Tag Archives: ikrar

Janji manismu

Siapa kuat tabur janji?

PADA awal perhubungan, macam-macam janji indah keluar dari mulut. Tidak lama kemudian, semua janji manis bagai terkubur… Apa sudah jadi?

Begitulah padahnya kalau berjanji tidak ditepati. Cuba diungkit, alamat perang dunia ketiga lah jadinya! Hakikatnya, banyak hubungan terputus di tengah jalan gara-gara mungkir janji. Persahabatan juga boleh terlerai angkara janji tinggal janji.

Individu yang suka menabur janji tetapi sukar menepatinya mungkin wajar dijauhi. Ini kerana mereka selalunya akan menimbulkan masalah dengan tabiat menabur 1,001 alasan dan janji tidak bermakna.

Mungkin ada benarnya, baik lelaki atau wanita cenderung berjanji dalam perkara yang boleh memberi kesenangan kepada diri sendiri atau sebagai helah mengelak diri daripada situasi tertentu.

Bukan saja dalam konteks hubungan dua insan janji dilafaz, ditunai atau diengkari. Ada ketikanya, kita suka melafaz janji pada diri sendiri. Misalnya, janji menyimpan wang, menurunkan berat badan atau membayar hutang.

Dalam keadaan ini, seseorang tidak merasa perlu menunaikan janji apabila tiada dorongan kuat mengotakannya. Apabila tidak ada yang mendesak, usaha memenuhi janji bagai projek terbengkalai jadinya.

Hakikatnya, tidak salah berjanji asalkan disusuli komitmen menepatinya. Mengapa berjanji jika dari awal lagi sudah diketahui ia tidak mampu dilaksana? Lebih baik bersikap jujur kepada diri sendiri daripada dilabel individu suka memungkiri janji.

Antara lelaki dan wanita – siapa agaknya suka menabur janji?

Sharifah Marsila Sayed Aluwi
“Dalam situasi perhubungan, biasanya lelaki yang suka tabur janji. Mungkin mereka terpaksa memberi janji kerana mahu menjaga hati teman wanita atau mengelak pergaduhan berpanjangan.

Disebabkan janji yang sering ditabur lelaki jugalah segelintir wanita sanggup menyerahkan segala-galanya jika lelaki berjanji sehidup semati bersama… Namun akhirnya, janji tinggal janji.

Apabila ditanya mengenai janji yang dilafazkan, macam-macamlah alasan diberi. Pada pemerhatian saya, sesetengah lelaki suka menabur janji untuk kepentingan diri dan wanita pula cenderung berjanji untuk kesenangan.”

Raja Intan Zafirah Raja Zaki Hashim
“Daripada kebanyakan cerita dan pengalaman yang saya dengar, lelakilah yang paling suka menabur janji. Mereka ini biasanya bersikap ‘cakap dulu, bertindak kemudian’. Jadi lebih penting untuk bercakap atau berjanji dulu, hendak lakukan atau tidak itu belum pasti.

Selalunya kebanyakan lelaki akan membuat janji bagi menyenangkan hati teman wanita. Selepas beberapa lama janji dibuat, biasanya mereka akan mendiamkan diri.

Mungkin pada mereka, janji hanyalah ungkapan biasa, bukan sesuatu yang serius. Sedangkan bagi wanita, apabila sesuatu itu dikatakan janji, ia mestilah ditunaikan.”

Ruzanna Ridzuan
“Mereka yang suka menabur janji biasanya lelakilah. Mungkin kerana itu, ia menjadi antara cara berkesan memikat wanita pada awal perkenalan.

Janji yang selalunya dilafazkan ialah janji setia dan sebagainya. Tetapi mereka tidak menunaikan janji itu. Kebanyakan wanita pula, mudah percaya kepada janji lebih-lebih lagi jika mereka percaya dengan orang yang berjanji itu.

Tapi, apabila janji dimungkiri, mereka tidak akan menaruh kepercayaan lagi kepada lelaki berkenaan.”

Akmal Amrun
“Sesetengah wanita cenderung menabur janji apabila ada sesuatu perkara atau keperluan yang mendesak.

Lelaki pula cenderung untuk menabur janji apabila berdepan teman wanita cerewet. Jadi, ikutkan saja kata wanita ini, mereka pun berjanjilah.”

Azizul Fahmi Ahmad Zabidi
“Baik lelaki mahupun wanita, masing-masing pernah menabur janji. Tetapi jika ditanya siapa yang lebih suka menabur janji, jawapannya lebih menjurus kepada lelakilah.

Mungkin kerana kebanyakan lelaki menganggap mereka mempunyai kuasa penuh dalam membuat segala keputusan dan tindakan. Tetapi, sebenarnya ada wanita yang mempunyai kelakuan sama.”

Mohd Hazim Fahmi Aziz
“Tidak kira sama ada lelaki atau wanita memang selalu berjanji. Cuma dalam soal menunaikan janji, lelaki sering gagal melaksanakannya.

Kadangkala, bukan mereka sengaja hendak memungkiri janji tetapi disebabkan komitmen lain, mereka tidak dapat menunaikannya.

Sesetengah pula melihat kepada kepentingan janji itu untuk ditunaikan. Jika amat penting, mereka akan segera tunaikan. Jika tidak begitu penting, mereka akan lengah-lengahkannya.”