Jalan TAR jadi tumpuan pengunjung




dn 07.1 Jalan TAR jadi tumpuan pengunjung

AZMAN Bilal menjual baju raya empat pasang RM100 di hadapan kedainya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, semalam. -

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Dengan Aidilfitri tinggal beberapa hari sahaja lagi, sebahagian besar peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini mula menawarkan potongan harga besar-besaran.

Antaranya, Azman Bilal, 25, yang menjual empat pasang baju kurung pada harga RM100 sedangkan sebelum ini ia dijual dengan harga RM68 sepasang.

Menurutnya, beliau menjual baju kurung tersebut dengan harga yang murah kerana mahu menghabiskan stok jualannya.

“Stok jualan masih banyak, kalau masih mengekalkan harga yang sama iaitu RM68 sepasang, orang tidak akan membelinya.

“Buat masa ini, hasil jualan agak memberansangkan sehingga menunggu ketibaan Syawal yang dijangka Selasa depan,” katanya.

Terdapat juga peniaga lain yang menjual barangan mereka dengan harga lelong dengan alasan untuk menghabiskan stok dan mengurangkan kos kerugian.

Seorang daripada mereka, Farid Mustarif, 26, berkata, harga jualan pada penghujung Ramadan ini akan diturunkan kepada separuh untuk mengurangkan kos kerugian kerana pakaian masih banyak yang belum terjual.

“Saya boleh tawarkan baju kurung yang sebelum ini dijual pada harga RM100 kepada RM25 sahaja.

“Kami akan membuka gerai dari 10 pagi hingga 4 pagi kerana ingin memudahkan orang ramai yang datang dari jauh untuk membeli-belah,” ujarnya.

Orang ramai yang berkunjung di kawasan tersebut amat berpuas hati walaupun membeli-belah dengan keadaan sesak kerana rata-rata peniaga mula menawarkan potongan harga yang menarik.

Seorang pengunjung, Adila Anuar, 18, berkata, membeli-belah pada saat akhir ini ada keseronokannya kerana berpeluang mendapat harga yang lebih rendah.

“Pada saat akhir ini, peniaga akan letak harga barangan dan pakaian dengan harga lelong. Semua pengunjung akan mengambil kesempatan ini kerana harga pada awal dan akhir Ramadan berbeza,” katanya.

99 total views, no views today

Tunggu laung harga runtuh




ru 01.1 Tunggu laung harga runtuh


JARUM jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Suasana di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan beberapa laluan utama yang lazimnya sesak kelihatan lengang daripada biasa.

Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma dua hari lagi menyebabkan sebahagian besar warga kota sudah mula bercuti dan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bagaimanapun, suasana berbeza dirasai di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India. Deretan kenderaan dan kehadiran ribuan manusia menyesakkan setiap penjuru di laluan itu.

Meskipun bingit dan merimaskan, suasana itu tetap diterima bagaikan melihat kelkatu yang menghurung cahaya lampu.

“Mai singgah, lelong baju Melayu dan baju kurung, diskaun besar-besaran, malam ini juga kita kasi habis stok,” laung seorang pemuda berusia sekitar awal 20-an dari celah-celah kesibukan orang ramai yang membeli-belah.

Berbaju kurung dan bertudung seakan-akan seorang wanita sambil berdiri di atas kerusi, gelagat pemuda itu ternyata mengundang ketawa kecil sesiapa sahaja yang melihatnya. Tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang, pemuda itu terus tekun melakukan tugasnya.

Laungan ‘harga runtuh’, ‘beli satu percuma satu’ dan ‘jualan penghabisan stok’ turut dicanang di sepanjang laluan.

Di kalangan peniaga di bazar Ramadan di sini, acara lelongan yang memuncak pada hari-hari terakhir bulan Ramadan memang senario biasa setiap tahun.

Seorang peniaga baju Melayu, Mohd. Fairus Yaacob, 30, berkata, acara lelong lazimnya bermula seminggu sebelum raya.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu memberitahu, kebanyakan peniaga mula menurunkan harga barangan kerana mahu segera menghabiskan stok barangan di samping mengelakkan kerugian.

Beliau yang menyediakan kira-kira 5,000 pasang baju Melayu sempena hari raya tahun ini berkata, diskaun yang ditawarkan adakalanya mampu mencecah 45 hingga 50 peratus sepasang.

ru 01.2 Tunggu laung harga runtuh

PENIAGA yang dikenali dengan nama Amir ini saban tahun mencuit perhatian dengan memakai persalinan wanita lengkap ketika melelong pakaian di gerai jualannya.


“Misalnya, sebelum ini kami menjual baju Melayu pada harga RM100, selepas dilelong ia dijual pada harga RM70.

“Bagaimanapun, ia hanya membabitkan kain-kain tertentu sahaja. Apa yang pasti setiap kali berlaku acara lelong gerai kami akan diserbu sehingga ke awal pagi. Pernah sekali beberapa jam sebelum sembahyang raya ada pelanggan yang datang ke sini untuk mencari baju Melayu,” katanya yang sudah empat tahun berniaga di situ.

Kunjungan meningkat

Ujar Mohd. Fairus, kehadiran pengunjung di sekitar kawasan itu meningkat berkali-kali ganda berbanding ketika permulaan dan pertengahan Ramadan.

Bagaikan sudah menjadi kelaziman, pengunjung suka membeli-belah di saat-saat akhir dan pada masa yang sama menunggu acara lelongan diadakan.

“Biarpun tidak menang tangan melayan kerenah pelanggan, namun ia tetap memberi kepuasan kepada peniaga. Biarlah dapat untung sedikit, asalkan barangan dapat dijual,” jelasnya yang memberitahu hasil jualan meningkat antara 300 hingga 400 peratus pada hari-hari terakhir berkenaan.

Acara lelongan lazimnya bermula di siang hari dan bertambah meriah menjelang tengah malam dan membawa sehingga awal pagi.

Antara barangan keperluan hari raya yang sering dilelong ialah baju Melayu, baju kurung dan kuih raya kerana barangan tersebut bukan lagi menjadi pilihan pelanggan selepas hari raya.

Peniaga kuih raya, Nazeri Ismail, 26, berkata, trend itu sebenarnya sudah diketahui sebahagian besar warga kota dan kini menjadi tarikan utama di bazar itu.

Menurutnya, harga yang diturunkan menjelang akhir Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu oleh pelanggan.

“Mereka tahu harga akan jatuh dan itu masa paling sesuai untuk mereka membeli,” katanya yang menjual lebih 1,000 jenis kuih raya pada tahun ini.

ru 01.3 Tunggu laung harga runtuh

PENIAGA, Al-Rashid Al-Ali, sanggup menyarung tudung sebagai gimik lelongannya.


Tambahnya, senario itu dapat dilihat beberapa minggu lalu apabila ada di antara pelanggan yang singgah di gerai dan bertanyakan harga kuih yang dijual.

“Mereka tanya harga itu pada minggu sebelumnya. Selepas itu, kita akan lihat mereka akan datang balik pada minggu berikutnya dan mengharapkan harga kuih sudah diturunkan.

“Apa yang pasti, semakin dekat Syawal, harga yang ditawarkan jauh lebih murah dan harganya boleh berubah dalam sekelip mata.

“Misalnya pada awal Ramadan tahun lalu, kami menjual sebalang kuih pada harga RM20, pada acara lelong ia dijual dengan harga RM5,” ujarnya.

Dia yang sudah 13 tahun berniaga bazar Ramadan memberitahu, harga lelong yang ditawarkan berbeza-beza bergantung kepada gred dan kuantiti kuih yang dijual.

“Kuih-kuih yang popular seperti marble, royal jelly, tat nanas, blackrose tidak sempat dilelong kerana sudah kehabisan stok. Kebiasaannya kami melelong kuih yang agak kurang popular dan mempunyai stok berlebihan,” jelasnya.

Selain peniaga bazar, gedung-gedung besar turut mengadakan jualan lelong seperti yang dilakukan gedung fabrik terkemuka, Jakel.

Bermula Ramadan lalu, syarikat itu mengadakan lelong besar-besaran membabitkan diskaun antara 50 hingga 80 peratus bagi pelbagai permaidani dan fabrik di cawangannya di Jalan Masjid India dan Seksyen 7, Shah Alam; Plaza Angsana, Johor Bahru dan Melaka Sentral, Melaka.

Lelong Master

Pengurus Pemasarannya, Azlan Abu Bakar memberitahu, pihaknya melantik beberapa individu yang dikenali sebagai ‘lelong master’ untuk mengendalikan acara lelongan.

“Kami akan memilih beberapa permaidani, sebelum melelongnya, ia mengaplikasikan konsep siapa cepat dia dapat.

“Pemilihan konsep ini sengaja digunakan untuk memeriahkan suasana, apatah lagi pengunjung juga kini dalam mood’ raya. Lagi pun ia sedikit-sebanyak berjaya menarik perhatian pengunjung ke Jakel,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya menyediakan lebih sejuta permaidani import dari beberapa negara seperti Iran, Turki, Mesir dan Belgium sempena perayaan tahun ini.

Jumlah itu katanya, sekali ganda daripada jumlah yang dijual pada tahun lalu.

“Terdapat banyak pilihan dan rekaan terkini untuk dimiliki. Pasti pelanggan tidak akan menyesal kerana ia merupakan harga termurah di Malaysia,” katanya.

ru 01.4 Tunggu laung harga runtuh


Bagi seorang pengunjung, Haryani Ayub, 34, laungan daripada peniaga-peniaga di situ sudah didengarinya sejak kali pertama berkunjung ke bazar itu kira-kira tiga tahun lalu.

Menetap di Air Panas, Setapak, dia berkata, persiapan Aidilfitri seperti tidak sempurna jika tidak berkunjung ke situ.

Haryani mengakui, memang menunggu saat akhir untuk membeli kuih serta pakaian raya.

Katanya, harga yang sudah dipantau sejak awal Ramadan memang menunjukkan penurunan sehingga 40 hingga 50 peratus setiap satu.

“Saya menunggu saat akhir begini kerana harganya akan menjadi lebih rendah. Ada juga yang menunggu sehingga malam hari raya untuk membeli namun kita tidak dapat nafikan jalan raya menjadi semakin sesak,” kata kakitangan kerajaan itu.

Bercerita tentang pengalamannya, dia bercerita, kawasan itu menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan warga kota malah pengunjung yang datang dari seluruh pelosok tanah air.

“Biarpun terpaksa bersesak-sesak, namun hati puas apabila berjaya membeli barangan dengan harga murah daripada biasa. Pada malam raya tahun lalu, saya pernah membeli kuih lelong, sebekas hanya 50 sen sahaja.

“Bagaimanapun tidak bermakna apabila sudah murah, kita perlu berbelanja, saya membeli sekadar yang perlu sahaja,” kata Haryani.

Sementara itu, Rozita Suhaime, 41, memberitahu, acara lelongan kuih dan pakaian yang ditawarkan menjelang hari raya ini memangnya dinantikan sejak menetap di ibu negara lebih 10 tahun lalu.

Jelasnya, ia merupakan lokasi wajib yang harus dikunjungi setiap warga kota terutama yang tidak dapat bercuti dan pulang berhari raya di kampung.

“Sudahlah harga murah, kualitinya juga tidak jauh beza seperti yang terdapat di gedung-gedung beli-belah terkemuka.

“Pada masa yang sama saya seronok melihat suasana di situ, lagu raya yang berkumandang di sana sini serta pelbagai gelagat peniaga cukup menghiburkan,” katanya yang datang dengan menaiki tren Transit Aliran Ringan.

/// kosmo ///

71 total views, no views today