tukang urut di Pusat Urutan dan Spa Aroma Damai di Brickfields, Mohammad Hafiz Abdul Hamid perihal lelaki dan isu kejantanan yang makin mendapat perhatian akhir-akhir ini.

Beliau berkata, dalam mencari kebahagian hubungan kelamin, lelaki moden perlu mengamalkan gaya hidup sihat. Ini kerana katanya, tabiat, intensiti serta kecenderungan hidup zaman ini memungkinkan lelaki berdepan risiko lemah tenaga batin.

“Stress, jarang bersenam malah bagi sesetengah lelaki, tidak ada langsung aktiviti fizikal serta tidak menjaga makan boleh menyumbang kepada masalah kelakian dan hubungan kelamin suami isteri,” katanya mula bicara.

Mohammad Hafiz berkata, alternatif urut tenaga batin ada kalanya bukan penyelesaian bagi lelaki yang mahu memulihkan nafsu syawatnya.

Beliau berkata, lelaki yang mahu mendapatkan khidmat urut batin perlu berhati-hati kerana dikhuatiri urutan yang diterima terutama jika dilakukan pada kemaluan boleh memudaratkan diri sendiri.

“Langkah pertama, sebagai tukang urut, kita perlu melihat tahap kronik masalah yang dihadapi individu yang mendakwa mengalami masalah batin. Misalnya, kita di sini, tidak sewenang-wenangnya menawarkan kemahiran mengurut batin kepada individu yang berdepan masalah kronik.

“Sebaliknya, dalam kes sebegini, kita akan meminta mereka pergi berjumpa pakar perubatan bertauliah,” katanya.

Mohammad Hafiz berkata, isu prestasi lelaki di atas katil dan kemampuan seks banyak bergantung kepada pengaliran darah dan urat saraf terutama bahagian yang mempunyai hubungan langsung dengan alat kelamin.

“Apa yang saya amalkan ialah kita mengacau urat refleksologi pada tubuh… Ini membabitkan bahagian pinggang, bawah perut, bawah pusat, rusuk ke pusat dan urutan pada kaki dan tapak kaki.

“Urutan yang diberi dapat memperbetulkan perjalanan darah supaya tidak ada yang tersangkut… Bagaimanapun, sebelum itu kita akan beri urutan badan sepenuhnya supaya ia tidak mengganggu keselesaan tubuh,” katanya.

Mohammad Hafiz berkata, amalan mengurut kemaluan dikhuatiri boleh memudaratkan alat kelamin itu kerana ia hanya mempunyai saluran darah dan urat.

“Disebabkan itulah, kita hanya mengusik urat refleksologi pada tubuh lelaki yang mempunyai kaitan langsung dengan alat kelamin. Namun, ada dalam situasi tertentu urutan diberi pada kemaluan tetapi ia perlu dilakukan dengan berhati-hati dan atas sebab betul,” katanya.

Beliau berkata, lelaki yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi misalnya, ditegah daripada melakukan urut batin kerana pengambilan ubat mengawal penyakit itu tidak menjanjikan keputusan positif jika berurut.

Tambah Mohammad Hafiz, beberapa amalan seperti senaman memantapkan tenaga batin dan diet pemakanan betul disaran diikuti lelaki yang mahu menjaga keharmonian rumah tangga dan tenaga batin yang mantap.

Panduan senaman memantapkan tenaga batin. Senaman ini boleh dilakukan setiap hari selepas solat subuh.

Rutin 1

  • Duduk bersila sambil tumit di kedua-dua belah kaki bertemu. Rapatkan jari pada kedua-dua belah tangan untuk imbangan.
  • Bangun perlahan-lahan dengan tangan kekal pada posisinya. Tarik nafas dan kekalkannya.
  • Selepas berdiri tegak, duduk perlahan-lahan mengikut posisi asal. Anda hanya boleh melepaskan nafas yang ditarik sebaik duduk. Ulangi proses ini mengikut kemampuan dan ingat, lakukan perlahan-lahan.Rutin 2
  • Duduk dalam keadaan kaki kiri dilipat manakala kaki kanan dilunjur atau dibuka luas pada posisi selari. Pastikan jari kaki ditarik dibengkok ke atas.
  • Menggunakan tangan kiri, capai ibu jari kaki kanan dengan badan dibongkokkan menghala kanan. Lakukannya dalam tempoh 10 saat.
  • Ulangi proses ini dengan kaki kanan dilipatkan manakala kaki kiri dilunjur selari. Menggunakan tangan kanan, capai ibu jari kaki kiri anda dan biarlan selama 10 saat.
  • Ubah posisi seperti mahu melakukan tekan tubi. Depa tangan seluas mungkin dan turunkan badan.
  • Hayun tubuh ke kanan dengan bahagian pinggang dan punggung dinaikkan. Ulangi proses ini dengan menghayun tubuh ke kiri.Rutin 3
  • Pastikan posisi anda dalam keadaan duduk antara dua sujud.
  • Baringkan badan tetapi dalam keadaan kaki kanan dilipat manakala kaki kiri lurus. Pastikan kepala mencecah lantai manakala lipatan kaki kanan mengimbangi badan anda supaya ada ruang antara pinggang, punggung dan lantai.
  • Angkat badan anda dengan setinggi boleh dengan kepala melekat di lantai dan badan diimbang kaki berlipat. Lakukannya dalam tempoh 10 saat.
  • Ulangi proses ini dengan kanan kiri dilipat manakala kaki kanan lurus.
  • Contoh urutan memulihkan pengaliran darah pada bahagian penting yang mempunyai kaitan langsung dengan alat kelamin.-bharian