Komunikasi premium dan eksklusif



me 01.1 Komunikasi premium dan eksklusif

XPERIA X2 ditampilkan dengan fungsi eksklusif untuk aplikasi personal dan profesional.



FUNGSI cemerlang bagi segmen telefon bimbit pintar Sony Ericsson XPERIA sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Bermula dengan XPERIA X1 yang hadir mencuri tumpuan pengguna pada penghujung tahun 2008, syarikat berkenaan baru-baru ini telah memperkenalkan model XPERIA X2 pula. Menerusi tawaran teknologi dan reka bentuk yang sofistikated, model itu dilihat mampu memperkukuhkan lagi sambutan terhadap portfolio berkenaan. Menurut Pengurus Besar Sony Ericsson Malaysia, Alex Wong, fungsi versatil XPERIA X2 bakal melengkapkan keperluan pengguna bagi aktiviti profesional dan juga personal. ”Memandangkan permintaan terhadap telefon bimbit pintar hari ini mengalami pertumbuhan yang sangat pantas, pengenalan XPERIA X2 adalah tepat pada masanya,” katanya pada taklimat media yang yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. XPERIA X2 mempunyai kelebihan didatangkan bersama sistem operasi Windows Mobile 6.5 untuk fungsi kawalan kerja yang lebih fleksibel. Menerusi aplikasi unik SlideView pula, pengguna boleh mengakses kesemua aktiviti telefon bimbit seperti panggilan keluar dan masuk, emel, mesej, kalendar, nombor panggilan dan sebagainya secara pantas. Dari segi paparan, ia dilengkapi panel sesentuh resolusi tinggi tiga dimensi (3D) bersaiz 3.2 inci yang boleh ditukar mengikut tema pilihan pengguna. Lebih menarik apabila paparan skrin utamanya boleh bertukar secara automatik berdasarkan hari dan masa yang telah ditentukan oleh pengguna. Untuk itu, telefon bimbit berkenaan menawarkan 14 rekaan panel istimewa seperti Skype, Mytopia, Googles, CNN dan Windows Live selain 16 panel lagi boleh diperolehi secara muat turun. Walau bagaimana pun, telefon bimbit tersebut masih mengekalkan fungsi gelongsor tepi yang unik untuk untuk capaian pantas kepada papan kekunci QWERTY. Bagi keupayaan multimedia pula, XPERIA X2 disempurnakan bersama kamera 8.1 megapiksel dengan teknologi pemfokusan auto digital 16 kali. Spesifikasi lain yang ditampilkan adalah seperti sokongan kad memori microHD sehingga 16 gigabit (GB), sambungan Bluetooth, Wi-Fi, USB dan slot kabel televisyen. XPERIA X2 yang ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan silver itu kini boleh diperolehi daripada pengedar sah dengan harga RM2,799. -utusanmalaysia

promo sony ericson – xperia x2

78 total views, no views today