Tag Archives: audio visual

Pengalaman skrin sentuh kreatif




me 01.1 Pengalaman skrin sentuh kreatif

LG Cookie 3G (LG KM555) menawarkan fungsi hiburan dan akses rangkaian sosial terbaik


ANTARA elemen sofistikated yang semakin banyak ditampilkan pada gajet telefon bimbit pintar hari ini adalah binaan skrin sesentuh moden.

Selain kelihatan ringkas dan bergaya, fungsi tersebut juga menawarkan pengguna kemudahan mengakses pelbagai operasi pada peranti mudah alih mereka.

Mengetengahkan kelebihan itu, syarikat peneraju inovasi komunikasi mobiliti, LG Electronics (LG) baru-baru ini telah memperkenalkan tiga model telefon bimbit terkini yang menampilkan fungsi skrin sentuh lebih seronok dan kreatif.

Model tersebut adalah LG Cookie3G (LG KM555), LG Cookie Plus (LG GS500) dan LG Cookie Fresh (LG GS290).

Ketiga-tiga model dalam rangkaian jenama Cookie itu disempurnakan bersama beberapa kelebihan seperti paparan grafik termaju, aplikasi mobiliti terkini dan pengalaman rangkaian sosial terbaik.

Untuk aktiviti rangkaian sosial, model-model berkenaan dilengkapi aplikasi pintar Social Network Service (SNS) yang menawarkan visual interaktif dalam talian lebih dinamik.

Tidak cukup dengan itu, ia turut menampilkan paparan antara muka pengguna yang lebih unik dan bergaya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LG Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd., Jeff Cheh, penampilan model-model tersebut bakal melengkapkan usaha syarikat itu untuk memberi keseronokan hiburan dan komunikasi di kalangan penggunanya.

“Spesifikasi pada model-model ini dibangunkan sesuai untuk pelbagai peringkat pengguna.

“Walau bagaimanapun, ia masih mengekalkan identiti dan ciri-ciri asal rangkaian telefon bimbit Cookie,” katanya.

LG Cookie3G, LG Cookie Plus dan LG Cookie Fresh kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga masing-masing RM799, RM699, dan RM499.

/// utusanmalaysia ///

Skrin TV bergerak




me 01.1 Skrin TV bergerak

Cermin mata hanya perlu disambung kepada alat pemain video bergerak seperti ipod atau telefon bimbit multimedia untuk membolehkan ‘kaca TV’ berada di hadapan mata.

KOMPUTER boleh pakai (wearable computer), alat melihat media peribadi, cermin mata berskrin komputer dan terkini topi TV merupakan antara gajet yang sangat mengkagumkan.

Apa tidaknya, dengan memakai produk-produk itu seperti cermin mata atau topi, anda akan boleh melihat skrin komputer atau menonton video kegemaran.

Menarik bukan? Walaupun anda berada di luar rumah atau pejabat, kini anda boleh menonton video kegemaran atau menggunakan komputer yang menggunakan skrin ‘besar.’

Sebenarnya memang kita telah menonton video di pemain multimedia, Blackberry, pemain MP3, skrin telefon bimbit atau iPhone – tetapi saiz skrinnya sangat kecil.

Tidak hairanlah ada di kalangan kita yang akhirnya balik ke rumah, menyambungkan video di pemain multimedia ke televisyen atau komputer untuk mendapat kepuasan menonton.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi boleh pakai telah membolehkan gajet-gajet itu disambungkan ke kaca mata atau skrin di topi yang membolehkan kita seolah-olah melihat di kaca televisyen atau komputer.

Cermin mata Myvu misalnya yang dibangunkan oleh MicroOptical Corporation merupakan cermin mata yang membolehkan pengguna melihat video seolah-olah menonton di skrin besar.

Cermin mata itu hanya perlu disambungkan kepada alat pemain video bergerak seperti iPod atau telefon bimbit multimedia untuk membolehkan ‘kaca TV’ berada di hadapan mata kita.

“Konsep menonton video bergerak semakin menjadi kenyataan tetapi terdapat konflik dalam perkara ini kerana pengguna mahukan peranti yang kecil tetapi pada masa yang sama inginkan skrin besar,” kata Ketua eksekutif MicroOptical, Mark Spitzer.

Kaca mata atau ‘eyewear’ Myvu itu menggunakan teknologi paparan kanta optik dan pembesaran terkini. Bagi mengatasi masalah saiz, MicroOptical telah menggunakan teknologi paparan yang digunakan dalam industri kesihatan, ketenteraan dan sebagainya untuk digunakan dalam produk terkini itu.

Myvu didatangkan dengan kabel penyambung audio/visual (AV) yang biasa, pek kuasa bateri yang boleh diletakkan dalam beg kecil. Bateri dan set fon telinga juga boleh diletakkan bersama peranti bergerak (seperti telefon atau iPod) dan satu beg pinggang atau ‘pouch.’

Kini sebuah lagi alat menonton bergerak diperkenalkan yang dikenali sebagai TV Hat (topi televisyen) yang mana anda boleh menonton video apabila memakai topi itu.

Seperti Myvu, anda hanya perlu menyambungkan TV Hat kepada mana-mana pemain multimedia atau iPhone dan kemudiannya menonton di skrin yang berada di dalam topi itu.

Topi itu dilengkapi dengan skrin kaca pembesar 2.5x dan penutup cahaya yang memberikan suasana gelap seperti berada di dalam panggung wayang.

Topi besar ini boleh diletakkan iPod, iPhone atau mana-mana pemain media bergerak. Untuk mendapatkan bunyi menarik, anda boleh memakai fon kepala yang dibekalkan bersama iPhone anda.

Jika anda sememangnya ingin bersendiri menonton ketika berada di luar rumah dan tidak kisah jika dianggap ‘orang pelik’, TV Hat adalah pilihan yang sesuai.

Alat yang yang dianggap ciptaan aksesori terhebat untuk iPhone atau pemain multimedia ini juga sebenarnya membuatkan anda kelihatan sangat pelik apabila memakainya, selain boleh memberi kesan tidak elok kepada mata anda jika digunakan dalam masa yang terlalu lama.

TV Hat sangat sesuai digunakan ketika anda sedang berada di dalam kapal terbang, berehat di tepi pantai atau juga bersenam di gimnasium.

Anda boleh mengubah skrin kaca ke hadapan atau belakang sedikit daripada mata tetapi kaca itu tidak boleh dibuka.

Maklumat mengenai TV Hat boleh diperoleh di laman web www.trytvhat.com.

Selain Myvu dan TV Hat, terdapat beberapa lagi produk untuk menonton video atau bahan-bahan multimedia di ‘skrin besar’ yang terdapat di kaca mata telah diperkenalkan seperti produk EyeCinema dari Estar dan iTheater dari EMG.

Cermin iTheater didatangkan dalam tiga jenis bagi disesuaikan dengan bentuk hidung atau saiz muka seseorang. Seperti Myvu, cermin mata ini juga membolehkan pengguna melihat kawasan sekeliling walaupun ketika sedang menonton filem di iTheater.

Sudah semestinya, cermin mata dan topi seumpama ini akan lebih banyak dibangunkan selepas ini kerana ia akan menjadi pelengkap kepada mereka yang suka menonton walaupun ketika berada di jalanan.

-utusanmalaysia

Momen projektor poket




in 02.1 Momen projektor poket

WU (dua dari kiri) bersama Pengurus Pemasaran 3M, Ben Heng (dua dari kanan) bergambar bersama model ketika pelancaran projektor poket MPro150 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KEBANYAKAN orang pasti tidak akan percaya sekiranya anda memberitahu bahawa anda sedang membawa sebuah projektor di dalam kocek kemeja atau beg tangan. Biasanya, projektor yang akan terlintas dalam fikiran adalah bersaiz besar dan berat.

Kini, gambaran itu tidak lagi tepat setelah 3M, sebuah syarikat Amerika Syarikat yang dikenali dengan inovasinya membawa projektor generasi ketiga yang saiznya berpadanan dengan saiz tapak tangan.

Lebih menarik, dengan beratnya hanya 160 gram, ia mampu beroperasi tanpa kabel atau sebuah komputer riba. Ia adalah produk elektronik terbaru yang sempurna untuk berkongsi video dan foto kegemaran bersama teman dan ahli keluarga.

Menurut Pengarah Urusan 3M Malaysia, Michael Wu, 3M MPro150 boleh berfungsi di mana sahaja sama ada di bilik rehat, pantri di tempat kerja atau kedai kopi kegemaran anda.

“Alat ini amat mudah alih dan amat senang untuk dipasang dan digunakan. Anda hanya perlu halakan projektor kepada dinding untuk melihat video atau gambar bersama sesiapa sahaja.

“Melalui projektor ini juga, anda tidak perlukan lagi komputer riba, kuasa kabel dan beg berat untuk diangkat ke mana-mana. Ia adalah kesempurnaan di dalam saku anda,” katanya.

Wu memberitahu, MPro150 mempunyai satu gigabit memori terbina dalam untuk menyimpan semua gambar, video dan muzik, sekali gus menghapuskan keperluan untuk disambungkan kepada sebuah komputer untuk berfungsi.

in 02.2 Momen projektor poket

PROJEKTOR MPro150 boleh disambungkan kepada peralatan seperti iPhone, iPod dan PS3.


“Ia juga datang bersama sebuah kad mikro SD dengan dua gigabit memori secara percuma untuk simpanan tambahan fail-fail yang lebih besar seperti filem atau pembentangan serta boleh menyokong sehingga 16 gigabit memori.

“Sebagai projektor terkemuka dunia, MPro150 menyokong aplikasi Microsoft Office dan Adobe PDF. Oleh itu, ia dengan mudah memainkan peranan sebagai sebuah alat cekap untuk mereka yang sentiasa bergerak,” katanya.

Katanya lagi, MPro150 juga mampu menayangkan imej yang jelas dan terang dengan keluasan pepenjuru 50 inci dan tingkat kepekatan dan kontra warna yang amat baik.

“Bukan setakat itu sahaja, MPro150 juga membolehkan anda bersantai sambil mendengar lagu kegemaran kerana ia diintegrasikan dengan pembesar suara stereo dan bicu fon kepala.

“Ini menjadikan MPro150 sebagai pemain MP3 peribadi anda atau teater bergerak untuk kumpulan kecil seramai empat atau lima orang,” katanya.

Selain itu tambah Wu, MPro150 berfungsi serba guna kerana ia boleh disambungkan kepada pelbagai jenis peralatan termasuk iPhone, iPod, PS3, kamera digital, pemain DVD serta kamera video.

“Baterinya boleh bertahan selama dua jam manakala mentol projektor mampu bertahan selama 20,000 jam.

“Ini bermaksud anda tidak perlu menukar LED. Ia juga berbaloi dengan harga serta tidak memerlukan penyelenggaraan dan mempunyai jaminan ganti 15 bulan,” katanya.

in 02.3 Momen projektor poket

TRIPOD kecil memudahkan penggunaan projektor poket.


Jelas beliau, ciri-ciri tambahan yang ada pada MPro150 termasuk flip-berdiri bersepadu, tripod dan pelbagai jenis kabel input. Ini menjadikan MPro150 sesuai untuk pelbagai peralatan video output yang terkini dan popular.

“MPro150 boleh didapati di kedai-kedai MACHINE dan cawangan-cawangan kedai IT utama. Harga runcitnya ialah RM1,899 dengan pembesar suara mudah alih TDK percuma bernilai RM89 bagi setiap pembelian,” katanya.

Untuk maklumat lanjut layari laman web www.3Mpocketprojector. com.my.

-kosmo

Samsung tawar pakej televisyen 3D serendah RM9,999




ne 12.1 Samsung tawar pakej televisyen 3D serendah RM9,999

SEORANG model menunjukkan salah sebuah Televisyen LED 3D selepas majlis pelancarannya di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung) mahu mengekalkan penguasaan pasarannya dalam segmen televisyen di negara ini menerusi pengenalan produk terbaru yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

Pengarah Urusannya, Yu Jai Sul berkata, antara produk terbarunya ialah televisyen dengan teknologi pemancar cahaya diod tiga dimensi definisi penuh (HD Penuh Televisyen LED 3D) satu rangkaian pilihan menyeluruh untuk hiburan 3D di rumah.

“Meskipun produk berkenaan baru berada di pasaran tempatan sejak semalam tetapi minat yang ditunjukkan oleh pengguna yang meminati barangan berinovatif amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Televisyen LED 3D yang turut dihadiri oleh Pengarah Pemasaran Samsung, Jimmy Tan Chee Wee dan Ketua Pemasaran Audio Visual Samsung, Chong Xu Jenn, di sini semalam.

Mengulas mengenai produk televisyennya itu, Jai Sul berkata, syarikat induknya, Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung Electonics) telah merekodkan jualan sebanyak 2.6 juta unit bagi Televisyen LED di seluruh dunia tahun lalu.

“Tahun ini, kami mengunjurkan peningkatan jualan bagi unit ini berbanding angka yang direkodkan pada tahun lalu.

“Ini kerana Samsung Electronics disenaraikan sebagai syarikat nombor satu dalam pasaran global yang menggunakan pendekatan teknologi terbaru (HD Penuh Televisyen LED 3D) dan ia secara langsung akan mengukuhkan jenama kami di peringkat global,” katanya.

Selain itu, Chee Wee menjelaskan, produk terbaru itu dijual menerusi pakej dan boleh didapati di pasaran bermula semalam dengan harga serendah RM9,999.

Tambah beliau, permintaan terhadap televisyen 3D akan melonjak sehingga 13.6 peratus berbanding 0.3 pada tahun lalu.

-kosmo