Tag Archives: cacat penglihatan

‘Kami bukan PENGEMIS’

Golongan cacat penglihatan di kawasan beli-belah di Jalan TAR mencari rezeki menghiburkan para pengunjung dengan alunan muzik dan lagu.

ur 01.1 Kami bukan PENGEMIS


DI celah-celah kesesakan lautan manusia dan deretan gerai bazar Aidilfitri yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan Masjid India, sayup-sayup kedengaran irama nyanyian yang berentak sederhana.

Semakin dihampiri, irama syahdu yang menjadi halwa telinga itu semakin jelas kedengaran. Apabila sampai ke lokasi sebenarnya, kelihatan seorang lelaki tua yang cacat penglihatan duduk di satu sudut kaki lima bersama peralatan muziknya, keyboard.

Itulah satu-satunya alat yang membantu Abdullah Mat Saman, 67, mencari nafkah untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Sedang dia asyik memetik keyboard yang berada di hadapannya, pengunjung yang lalu-lalang di kawasan kaki lima itu bermurah hati memasukkan beberapa keping not seringgit ke dalam kotak yang disediakan.

Apabila didekati, penulis lantas memperkenalkan diri kepada lelaki itu sambil memberitahu tujuan kedatangan penulis bersama jurugambar, Hayat Sueet pada hari tersebut.

Pengalaman

Ternyata hasrat kami disambut baik oleh beliau yang kemudian menceritakan serba sedikit pengalamannya bermain alat muzik sejak tahun 1960-an.

ur 01.2 Kami bukan PENGEMIS

WALAUPUN cacat penglihatan sejak berumur sepuluh tahun, Abdullah (gambar kecil) boleh bermain alat muzik dengan baik.


Menurut Abdullah, dahulu dia bermain dalam satu kumpulan bersama tiga rakan yang lain. Memegang posisi sebagai pemain dram, mereka kerap diundang membuat persembahan di rumah-rumah yang mengadakan kenduri kahwin.

“Bayaran yang diberikan pula tidak sebanyak mana, tetapi cukuplah untuk menyara kehidupan ketika itu. Kemudian, saya beralih arah apabila mendapat peluang bermain di kelab malam sekitar Lembah Klang dan juga Melaka.

“Pada tahun 1975, saya mengambil keputusan untuk berhenti bermain di kelab malam dan seterusnya mencuba nasib bermain di tapak-tapak ekspo atau fun fair. Selain bermain dram, saya juga mampu bermain gitar,” ujar Abdullah yang cacat penglihatan sejak berusia 10 tahun akibat demam cacar.

Rutin

Menceritakan lebih lanjut, Abdullah mula bermain muzik di sekitar Jalan TAR dan Jalan Masjid India sejak 28 tahun lalu.

Walaupun dikategori sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), tetapi Abdullah tetap berbangga kerana masih mampu menyara kehidupan dengan kebolehannya bermain alat muzik seperti manusia normal yang lain.

“Saya bukan mengemis tetapi saya mencari nafkah dengan cara yang halal. Kebolehan yang ada dalam diri, saya praktikkan untuk menghiburkan masyarakat yang di sini. Sekurang-kurangnya, saya bukan hanya tahu menadah tin atau bekas kosong tanpa berbuat apa-apa,” ungkap lelaki ini penuh makna sekali gus menimbulkan rasa kagum di hati penulis.

ur 01.3 Kami bukan PENGEMIS

ABU BAKAR (duduk kanan) dan rakannya, Zainab bergilir-gilir menyanyi menghiburkan orang ramai.


Benar katanya, dia bukan semata-mata duduk untuk meminta sedekah, bahkan mampu memeriahkan suasana dengan suara dan nyanyian yang sedap didengar.

Seorang lagi OKU yang ditemui, Abu Bakar Wahab, 58, turut berkongsi pengalaman bermain muzik di sana sejak 34 tahun yang lalu.

Dia yang bermain bersama sahabat karibnya yang dikenali sebagai Zainab, saban hari akan bergilir-gilir menyanyi untuk menghiburkan warga kota yang datang membeli-belah bersama keluarga.

ur 01.4 Kami bukan PENGEMIS

BAGI Muhammad yang tidak pandai bermain muzik, memadailah dengan menjual kerepek atau tisu untuk meneruskan hidup.


ur 01.5 Kami bukan PENGEMIS


Sebelum memulakan tugas, Abu Bakar dan Zainab akan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menyusun peralatan mereka.

Selepas semuanya selesai, Abu Bakar akan menyanyikan lagu sambil diiringi petikan keyboard yang dimainkan sendiri dan alunan kerincing dari Zainab. Memandangkan Syawal semakin hampir, pasangan sahabat karib itu juga tidak ketinggalan mendendangkan lagu-lagu raya.

Titik peluh

Abu Bakar yang buta sejak lahir memberitahu, keyboard berharga RM4,000 yang digunakan itu dibeli dengan hasil titik peluh sendiri.

“Ia merupakan satu kepuasan kepada saya apabila dapat membeli sesuatu yang berharga hasil pendapatan menyanyi di jalanan. Walaupun mungkin segelintir pihak memandang hina kepada kami, tetapi saya bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan.

“Insya-Allah, selagi terdaya saya akan terus setia bermain muzik di sini sebagai sumber rezeki,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Ternyata muzik yang dimainkan Abu Bakar bukan sahaja menarik perhatian rakyat tempatan, tetapi turut disukai warga asing yang turut bermurah hati memasukkan sejumlah wang ke dalam tabung yang disediakan.

ur 01.6 Kami bukan PENGEMIS

KEHADIRAN ribuan pengunjung ke Jalan TAR dan Masjid India mungkin memberi rezeki pada penghibur OKU.


Berlainan dengan Abdullah dan Abu Bakar, sepasang suami isteri cacat penglihatan yang mahu dikenali sebagai Muhammad, 45, dan Jamilah, 41, mengambil inisiatif untuk menjual tisu, butang baju Melayu dan kerepek untuk meneruskan kehidupan.

Ujar Jamilah, dahulu dia pernah bekerja kilang, tetapi terpaksa berhenti kerana kecacatan dirinya. Justeru, untuk menampung kehidupan mereka berdua, kerja itu yang perlu dilakukan.

“Biasanya pada bulan Ramadan, ramai juga orang bermurah hati untuk menderma lebih sedikit daripada biasa. Mungkin mahu mengambil keberkatan bulan yang mulia ini,” kata Jamilah sambil menambah dia juga menawarkan perkhidmatan mengurut wanita sebagai sumber pendapatan tambahan.

Apa yang pasti, mereka juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, tetapi atas desakan hidup pada zaman yang semakin mencabar ini membuatkan mereka terpaksa keluar bekerja untuk menambah pendapatan sampingan.

Namun, sukar untuk dinafikan bahawa kehadiran golongan cacat penglihatan itu di sekitar kawasan Jalan TAR dan Jalan Masjid India turut mewarnai kemeriahan yang ada di sana.

Mereka juga merupakan individu yang cekal melayari kehidupan tanpa rasa malu dengan kekurangan diri, sebaliknya sentiasa berusaha mencari sesuap nasi.

-kosmo