Variasi rangkaian IXUS




in 02.1 Variasi rangkaian IXUS

BAGI setiap model siri kamera digital ini, ciri inovasi jelas terlihat pada aspek reka bentuk dan fungsinya.


PELBAGAI jenis kamera kompak digital yang terdapat di pasaran hari ini kadangkala menyukarkan pengguna memilih gajet yang sebenarnya menepati kehendak mereka.

Pengguna mahukan produk tahan lasak, mempunyai reka bentuk menarik, kepantasan dan yang paling penting dapat menghasilkan gambar atau video berkualiti.

Semua itu dapat mengabadikan detik yang suatu hari nanti menjadi sejarah berharga dalam hidup mereka.

Menyedari kepentingan ini, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. telah memperkenalkan tiga rangkaian baru kamera berkualiti lagi bergaya terdiri daripada model IXUS 105, IXUS 130 dan IXUS 210.

Ketiga-tiga model baru tersebut merupakan kesinambungan daripada empat model IXUS sebelum ini yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar fotografi tetapi dengan ciri-ciri tambahan lebih berkuasa.

Kesemua model terbaru ini masih mengekalkan pemproses Imej DIGIC 4 yang menawarkan imej perincian halus untuk menghasilkan warna lebih semula jadi agar imej dirakamkan lebih bermutu.

Dengan teknologi Imej DIGIC 4, pengguna juga dapat merasai pengalaman pemprosesan imej pantas, mengurangkan kesan bintik halus pada ISO tinggi dan penstabilan imej yang lebih baik.

Bagi model IXUS 105 yang mempunyai resolusi 12.1 megapiksel, ia didatangkan dengan lima pilihan warna trendy iaitu biru, perang, merah jambu, hijau dan perak yang sesuai bagi golongan berjiwa muda.

Berbekalkan lensa berkualiti tinggi 4x zoom optikal sudut luas, skrin diod pemancar cahaya (LED) lebih besar, 2.7 inci dan mod pencahayaan rendah (Low Light) gajet baru ini mampu memberikan kepuasan kepada pengguna.

Dalam pada itu, model IXUS 130 dan IXUS 210 yang mempunyai resolusi 14.1 megapiksel pula mampu merekod video dalam bentuk definisi tinggi (HD) ditambah pula dengan sambungan HDMI.

Inovasi terbaru pada model IXUS 130 ialah mod efek mini (miniature effect) seakan-akan kesan bokeh iaitu merujuk kepada satu keadaan latar belakang yang kabur manakala subjek utama adalah jelas dan sempurna.

Gajet terbaru yang didatangkan dengan empat warna pilihan, perak, hitam, jingga dan merah jambu turut dilengkapi mod efek mata ikan (fish-eye) untuk meningkatkan kreativiti pengguna.

Sementara itu, model IXUS 210 pula mengetengahkan panel sentuh LCD 3.5 inci lebar dengan Touch AF menjadikan pengalaman pengimejan lebih mudah dan mempesonakan kepada pengguna.

Model kamera kompak digital ini turut mendapat nafas baru apabila didatangkan dengan capaian lensa 24 milimeter (mm) ultra sudut luas bagi memudahkan pengguna merakam imej berkumpulan dan lanskap lebih cantik.

Secara keseluruhannya, kesemua kamera kompak digital ini memiliki ciri-ciri automatik yang menjanjikan pengguna rakaman gambar berkualiti dalam apa jua keadaan.

Siri terbaru model kamera kompak Canon IXUS ini boleh diperoleh pada harga RM799, RM1,099 dan RM1,399. Maklumat lanjut, sila layari laman web www.canon.com.my.

-kosmo

131 total views, 1 views today