Dominasi Facebook dan Friendster dalam dunia tanpa batasan telah mendapat reaksi daripada gergasi enjin carian, Google, yang menawarkan pilihan baru bagi penggemar rangkaian sosial maya.
APABILA berbicara tentang laman rangkaian sosial, tentunya dua ‘F’ bermain di kotak fikiran kita. Facebook danFriendster – kedua-dua laman rangkaian sosial ini telah berjaya menarik ratusan juta pengguna Internet di seluruh dunia.
Laman web yang suatu ketika dahulu hanya digunakan sebagai wadah menghimpunkan teman-teman lama dan baru, kini turut digunakan oleh syarikat-syarikat bagi mempromosi produk mereka.
Golongan selebriti juga memudahkan peminat mereka mengetahui perkembangan terkini menegnai aktiviti mereka.
Tidak hairan lagi apabila ia turut dijadikan platform oleh tokoh-tokoh politik untuk mendekatkan diri mereka dengan lingkungan berkepentingan.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun telah mengambil inisiatif meletakkan dirinya bersama-sama rakyat jelata melalui Facebook bagi menyelami masalah dan mendengar cadangan secara terus daripada rakyat.
Pendekatan penerimaan input secara terus daripada rakyat ini tidak pernah diguna pakai sebelum ini. Pastinya fungsi tersebut dapat menambat hati rakyat kerana mereka tidak sekadar dapat melihat pemimpin mereka melalui kaca televisyen, tetapi dapat terus berinteraksi melalui wall atau dinding profil pemimpin mereka itu.
Dominasi Facebook dan Friendster di dalam dunia tanpa batasan ini telah mendapat reaksi dari gergasi enjin carian Google.
Sungguhpun Google telahpun memiliki laman web sosial versi mereka sendiri yang dikenali sebagai Orkut, namun sambutan terhadapnya agak hambar dan lebih mendapat sambutan pengguna di India dan Brazil.
Agar tidak ketinggalan dalam persaingan rangkaian sosial, pada 9 Februari lalu Google telah memperkenalkan Google Buzz, satu komponen rangkaian sosial yang diintegrasikan ke dalam aplikasi email web Gmail mereka. Pembangunan Buzz tertumpu kepada perkongsian foto, video dan juga pautan kepada pengguna Buzz yang lain.
Buzz membolehkan pengguna untuk memilih sama ada untuk berkongsi setiap kemas kini yang dilakukan secara global ataupun tertutup kepada sekumpulan teman-teman tertentu sahaja. Ia turut diintegrasikan dengan laman seperti Picasa, Flickr, YouTube, Blogger dan juga Twitter.
Buzz versi bergerak pula digandingkan dengan aplikasi popular Google Maps membolehkan pengguna melihat siapa yang berada berdekatan dengan mereka. Setiap pos kemas kini yang dibuat melalui Google Maps boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menggunakan aplikasi tersebut.
MAMPUKAH Google Buzz mencuri perhatian penggemar aplikasi seumpamanya?
Selain dari teks, pengguna Buzz versi ini juga boleh memuat naik gambar ke dalam pos mereka.
Langkah Google memperkenalkan Buzz dilihat oleh penganalisa industri tidak lain tidak bukan sebagai satu langkah untuk memecahkan monopoli rangkaian sosial yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tidak kira peringkat umur.
Tetapi apa yang lebih penting, perlindungan privasi terhadap pengguna wajar dititikberatkan agar tidak berlaku kebocoran maklumat peribadi pengguna kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Undang malapetaka atau kebaikan kepada pengguna wanita?
AWAS kasanova Facebook! Tajuk akhbar mengenai lagak seorang lelaki dari London digelar ‘The Sperminator’ yang menggunakan laman Facebook bagi memperdaya wanita sehingga hamil menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan wanita di alam siber.
Menggunakan rayuan ‘Seratus juta sperma masuk ke dalam rahim dan hanya satu yang menjadikan kamu. Maknanya, kamu adalah yang terbaik’ menjadi senjata bagi Dominic Baronet untuk terus menjerat mangsa.
Namun begitu, selepas satu demi satu rekod buruk Facebook tersebar, laman jaringan sosial itu kekal fenomena pilihan ramai orang ketika ini untuk bersosial selepas Friendster, MySpace dan blogging.
Malah, ketika artikel ini ditulis, statistik diperoleh daripada CheckFacebook.com mencatatkan laman itu mempunyai seramai 316.4 juta ahli di seluruh dunia, dengan 1.08 peratus iaitu kira-kira 3,425,300 pengguna adalah dari Malaysia.
Statistik sama juga menunjukkan peratusan pengguna wanita dari negara ini melebihi jumlah pengguna lelaki iaitu sebanyak 1,723,360 berbanding 1,678,140 pendaftar lelaki.
Natalie Hang
Kelompok pengguna berusia 18 hingga 24 tahun paling kerap melayari laman ini diikuti 33.9 peratus atau 1,148,660 pelayar berumur 24 hingga 34 tahun.
Bagi Natalie Hang ,24, gadis manis kacukan Cina Inggeris, pengalaman berkawan dengan seorang jejaka di Facebook amat menakutkan untuk diingati semula. Perkenalan berlaku secara tidak sengaja ketika menemani rakan yang menerima rawatan akibat kemalangan ketika menunggang basikal mempertemukan beliau dengan seorang jejaka Irish di sebuah hospital di London.
“Kami hanya berborak santai sambil dia sendiri menunggu untuk mendapatkan rawatan kerana berdepan masalah alkohol, tapi ketika itu, memang tiada apa yang meragukan mengenai lagaknya.
“Malah, saya akui begitu senang berbual dengannya. Ketika pertemuan singkat itu, dia sempat mengenalkan diri dan meminta mencarinya di Facebook,” kata Natalie sambil mengakui jejaka dikenalinya itu mempunyai perawakan menarik.
Tidak terlalu rapat mengenali, tetapi Natalie mengakui sering berhubung dengan lelaki itu menerusi Facebook. Bagaimanapun, suatu hari, Natalie tergerak hati untuk membuat carian nama lelaki itu di Internet dan mengejutkan apabila carian menunjukkan lelaki itu sebenarnya mempunyai rekod jenayah melampau.
“Namanya agak jarang digunakan ramai orang dan saya percaya dia adalah penjenayah itu dan berdasarkan cerita dia dengan laporan keratan akhbar berkenaan, membuat saya terus mengesyaki rakan Facebook saya itu seorang yang ‘bermasalah’,” katanya.
Keratan akhbar itu memberitahu, rakan dikenalinya itu yang tinggal merempat mempunyai rekod jenayah, menyerang dan merompak seorang pelancong gay dari Kanada serta dikatakan mempunyai sejarah penyakit mental.
Daripada artikel sama yang masih boleh dibaca di Internet, mangsanya itu diserang dengan batu dan tong pemadam api, diikat separuh bogel menggunakan pakaian dan bidai di sebuah bilik hotel yang menjadi persinggahan mereka selepas bertemu di bar gay.
“Kemudian, mangsa diikat pula dengan wayar telefon sebelum diugut supaya mendedahkan nombor pin kad bank sebelum mencederakan diri sendiri menggunakan kaca,” katanya yang terus menyekat akses akaun Facebook daripada terus dikunjungi lelaki itu kerana bimbang maklumat mengenainya ada tertera di laman berkenaan.
Bagaimanapun, di sebalik pengalaman menakutkan itu, Natalie berkata, beliau mengakui Facebook adalah medium komunikasi paling mudah untuk meluaskan pergaulan, malah turut menggunakan kaedah sama berhubung bersama rakan lama yang tinggal berjauhan.
“Peluang ditipu dan berdepan bahaya tidak hanya di Facebook kerana di luar juga penuh dengan pancaroba, namun sebagai seorang wanita, kita tidak harus lalai dalam aspek keselamatan diri.
“Di Facebook ada pengaturcara yang boleh dikawal pemilik akaun dan jika kita mengenali seseorang yang mempunyai niat tidak baik atau boleh mengundang bahaya kepada diri, semuanya boleh diatasi atas kesedaran sendiri,” katanya.
Peluang berhubung dengan rakan sekolah lama
LAIN ceritanya bagi tenaga pengajar Institut Kemahiran Mara Jasin, Zalila Atan, 35, yang mula berjinak-jinak dengan dunia Facebook kira-kira sebulan lalu kerana katanya laman jaringan sosial terbaru didaftarkan selepas MySpace menemukannya dengan ramai kawan yang sudah lama terputus hubungan.
“Saya mendaftar pun selepas tidak tahan diejek rakan yang mengatakan laman MySpace hanya untuk golongan tua, tapi selepas membuka akuan Facebook, saya benar-benar tidak sangka dapat bertemu semula kawan lama ketika sekolah.
“Tidak setakat itu, kami juga telah sepakat menganjurkan majlis perjumpaan semula rakan-rakan dari Sekolah Menengah Ayer Tawar selepas Aidiladha nanti,” kata ibu muda kepada tiga anak itu gembira.
Sehingga kini, Zalila mempunyai seramai 83 orang kawan siber terdiri daripada rakan yang dikenali di Yahoo Messenger (YM), kawan sepejabat dan kenalan lama dari zaman persekolahan.
“Seronok betul dapat jumpa kawan-kawan lama ketika sama-sama bersekolah dulu. Ada yang sudah lebih 15 tahun tidak bertemu muka dan itu yang paling ditunggu kerana tidak sabar hendak melihat perubahan diri mereka,” katanya sambil tertawa.
Bagaimanapun, tidak pernah membiarkan diri terleka dengan kecanggihan teknologi sementelah beliau sendiri mempunyai suami dan anak-anak, malah Zalila pastikan tidak sewenang-wenang mengesahkan permintaan ‘friend request’ daripada individu yang tidak dikenali.
“Saya juga tidak berani menerima pelawaan rakan yang dikenali di YM untuk bertemu, bukan kerana sombong, tapi sekadar beringat, bimbang juga terjadi apa-apa yang tidak diingini.
“Tetapi kalau berjumpa beramai-ramai diiringi keluarga masing-masing mungkin boleh dipertimbangkan, itupun mungkin selepas lama mengenali antara satu sama lain,” jelasnya.
Tidak sekadar seronok bertemu rakan lama menerusi Facebook, Zalila berkata, di situ juga beliau dapat mengimbau kembali kenangan sewaktu muda melalui foto lama yang dimuat turun oleh kawan-kawan lama.
“Ada juga yang memasukkan gambar kahwin selain gambar lama ketika tengah comot dulu. Itu yang paling kelakar, boleh dijadikan bahan cerita saat bertemu mereka nanti,” katanya sambil tertawa.
FAKTA
Pengguna Facebook seluruh dunia : 316,402,840
Top 10
1. Amerika Syarikat 94,748,820
2. United Kingdom 22,261,080
3. Turki 14,215,880
4. Perancis 13,396,760
5. Kanada 13,228,380
6. Itali 12,581,060
7. Indonesia 11,759,980
8. Sepanyol 7,313,160
9. Australia 7,176,640
10. Filipina 6,991,040
Malaysia menduduki tangga ke 8 kategori pengguna aktif (11 November 2009) mendahului Indonesia yang berada di tangga ke 9.INFOFacebook
Facebook diluncurkan pertama kali pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg sebagai media komunikasi antara mahasiswa Harvard.
Pada September 2006, Facebook membuka pendaftaran untuk orang ramai yang memiliki akaun e-mel.
Selain pernah menolak tawaran Friendster untuk membeli Facebook pada harga AS$10 juta, Zuckerberg juga menolak tawaran dari Viacom yang ingin membeli Facebook dengan nilai AS$750 juta dan tawaran dari Yahoo yang ingin membeli Facebook dengan harga AS$1 billion.
Secara purata, pengguna Facebook menghabiskan masa sekitar 19 minit sehari untuk melakukan aktiviti di laman jaringan sosial itu.
melayari laman web sosial kini semakin popular di seluruh dunia.
Kini laman web rangkaian sosial seperti Myspace, Facebook, dan Twitter melebihi fungsi asas sebagai pengantara untuk berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.
Perkembangan pesat laman-laman web ini juga membuka saluran baru kepada syarikat-syarikat untuk berkomunikasi dan berhubung dengan rakan-rakan perniagaan dan para pelanggan mereka.
Syarikat korporat sedang menyelidik dan mengkaji penggunaan saluran rangkaian sosial yang bercirikan kos efektif bagi tujuan memperbaiki operasi perniagaan, meningkatkan daya pengeluaran serta memperbaiki komunikasi dalaman di kalangan para pekerja yang kian bertambah.
Bagaimanapun, laman-laman rangkaian sosial ini berkemungkinan mendatangkan bahaya dan risiko yang baru kepada rangkaian-rangkaian korporat tanpa diketahui oleh orang ramai.
Justeru, industri adalah dinasihatkan supaya tidak terlalu agresif dalam mengikuti aliran semasa terbaru ataupun tergesa-gesa untuk menjadikan rangkaian sosial sebagai alat komunikasi.
Disebabkan laman-laman rangkaian sosial kian dijadikan sebagai alat pemasaran, semua syarikat dengan penggunaan perkhidmatan atas talian sepatutnya diberitahu mengenai Lima Serangan Rangkaian Sosial yang Utama yang mana mereka berkemungkinan besar akan terdedah kepadanya semasa meletakkan syarikat mereka dalam talian dan cara bagaimana yang boleh dilaksanakan bagi melindungi diri mereka.
1. Malware – cecacing Koobface telah mengancam Facebook buat jangka masa yang agak panjang, dan ia turut menjadikan Twitter sebagai sasaran buat kebelakangan ini.
Serangan adalah melalui kejuruteraan sosial, disebabkan para pengguna biasanya dikelirukan untuk klik ke atas pautan berniat buruk yang bersembunyi dalam pesanan peribadi dan berpura-pura sebagai kawan (yang mungkin menjangkiti diri mereka).
2. Hak persendirian – Pengguna yang mempunyai kecenderungan untuk mendedahkan maklumat peribadi yang melebih dalam talian, sebagai contoh, rangkaian sosial, komen, gambar-gambar ahli keluarga, berkenaan dengan tempat kerja dan sebagainya.
Ini membolehkan maklumat berkenaan jatuh ke tangan penjenayah siber yang tidak beretika serta disalahgunakan untuk menggodam ke dalam soalan-soalan keselamatan perkhidmatan dalam talian dengan lebih efektif, seterusnya terdorong mencuri identiti.
Penggodam juga boleh menggunakan maklumat berkenaan bagi tujuan menjana serangan yang telah disasarkan.
Sebagai contoh, seseorang penggodam sanggup menghabiskan masa selama beberapa minggu tanpa rehat dan beberapa liter kopi demi menembusi rangkaian korporat sesebuah syarikat dan cuba untuk mencari kelonggaran di dalam sistem keselamatan rangkaian sasarannya.
Selain itu, dia boleh mencari nama akauntan kewangan, kemudian mengambil masa lima minit untuk semak imbas profil sosialnya, seterusnya lima minit lagi untuk menulis e-mel yang berlandaskan minat akauntan berkenaan yang bernasib malang.
e-mel tersebut adalah pembawa pautan berniat buruk atau dokumen yang berniat buruk.
3. Tipu helah (phishing) – Rangkaian sosial merupakan gudang yang kaya dengan pelbagai maklumat, dari maklumat dan profil peribadi sehinggalah pesanan dalam profil yang mungkin memudahkan penjenayah siber mencipta pesanan e-mel palsu ataupun laman web palsu (lebih dikenali sebagai laman phishing) . Ia
Ia dihasilkan bagi mengumpan mangsa-mangsa supaya memaparkan maklumat peribadi yang sensitif seperti nama pengguna dan kata laluan atau nombor kredit kad.
4. Kecacatan laman – Pada awal bulan Jun, suatu kelonggaran telah dijumpai dalam Facebook yang memberi kuasa kepada para penggunanya untuk mengimbas maklumat asas daripada sebarang akaun yang lain, bergantung kepada tahap hak persendirian yang telah ditentukan oleh pengguna.
Maklumat tersebut termasuklah nama ibu, biasanya digunakan sebagai soalan keselamatan atas talian dan pemeriksaan keselamatan kehidupan seharian.
Kelonggaran itu telah dibaik pulih pada 23 Jun, tetapi seperti mana kepingan yang diprogramkan 100 peratus, kesemua laman-laman sosial ini mempunyai kecacatan.
Sebagai makluman, sesetengah daripada kelemahan ini telah pun dikemukakan, sementara yang lain belum lagi ditemui.
Oleh itu, para pengguna perlu berwaspada terhadapnya.
5. Spam 2.0 – Salah satu kemungkinan yang menyebabkan penjenayah siber memancing bagi akaun rangkaian sosial adalah untuk menggunakan maklumat berkenaan bagi tujuan pengiklanan dan spamming.
Justeru itu, bagaimana anda boleh melindungi syarikat anda (nilai jenama di risiko) serta diri anda dalam keadaan yang sedemikian?
Baiklah, yang pertama, anda boleh lebih berwaspada apabila menerima pesanan (meskipun ia datang daripada kawan) yang kelihatan pelik.
Sebagai contoh, mengajak anda untuk menonton video.
Apakah yang perlu dilakukan oleh orang ramai bagi menentang serangan tersebut?
Berwaspadalah apabila menerima pesanan (meskipun ia datang daripada kawan) yang kelihatan pelik (terutamanya jika ia mengajak anda untuk menonton video).
Jangan memasang Codec apabila suatu laman menggalakkan anda supaya berbuat demikian – bagi laman video gerakan atas talian yang popular seperti YouTube yang menggunakan Flash, anda tidak perlu Codec video.
SAN FRANCISCO 16 Julai – Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg hari ini menyatakan jumlah mereka yang menggunakan perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian itu meningkat kepada 250 juta orang.
Zuckerberg dalam mesej yang disiarkan dalam blog rasmi Facebook berkata, perkembangan pesat itu membuatkannya terharu dan teruja.
“Bagi kami, peningkatan kepada 250 juta pengguna bukan sahaja sebagai angka yang mengagumkan tetapi juga sebagai ukuran berapa banyaknya hubungan peribadi yang anda telah lakukan,” jelasnya.
Palo Alto, ibu pejabat Facebook di California yang ditubuhkan pada 2004, menjadi perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian yang paling popular mengalahkan MySpace yang dimiliki oleh News Corporation.
Pada Isnin lalu, syarikat Internet Rusia menawarkan AS$100 juta (RM358 juta) untuk membeli saham daripada pekerja-pekerja Facebook melalui perjanjian yang akan meningkatkan nilai perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian kepada AS$6.5 bilion (RM23.3 bilion).
Syarikat Rusia, Digital Sky Technologies (DST) itu melabur sebanyak AS$200 juta (RM716 juta) ke atas Facebook pada Mei lalu dan menawarkan sebanyak AS$14.77 juta (RM52.8 juta) untuk satu unit saham biasa Facebook.
Tawaran tender itu akan ditutup pada Ogos ini, kata jurucakap DST, Jennifer Gill.
Zuckerberg yang juga ketua eksekutif Facebook berkata, keputusan untuk menjual saham-saham itu terletak di tangan para pekerja dan tawaran itu dikatakan akan mengiktiraf pertumbuhan Facebook serta menjadikan dunia lebih terbuka dan saling berhubung.
Syarikat gergasi perisian komputer AS, Microsoft telah membeli 1.6 peratus kepentingan dalam Facebook bernilai AS$240 juta (RM859 juta) pada 2007, perjanjian yang meletakkan nilai syarikat itu kepada AS$15 bilion (RM53 bilion). – AFP
NEW YORK 3 Julai – Facebook sedang membaik pulih sistem kawalan kerahsiaan, dalam beberapa minggu akan datang sebagai usaha memudahkan keupayaan mengawal oleh penggunanya untuk menentukan golongan pengguna yang boleh atau tidak boleh melihat maklumat yang dikongsi dalam laman itu.
Kerahsiaan sudah menjadi perkara utama dan sering menjadi isu sensitif bagi Facebook kerana ramai orang menggunakannya untuk berkongsi maklumat peribadi dengan rakan-rakan dan keluarga serta orang lain.
Namun, setelah perkhidmatan rangkaian sosial yang berusia lima tahun itu memperluaskan pangkalan pengguna dan ciri-cirinya telah ditambah, menyebabkan kawalan kerahsiaan menjadi semakin rumit.
Syarikat Palo Alto yang berpusat di California semalam berkata, penyediaan kawalan baru itu akan memberikan pengguna lebih banyak keupayaan untuk mengawal sebarang gambar, mengemas kini maklumat dan maklumat peribadi yang mereka kongsi dengan rakan-rakan, keluarga dan orang yang tidak dikenali di dalam Facebook dan seterusnya melalui Internet.
Bagi menghasilkan kawalan yang lebih mudah, Facebook telah menggabungkan enam halaman rahsianya dan lebih daripada 30 kawalan menjadi satu halaman rahsia tunggal.
Pilihan itu juga akan diselaraskan bagi setiap kawalan supaya pilihan itu sentiasa sama, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini.
Ini bermakna bahawa untuk setiap bahan kandungan, pengguna boleh menekan butang ikon kunci untuk memilih sama ada mahu menunjukkannya kepada semua orang, atau hanya kepada rakan-rakan mereka atau rakan kepada rakan, teman sekerja atau sekolah atau kumpulan orang yang senarai terpilih.
Sebelum ini, pengguna terpaksa melayari dari satu halaman ke satu halaman untuk membolehkan atau menidakkan seseorang memasuki halaman mereka dan melihat gambar-gambar mereka, maklumat yang dikemas kini atau rangkaian yang dikongsi.
Dan kerana kawalan kerahsiaan itu telah tersebar dalam halaman-halaman yang berbeza-beza, malah selepas menghasilkan profil yang hanya boleh dilihat oleh rakan-rakan sahaja, gambar-gambar dalam profil tersebut masih boleh dilihat oleh orang lain.
Ketua Pegawai Kerahsiaan Facebook, Chris Kelly memberitahu persidangan yang dihadiri pemberita, berkata, perubahan tersebut tidak ada kaitan dengan pengiklanan atau maklumat Facebook yang akan dibuka kepada pengiklan.
Tambahnya, laman itu mahu orang ramai “boleh berkongsi maklumat dengan ramai orang atau hanya dengan orang yang mereka pilih sahaja.”
Satu daripada kebanyakan rahsia penting Facebook yang telah disalah guna ialah alat pengesan yang dikenali sebagai Beacon iaitu pada lewat 2007, yang disiarkan oleh stesen penyiaran mengenai kegiatan pengguna di luar laman web itu, termasuk aktiviti pengguna membeli hadiah percutian bagi mereka yang boleh melihat maklumat tersebut
Syarikat akhirnya membenarkan pengguna untuk menutup Beacon itu. – AP