SAN FRANCISCO 14 Okt. – Sebuah firma yang menjual waranti gajet-gajet mendakwa keluaran telefon pintar terbaru Apple hampir dua kali lebih mudah retak berbanding keluarannya sebelum ini.
SquareTrade yang menganalisis insiden-insiden melibatkan lebih 20,000 model iPhone 4 mendapati skrin telefon pintar itu 82 peratus lebih kerap pecah berbanding iPhone 3G.
“Daripada data untuk tempoh empat bulan sahaja jelas menunjukkan iPhone 4 lebih mudah mengalami kerosakan fizikal berbanding keluaran telefon pintar Apple sebelum ini.
“Walaupun masalah ini semakin meningkat, secara keseluruhan, iPhone masih merupakan pencipta alatan terbaik dengan kadar masalah aplikasi lebih rendah berbanding pengeluar barangan elektronik lain,” kata SquareTrade.
Menurut firma itu lagi, skrin pecah atau retak merupakan kerosakan yang paling banyak dialami oleh iPhone 4.
Telefon pintar terbaru ini mempunyai kaca di bahagian hadapan dan belakang, menyebabkannya dua kali lebih banyak mengalami ‘calar di permukaan’.
Laporan kadar insiden untuk iPhone 4 ialah 68 peratus, lebih tinggi daripada model iPhone 3G.
TradeSquare turut menganggarkan kira-kira 15.5 peratus pemilik iPhone 4 akan mengalami insiden dengan gajet ini sebelum berusia setahun. – AFP
GAJET miCoach membolehkan pelari mencapai objektif latihan seolah-olah mendapat bimbingan jurulatih profesional.
BOSAN melakukan aktiviti larian atau joging bersendirian, lebih-lebih lagi aktiviti yang dilakukan langsung tidak memberi hasil memuaskan seperti dirancang.
Memahami dilema yang dihadapi pengguna di seluruh dunia, Adidas selaku pelopor gajet dan aksesori sukan terkemuka melancarkan gajet miCoach Pacer dan miCoach Zone baru-baru ini.
Kedua-dua gajet itu dibangunkan untuk memotivasi, memberi inspirasi dan membolehkan pelari mencapai matlamat mengikut kesesuaian jenis latihan yang dijalankan seolah-olah mendapat bimbingan jurulatih profesional.
Secara dasarnya, ia merupakan satu sistem latihan interaktif yang membimbing para pelari melakukan aktiviti larian berdasarkan prestasi dan kemampuan seseorang mengikut data yang telah dikumpulkan.
“MiCoach bertindak sebagai jurulatih peribadi anda sendiri dan merekodkan segala butiran semasa anda berlari. Ia amat praktikal kerana dapat membimbing dan memberi tip kepada anda mencapai objektif yang ditetapkan,” kata Ng Chee Loon, Pengurus Adidas (Malaysia) Sdn. Bhd.
SELAIN bertindak sebagai pengumpul data, MiCoach Pacer boleh memainkan muzik MP3.
Keunikannya, kedua-dua gajet itu mempunyai audio terbina dalam bagi memberi maklumat lisan secara terus kepada anda semasa melakukan larian.
Gajet miCoach Pacer dijual pada harga RM519.90 dengan empat peranti berbeza iaitu Heart Rate Monitor (untuk mengukur degupan jantung), Stride Sendor (mengukur langkah dan kelajuan) dan kabel USB serta fon kepala.
Semasa melakukan larian, kesemua alat itu berfungsi merekodkan segala data dan memberi panduan kepada pelari sama ada mempercepatkan, melambatkan dan mengekalkan kelajuan berdasarkan data yang diterima.
Sementara itu, gajet miCoach Zone yang dijual pada harga RM269.90 berfungsi membaca kod warna paparan LED yang dipasang pada bahagian lengan.
Seperti juga miCoach Pacer, ia turut merekodkan data dan memberi maklumat lisan secara terus bagi membolehkan seseorang pelari itu melakukan latihan mengikut kadar dan kemampuannya dengan bantuan alat pengawasan denyutan jantung.
PAPARAN warna LED membolehkan pelari melakukan latihan berdasarkan kemampuannya.
Menariknya, kesemua maklumat dan data yang disimpan boleh dipindah naik ke Internet melalui laman web www.micoach.com.Ia membolehkan pengguna merancang jadual latihan, menetapkan objektif dan sasaran serta mengawasi kemajuan dan prestasi mereka dari semasa ke semasa.
Melalui platform itu, pengguna boleh mendapatkan tip dan panduan berhubung latihan yang sesuai, misalnya bagaimana mahu menurunkan berat badan atau meningkatkan catatan masa peribadi.
Di laman web itu juga, pengguna boleh memilih program latihan yang sesuai dengan keupayaan dan kemampuan diri mereka berdasarkan data dan maklumat yang diperoleh.
Kedua-dua gajet itu kini berada di pasaran dan boleh didapati di semua Adidas Sport Performance Concept Stores di seluruh negara.
WU (dua dari kiri) bersama Pengurus Pemasaran 3M, Ben Heng (dua dari kanan) bergambar bersama model ketika pelancaran projektor poket MPro150 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KEBANYAKAN orang pasti tidak akan percaya sekiranya anda memberitahu bahawa anda sedang membawa sebuah projektor di dalam kocek kemeja atau beg tangan. Biasanya, projektor yang akan terlintas dalam fikiran adalah bersaiz besar dan berat.
Kini, gambaran itu tidak lagi tepat setelah 3M, sebuah syarikat Amerika Syarikat yang dikenali dengan inovasinya membawa projektor generasi ketiga yang saiznya berpadanan dengan saiz tapak tangan.
Lebih menarik, dengan beratnya hanya 160 gram, ia mampu beroperasi tanpa kabel atau sebuah komputer riba. Ia adalah produk elektronik terbaru yang sempurna untuk berkongsi video dan foto kegemaran bersama teman dan ahli keluarga.
Menurut Pengarah Urusan 3M Malaysia, Michael Wu, 3M MPro150 boleh berfungsi di mana sahaja sama ada di bilik rehat, pantri di tempat kerja atau kedai kopi kegemaran anda.
“Alat ini amat mudah alih dan amat senang untuk dipasang dan digunakan. Anda hanya perlu halakan projektor kepada dinding untuk melihat video atau gambar bersama sesiapa sahaja.
“Melalui projektor ini juga, anda tidak perlukan lagi komputer riba, kuasa kabel dan beg berat untuk diangkat ke mana-mana. Ia adalah kesempurnaan di dalam saku anda,” katanya.
Wu memberitahu, MPro150 mempunyai satu gigabit memori terbina dalam untuk menyimpan semua gambar, video dan muzik, sekali gus menghapuskan keperluan untuk disambungkan kepada sebuah komputer untuk berfungsi.
PROJEKTOR MPro150 boleh disambungkan kepada peralatan seperti iPhone, iPod dan PS3.
“Ia juga datang bersama sebuah kad mikro SD dengan dua gigabit memori secara percuma untuk simpanan tambahan fail-fail yang lebih besar seperti filem atau pembentangan serta boleh menyokong sehingga 16 gigabit memori.
“Sebagai projektor terkemuka dunia, MPro150 menyokong aplikasi Microsoft Office dan Adobe PDF. Oleh itu, ia dengan mudah memainkan peranan sebagai sebuah alat cekap untuk mereka yang sentiasa bergerak,” katanya.
Katanya lagi, MPro150 juga mampu menayangkan imej yang jelas dan terang dengan keluasan pepenjuru 50 inci dan tingkat kepekatan dan kontra warna yang amat baik.
“Bukan setakat itu sahaja, MPro150 juga membolehkan anda bersantai sambil mendengar lagu kegemaran kerana ia diintegrasikan dengan pembesar suara stereo dan bicu fon kepala.
“Ini menjadikan MPro150 sebagai pemain MP3 peribadi anda atau teater bergerak untuk kumpulan kecil seramai empat atau lima orang,” katanya.
Selain itu tambah Wu, MPro150 berfungsi serba guna kerana ia boleh disambungkan kepada pelbagai jenis peralatan termasuk iPhone, iPod, PS3, kamera digital, pemain DVD serta kamera video.
“Baterinya boleh bertahan selama dua jam manakala mentol projektor mampu bertahan selama 20,000 jam.
“Ini bermaksud anda tidak perlu menukar LED. Ia juga berbaloi dengan harga serta tidak memerlukan penyelenggaraan dan mempunyai jaminan ganti 15 bulan,” katanya.
TRIPOD kecil memudahkan penggunaan projektor poket.
Jelas beliau, ciri-ciri tambahan yang ada pada MPro150 termasuk flip-berdiri bersepadu, tripod dan pelbagai jenis kabel input. Ini menjadikan MPro150 sesuai untuk pelbagai peralatan video output yang terkini dan popular.
“MPro150 boleh didapati di kedai-kedai MACHINE dan cawangan-cawangan kedai IT utama. Harga runcitnya ialah RM1,899 dengan pembesar suara mudah alih TDK percuma bernilai RM89 bagi setiap pembelian,” katanya.
Untuk maklumat lanjut layari laman web www.3Mpocketprojector. com.my.
GAYA dwi-skrin yang boleh dilipat ini membawakan ciri penampilan eksklusif.
PERSAINGAN di antara gergasi teknologi maklumat, Microsoft dan Apple sejak lebih dua dekad lalu nampaknya masih belum berakhir. Kedua-dua syarikat ini tidak putus dalam menghasilkan produk terkini bagi memastikan kelangsungan mereka dalam industri. Jika dahulu mereka berlumba-lumba dalam membangunkan sistem operasi (Windows & Macintosh), sejak akhir-akhir ini pula mereka mula mengalihkan tumpuan kepada gajet digital. Tidak lama selepas Apple memperkenalkan tablet mereka – iPad, Microsoft tidak hanya berdiam diri malah telah bersiap sedia untuk memperkenalkan prototaip tablet versi mereka yang diberi nama Courier. Berbeza dengan iPad yang berbentuk seperti sekeping papan putih kecil, gajet ini mempunyai dwi-skrin yang boleh dilipat. Mendampingi pengguna sebagai jurnal digital, ia senang dibawa lantaran beratnya kurang dari 500 gram, berketebalan kurang dari seinci dan berukuran lebih kurang sebuah bingkai foto bersaiz sederhana. Gajet mutakhir Microsoft ini dilaporkan bakal menggunakan pemproses web bergerak terkini keluaran Nvidia – Tegra 2, yang direka khusus untuk gajet bergerak seperti tablet dan e-book. Pemproses grafik ini menjanjikan pengalaman melayari web yang maksimum termasuk keupayaan memainkan video beresolusi tinggi 1080p, sokongan skrin sesentuh 3D dan jangka hayat bateri yang lebih panjang. Ia juga dikhabarkan bakal menggunakan sistem operasi yang sama digunakan pada Zune HD dan juga Pink.
KEBANGGAAN Apple iaitu iPad kini sudah ada pencabarnya.
Skrin Microsoft Courier ini berkelebaran 7-inci dan menyokong peranti input berasaskan pen dan mempunyai aplikasi yang mampu mengenali tulisan tangan. Kelebihan ini memberikan kebebasan kepada pengguna untuk menggunakan jurnal digital ini sama seperti buku nota. Selain itu, Courier juga bakal dilengkapkan dengan kamera binaan dalam dan fon kepala bagi membolehkan pengguna menikmati video atau lagu kegemaran mereka tanpa mengganggu privasi orang di sekitarnya. Seperti hampir kebanyakan gajet bergerak hari ini, Courier disertai keupayaan WiFi bagi membolehkan Internet diakses dari lingkungan yang mempunyai capaian ini. Tambah menarik, Courier juga boleh digunakan sebagai buku elektronik atau lebih popular dengan panggilan e-book. Berbeza dengan fungsi utama iPad sebagai gajet hiburan, kegunaan Courier lebih kepada buku catatan harian atau organizer digital. Ia membolehkan anda menjejaki dan mengemaskini temu janji, tugasan yang perlu dibuat, nombor hubungan dan juga catatan ringkas, lalu menjadikan golongan profesional dan ahli perniagaan sebagai sasaran utama pengguna gajet ini kelak. Gajet ini juga dikatakan begitu fleksibel, membolehkan anda menghasilkan lukisan dan lakaran menggunakan aplikasi seperti Microsoft Paint. Selain berupaya membuat catatan dan mengambil gambar, Courier turut membolehkan pengguna melayari Internet dan membuat cekupan gambar dan teks terus dari laman web. Sungguhpun belum ada pengesahan tentang spesifikasi sebenar gajet keluaran Microsoft ini, Courier tentunya bakal mempunyai ciri asas sebuah jurnal digital dan mampu memberikan tamparan kepada pesaingnya. Dan tidak mustahil ia akan muncul dengan beberapa ‘kejutan’ lain apabila dilancarkan pada pertengahan tahun ini seperti yang dirancang. -kosmo
LAMPU ini juga dilengkapi dengan output USB yang boleh mengecas telefon bimbit dan gajet elektronik yang lain ketika kecemasan.
SYARIKAT elektronik Jepun, Sanyo baru-baru ini telah mempamerkan sejenis lampu solar yang unik yang dinamakan Eneloop solar light.
Dilengkapi dengan sel kuasa solar berefisien tinggi di satu bahagian untuk memberikan kuasa kepada bateri boleh cas bina dalamnya, ia juga dilengkapi dengan panel lampu LED pada satu bahagian yang lain. Panel lampu LED itu boleh bertindak sebagai lampu samar dan lampu bilik.
Lampu solar yang kalis air ini juga dilengkapi dengan output USB yang boleh mengecas telefon bimbit dan gajet elektronik yang lain ketika kecemasan.