Firefly tawar penerbangan terus KL-Kuching




terminal klia Firefly tawar penerbangan terus KL Kuching

KUCHING 15 Jan. – Syarikat penerbangan komuniti, Firefly kini mengorak langkah lebih jauh apabila menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Kuching dan juga dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, hari ini.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Firefly, Angelina Corrina Fernandez berkata, pesawat FY602 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pagi ini turut melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melakukan penerbangan sulungnya ke bandar ini.

Katanya, bermula hari ini, Firefly mengendalikan dua penerbangan sehari dari Kuala Lumpur ke Kuching iaitu masing-masing berlepas pada pukul 7.20 pagi dan 8.45 malam.

“Selain itu, pihak kami akan menambah dua lagi penerbangan ke Kuching mulai 24 Januari iaitu untuk penerbangan pukul 11.45 pagi dan 4.20 petang.

“Harga tiket bagi penerbangan ini adalah serendah RM9 tidak termasuk cukai dan surcaj dan bergantung kepada masa tempahan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan penerbangan pertama Firefly ke Kuching dan Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Menteri Muda Pelancongan, Mong Dagang.

Penerbangan sulung Firefly tersebut membawa tetamu yang terdiri daripada pengamal media serta barisan artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Wake The Baby, milik komposer dan penyanyi terkenal, Ajai.

Selain Kuching, Firefly pada pagi ini turut mencipta sejarah berganda apabila berjaya membuat penerbangan sulung ke Kota Kinabalu menerusi pesawat FY502.

/// utusanmalaysia ////

flight1 Firefly tawar penerbangan terus KL Kuching

181 total views, no views today