![]() |
|
GAJET miCoach membolehkan pelari mencapai objektif latihan seolah-olah mendapat bimbingan jurulatih profesional.
|
BOSAN melakukan aktiviti larian atau joging bersendirian, lebih-lebih lagi aktiviti yang dilakukan langsung tidak memberi hasil memuaskan seperti dirancang.
Memahami dilema yang dihadapi pengguna di seluruh dunia, Adidas selaku pelopor gajet dan aksesori sukan terkemuka melancarkan gajet miCoach Pacer dan miCoach Zone baru-baru ini.
Kedua-dua gajet itu dibangunkan untuk memotivasi, memberi inspirasi dan membolehkan pelari mencapai matlamat mengikut kesesuaian jenis latihan yang dijalankan seolah-olah mendapat bimbingan jurulatih profesional.
Secara dasarnya, ia merupakan satu sistem latihan interaktif yang membimbing para pelari melakukan aktiviti larian berdasarkan prestasi dan kemampuan seseorang mengikut data yang telah dikumpulkan.
“MiCoach bertindak sebagai jurulatih peribadi anda sendiri dan merekodkan segala butiran semasa anda berlari. Ia amat praktikal kerana dapat membimbing dan memberi tip kepada anda mencapai objektif yang ditetapkan,” kata Ng Chee Loon, Pengurus Adidas (Malaysia) Sdn. Bhd.
![]() |
|
SELAIN bertindak sebagai pengumpul data, MiCoach Pacer boleh memainkan muzik MP3.
|
Keunikannya, kedua-dua gajet itu mempunyai audio terbina dalam bagi memberi maklumat lisan secara terus kepada anda semasa melakukan larian.
Gajet miCoach Pacer dijual pada harga RM519.90 dengan empat peranti berbeza iaitu Heart Rate Monitor (untuk mengukur degupan jantung), Stride Sendor (mengukur langkah dan kelajuan) dan kabel USB serta fon kepala.
Semasa melakukan larian, kesemua alat itu berfungsi merekodkan segala data dan memberi panduan kepada pelari sama ada mempercepatkan, melambatkan dan mengekalkan kelajuan berdasarkan data yang diterima.
Sementara itu, gajet miCoach Zone yang dijual pada harga RM269.90 berfungsi membaca kod warna paparan LED yang dipasang pada bahagian lengan.
Seperti juga miCoach Pacer, ia turut merekodkan data dan memberi maklumat lisan secara terus bagi membolehkan seseorang pelari itu melakukan latihan mengikut kadar dan kemampuannya dengan bantuan alat pengawasan denyutan jantung.
![]() |
|
PAPARAN warna LED membolehkan pelari melakukan latihan berdasarkan kemampuannya.
|
Menariknya, kesemua maklumat dan data yang disimpan boleh dipindah naik ke Internet melalui laman web www.micoach.com. Ia membolehkan pengguna merancang jadual latihan, menetapkan objektif dan sasaran serta mengawasi kemajuan dan prestasi mereka dari semasa ke semasa.
Melalui platform itu, pengguna boleh mendapatkan tip dan panduan berhubung latihan yang sesuai, misalnya bagaimana mahu menurunkan berat badan atau meningkatkan catatan masa peribadi.
Di laman web itu juga, pengguna boleh memilih program latihan yang sesuai dengan keupayaan dan kemampuan diri mereka berdasarkan data dan maklumat yang diperoleh.
Kedua-dua gajet itu kini berada di pasaran dan boleh didapati di semua Adidas Sport Performance Concept Stores di seluruh negara.
-kosmo
Demo penggunaan micoach jenama Adidas




