Tag Archives: derma

Mari kita bersama-sama membantu Puan Nadzrah.

Janji tetap janji… minggu lepas saya layan website bro ROHAIZAD  saya telah tawarkan untuk update satu post mengenai seorang akak nie yang meminta bantuan dalam menambahkan pendapatan….di sini saya lampirkan catatan emailnya :

 

======================================================

Assalamualaikum,

Terlebih dahulu tahniah di atas laman web saudara Rohaizad yg bg telah membuka hati ini untk bertanya dengan lebih lanjut lagi. Sebenarnya kakak nak meminta pandangan dan sekiranya ada cara untuk memulakan perniagaan secara online dalan mudah.com.my

Kakak ada melakukan perniagaan kecil-kecilan di rumah seperti produk Yusmira, One Drop Perfume, Tuala Wanita Anion, tikar dan beberapa brg lagi. Masaalah akak sekarang ini kakak tak dpt nak mempromosikan brg-brg tersebut hanya jiran-jiran sahaja yg mengetahuinya.

Nak keluar berniaga memang payah memandangkan suami akak kena buat hemodialisis 3 x seminggu di mana akak yg menghantar dan mengambilnya. Disamping itu juga akak jadi pengasuh. Jadi mungkin adik Rohaizad ada cadangan atau macam manakah caranya untk berniaga secara online?

Adakah brg-brg seperti di atas boleh diniagakan secara online? Perlukah yuran bulanan untuk pengiklanan itu dan apakah prosedurnya?

Harap maklum.
Sekian, terima kasih.
Wassalam.
nadzrah75@yahoo.com

p/s : kepada sahabat sekelian yang mempunyai idea dan buah fikiran untuk membantu boleh lah berhubung melalui email yang tertera di atas.Semoga usaha anda akan mendapat balasan yang baik di dunia dan di akhirat.Anda digalakkan untuk menyebarkan maklumat di atas melalui blog,myspace,friendster,facebook dan apa jua cara yang difikirkan yang boleh membantu…


MINTA SEDEKAH bina masjid depan bank memalukan Islam

PERTUBUHAN tertentu yang mendakwa ada kaitan dengan Islam didapati menempatkan ahlinya berkeliaran di bank untuk memungut derma dan meraih simpati pelanggan bank di pintu masuk bank. Tindakan ini menjejaskan imej umat Islam yang seolah-olah Islam menggalakkan kita meminta sedekah walaupun tujuannya baik iaitu meminta sumbangan untuk menampung membina masjid atau surau tertentu.

Agama Islam tidak menggalakkan kita meminta tidak ubah seperti meminta sedekah lebih-lebih lagi untuk membina rumah Allah kerana ada cara yang lebih bermaruah serta lebih beradab untuk kita meminta bantuan dan bukannya menghantar pelajar atau orang yang berpakaian jubah tunggu di pintu bank.

Kalau dulu mereka menggunakan anak yatim tetapi kini berubah iaitu orang dewasa berjubah pula untuk meraih simpati orang ramai. Jangan cemarkan nama baik Islam kerana Islam itu bersih dari unsur negatif dan hanya menggalakkan pendermaan melalui saluran yang lebih bermaruah serta ikhlas dari tercemar daripada perbuatan sedekah meminta sedekah di tempat awam.

Kita mempunyai kaedah moden melalui internet dan juga mintalah bantuan daripada institusi zakat atau pun dermawan Islam serta melalui koperasi pertubuhan dengan membuka perniagaan tertentu.

Kita renung sejenak di mana tidak nampak pun tok sami atau mubaligh Kristian berkeliaran di pintu bank kerana mereka ini tahu bahawa institusi agama mereka mesti dipelihara daripada imej buruk ataupun negatif daripada pandangan umum.

Dalam ajaran al-Quran serta beberapa hadis ada menerangkan dan melarang keras umat islamnya meminta-minta secara keterlaluan melainkan jika tiada sumber lain lagi kaedah yang boleh diusahakan yang dianggap sebagai darurat.

Diharap jabatan agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat memberi garis panduan serta membuat pemantauan. Jangan biarkan atau menggalakkan umat Islam menjadi ‘jaga’ pintu bank dengan mempamerkan surat simpati meminta bantuan daripada orang awam yang lalu lalang di situ kerana saya perhatikan bukan satu pertubuhan berbuat demikian tetapi sudah ramai berkeliaran di hadapan bank. Pergilah ke mana-mana bank yang mempunyai ramai pelanggan sudah tentu mereka ini berada di situ.

-bharian




Warga emas DERMA RM20,000 kepada masjid

mainpix1 Warga emas DERMA RM20,000 kepada masjid
PAK SIDEK memotong kek hari jadi pada ulang tahun kelahiran ke-95.

TELUK INTAN: Hajat seorang warga emas memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada masjid sempena ulang tahun kelahirannya ke-95, tertunai semalam pada satu majlis khas yang turut diraikan keluarga, kenalan serta penduduk Kampung Selabak dekat sini.

Ahmad Sidek Mohd Asiff yang dilahirkan pada 3 Mei 1915 menyerahkan sumbangan wakafnya itu kepada Pengerusi Masjid Al Saadah Kampung Selabak, Othman Tukiran.

“lnilah sumbangan yang dapat saya berikan sebagai tanda ingatan dan kasih kepada masjid di Kampung Selabak sebelum saya meninggal dunia dan berharap anak cucu saya dapat melakukan perkara sama,” katanya yang pernah menjadi pengerusi masjid berkenaan selama 50 tahun.

Ahmad Sidek yang lebih dikenali sebagai Pak Sidek turut terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air serta bergiat aktif dalam politik serta pelbagai aktiviti sukarela dan dakwah.

Beliau mempunyai 11 anak, tujuh lelaki dan empat perempuan selain 47 cucu dan 21 cicit.

Ahmad Sidek juga antara pengasas tiga cawangan Umno – Kampung Selabak, Hospital Teluk lntan dan Batu 3 Jalan Changkat Jong – selain Umno Bahagian Teluk Intan dan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Teluk lntan.

Beliau pernah bertanding sebagai calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batak Rabit pada pilihan raya umum 1964 tetapi tewas dan kemudian menyertai semula Umno sehingga sekarang.

Sementara itu, Othman mengucapkan penghargaan di atas sumbangan Pak Sidek kepada masjid itu yang sedang dalam proses pengubahsuaian dan pembesaran dengan kos mencecah RM500,000.

“Kami berasa terharu atas sedekah jariah Pak Sidek dan sumbangannya ini menjadi penyuntik semangat kepada Jawatankuasa masjid untuk mengumpul dana sebanyak mungkin,” katanya.

-bharian

P/S : marilah kita galakkan amalan DERMA,SEDEKAH dan AMAL JARIAH




SEDEKAH dalam talian


mainpix1 SEDEKAH dalam talian

Kebiasaannya majlis tahlil diadakan serentak bersama membaca surah Yassin dan diakhiri dengan doa selamat

TAHLIL sudah menjadi sebahagian kehidupan umat Islam di negara ini. Malah, boleh dikatakan orang Islam Malaysia membesar bersama tahlil.

Ketika kanak-kanak, kita mengikut ibu bapa ke kenduri tahlil dan apabila dewasa, menyertai majlis tahlil yang diadakan di surau, masjid dan di rumah jiran serta kenalan.

Majlis tahlil bukan saja diadakan oleh individu seperti ketika memasuki rumah baru, malah hingga peringkat negara dan rasmi sempena pelbagai peristiwa seperti Hari Pahlawan dan Bulan Kemerdekaan.

Tahlil juga sinonim dengan Ramadan. Ketika bulan suci ini memasuki fasa pertengahan, semakin banyak masjid dan surau turut mengadakan majlis tahlil.

Kebiasaannya majlis tahlil diadakan serentak bersama membaca surah Yassin dan diakhiri dengan doa selamat menyebabkan diberi pelbagai nama seperti majlis tahlil dan doa selamat atau majlis membaca Yassin dan tahlil.

mainpix2 SEDEKAH dalam talian
Pelajar madrasah yang hafaz al-Quran adalah antara yang membaca tahlil.

Kebanyakan majlis tahlil dipimpin oleh mereka yang mempunyai pengetahuan agama seperti imam dan ustaz.

Jika majlis diadakan di kediaman individu, maka imam dan ustaz ketika berdoa akan menyebut nama yang diminta oleh tuan rumah seperti ibu bapa atau sebarang nama lain yang sudah meninggal dunia supaya roh simati mendapat kesejahteraan.

Bagaimanapun, majlis tahlil di masjid dan surau, termasuk ketika Ramadan sekarang dilakukan oleh jemaah secara beramai-ramai. Sebelum itu, borang disedarkan dan mereka yang berminat akan menulis nama ibu bapa atau waris.

Ketika majlis tahlil, nama si mati satu demi satu disebut ketika doa. Sama ada di rumah, masjid atau surau, sedikit bayaran diberikan sebagai sedekah.

mainpix3 SEDEKAH dalam talian
Membaca al-Quran menjadi amalan harian pelajar.

Zaman berubah, tetapi amalan tahlil terus mekar. Bagaimanapun, tiada siapa terfikir bahawa perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), terutama internet memberi kesan terhadap amalan tahlil.

Sebuah pusat pengajian agama di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Madrasah al-Yamani, mencipta inovasi dengan memperkenalkan tahlil secara dalam talian (online).

Memperjelaskan kaedah baru ini, Mudir Madrasah al-Yamani, Mohd Fadzli Ahmad, berkata inovasi itu bertujuan memperluaskan jangkauan umat Islam yang mahu mengadakan tahlil, tetapi tidak dapat melakukannya.

Katanya, memang lebih afdal jika tahlil dilakukan sendiri olah anak atau waris, tetapi kadangkala mereka terpaksa meminta pertolongan orang lain kerana tidak boleh melakukan sendiri.

“Tahlil online diperkenalkan sebelum Ramadan lalu kerana kita memikirkan tidak semua orang ada masa membaca al-Quran dan berzikir banyak-banyak. Kebetulan saya dan pelajar setiap hari membaca al-Quran.

“Jadi kita minta niatkan amalan kamu (pelajar) kepada arwah yang meninggal dunia,” katanya yang mengasaskan madrasah itu pada 1994.

Mohd Fadzli berkata, tahlil online dibuka kepada mereka yang berminat dan diminta bersedekah untuk membantu madrasah. Menamakan waris dan pembayaran dibuat secara online melalui laman web www.etahlil.com.my.

“Kita doakan untuk mereka dan bayaran dibuat bukan atas dasar harga. Perkara ini (tahlil) tidak dapat dinilai. Perkataan Subhanallah lebih mahal dari dunia dan seiisinya. Cuma kita menggalakkan sumbangan untuk madrasah dengan harapan dapat digunakan untuk pembelajaran pelajar,” katanya.

Tanpa latar belakang IT, beliau memberitahu bahawa idea mewujudkan tahlil online adalah cetusan fikiran `rakan-rakannya’.

Beliau yang mengajar dan menyampaikan ceramah agama di masjid dan pejabat pelbagai organisasi, berkata `rakan-rakannya’ adalah mereka yang mendengar ceramah atau belajar agama dengannya

“Mereka kata mengapa tidak membuka laman web yang membolehkan mereka yang berminat menyatakan nama ibu bapa atau waris yang meninggal dunia dan bersedekah secara dalam talian,” katanya.

Mohd Fadzli berkata, `rakan-rakannya’ membantu membina laman web hingga menjadi kenyataan.

Bertahlil untuk orang lain bukan perkara baru kerana sejak enam tahun lalu, katanya madrasah itu mengadakan solat hajat, membaca surah Yassin dan tahlil setiap hari Khamis malam Jumaat, tanpa mengira ada atau tidak permintaan daripada orang ramai.

Madrasah al-Yamani yang bermula dengan hanya tiga orang kini mempunyai kira-kira 70 pelajar, termasuk dari negara luar seperti Vietnam, Kemboja, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Mulai 1 hingga 27 Ramadan, katanya pelajar termasuk berstatus hafiz membaca al-Quran hingga khatam setiap pagi, manakala selepas solat Asar, mereka berzikir `tiada Tuhan melainkan Allah’ sebanyak 1,000 kali.

-bharian