Tag Archives: hak pengguna

20 barang terkawal Aidilfitri

ne 03.1 20 barang terkawal Aidilfitri


 

KUALA LUMPUR – Kerajaan semalam menetapkan harga terkawal bagi 20 jenis barangan untuk dikuatkuasakan mulai 23 Ogos hingga 6 September ini di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua barang telah ditambah ke dalam senarai pada tahun ini iaitu bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China).

“Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ini dibuat berdasarkan kepada maklumat hasil pemantauan di semua daerah, pandangan agensi kerajaan berkaitan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan terlibat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, peniaga diwajibkan menjual harga barang terkawal mengikut harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan tersebut.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.

Menurutnya, individu yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.

Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM250,000.

“Mereka yang gagal meletak tanda harga merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat yang gagal melakukannya boleh didenda RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, kira-kira 2,000 pegawai penguat kuasa KPDNKK bersama 1,000 pegawai pemantauan harga akan memantau penjualan barang terkawal bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang enggan mematuhi peraturan itu diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my

/// kosmo ///

Belanja RM100 baru dapat beli gula




ne 01.1 Belanja RM100 baru dapat beli gula

ANGGOTA penguat kuasa PPDNKK Negeri Sembilan merampas lebih dua tan gula di sebuah gudang di Jalan Dato’ Siamang Gagap, Seremban semalam.


SEREMBAN – Sebuah syarikat pemborong dan peruncit yang didapati mengenakan syarat melampau dengan mewajibkan seseorang pelanggan perlu berbelanja sebanyak RM100 terlebih dahulu sebelum dibenarkan membeli lima kilogram gula akhirnya diserbu semalam.

Premis yang terletak di Jalan Dato’ Siamang Gagap di sini itu diserbu sekumpulan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan selepas menerima aduan ramai.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK, Mohd. Nor Musa berkata, serbuan pada pukul 11 pagi itu dilakukan selepas menerima aduan bahawa syarikat berkenaan hanya menjual gula kepada pelanggan yang membeli barangan melebihi RM100.

“Bertindak berdasarkan aduan tersebut, seorang pegawai kami menyamar sebagai pelanggan dan terbukti pemborong dan peruncit berkenaan meletakkan syarat tersebut.

“Berikutan itu kami bertindak menyerbu premis berkenaan dan merampas lebih dua tan gula bernilai lebih RM3,300,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Nor, syarikat berkenaan yang merupakan pemborong kelas kedua didapati menyalahi Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu mengenakan syarat-syarat jualan ketika menjual barang-barang kawalan.

Jika sabit kesalahan individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, manakala syarikat sendirian berhad (pemborong) pula boleh dikenakan denda sehingga RM250,000

-kosmo

Harga GULA naik 20 sen hari ini




ne 01.1 Harga GULA naik 20 sen hari ini

PENIAGA Fazlul Rahman menunjukkan bekalan gula habis di kedainya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.


PUTRAJAYA – Harga jualan runcit gula di pasaran dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram menjadi RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa mulai pukul 12 malam tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

Subsidi bagi gula masih dikekalkan dan jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding tanggungan subsidi pada 2009 iaitu sebanyak RM720 juta setahun.

Harga gula mentah dunia telah naik dengan tinggi khususnya mulai bulan Ogos hingga hari ini. Sebelum ini harganya 14 hingga 16 sen AS (Amerika Syarikat) bagi satu satu paun, telah naik hingga 27 sen AS, jadi kerajaan perlu menaikkan harga gula,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kali terakhir harga gula dinaikkan ialah pada 13 September 2006 iaitu sebanyak 5 sen daripada RM1.40 kepada RM1.45 bagi Semenanjung manakala RM1.55 bagi Sabah dan Sarawak.

Jika tidak dinaikkan, Mohd. Zain berkata, tanggungan subsidi gula yang perlu ditampung oleh kerajaan akan meningkat kepada RM1.26 bilion bagi tahun 2010.

-kosmo