Tag Archives: jenama CSL

Komputer peribadi mini termurah dilancar

ne 11.1 Komputer peribadi mini termurah dilancar

MIKE TEE menunjukkan komputer peribadi mini berharga RM1,099 seunit di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar telefon bimbit tempatan, CSL Group of Companies (CSL) semalam melancarkan sebuah model komputer peribadi mini, N1008.

Naib Pengerusi CSL, Ir. Megat Radzman Megat Khairuddin berkata, pengenalan model baru itu sejajar dengan permintaan terhadap komputer peribadi yang semakin meningkat di kalangan pengguna di negara ini.

“Ia merupakan model ketiga selepas siri N1000 dan N11000 yang mendapat sambutan hangat selepas ia dilancarkan pada Jun dan September lalu.

“Apa yang menariknya, model ini dijual pada harga RM1,099 iaitu terendah berbanding siri-siri lain di pasaran serta mempunyai fungsi serta rekabentuk yang dijangka memenuhi cita rasa pengguna,” katanya pada sidang media selepas pelancaran komputer peribadi N1008 dan pelancaran kiosk bergerak CSL serta cawangan CSL ke-127 di sini semalam.

-kosmo




Blueberry-i mirip Blackberry

Pada harga RM438 anda mampu memiliki telefon bimbit yang menyediakan pelbagai kemudahan asas dan kelihatan eksklusif seperti Blackberry Bold.

in 02.1 Blueberry i mirip Blackberry


SESETENGAH orang lebih mementingkan papan kekunci setiap kali ingin membeli telefon bimbit. Ini kerana ciri selesa dan mudah ketika menekan papan kekunci untuk mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun membuat panggilan boleh mempengaruhi pengalaman menggunakan sesebuah telefon bimbit.

Trend menggunakan telefon bimbit yang mempunyai papan kekunci Qwerty seolah-olah semakin digemari oleh semua peringkat umur pada hari ini.

Malah syarikat pengeluar telefon bimbit kian giat memasukkan elemen terbaru itu untuk keluaran produk masing-masing.

Begitu juga dengan syarikat tempatan CSL Manufacturing (M) Sdn. Bhd. Mereka tidak mahu ketinggalan untuk memasarkan telefon bimbit jenamanya dengan papan kekunci Qwerty.

Papan kekunci

Sejak Blueberry-i dipasarkan baru-baru ini, banyak maklum balas daripada pengguna yang mengatakan mereka menggemari papan kekunci telefon tersebut.

Ini kerana jarak papan kekunci telefon tersebut tidak terlalu rapat sekali gus membuatkan penggunaan satu tangan sahaja sudah memadai.

Dalam pada itu, dengan mempunyai cahaya lampu putih pada papan kekunci tersebut, para pengguna boleh menggunakannya meskipun berada di tempat yang gelap.

Blueberry-i juga didatangkan dengan kemudahan kamera Video Graphics Array (VGA) iaitu sistem yang mampu memberikan hasil gambar yang menarik tidak kira sama ada pengguna berada di dalam persekitaran gelap atau cerah.

Dengan adanya kemudahan VGA, pengguna boleh merakam video dan hasilnya tidak mengecewakan.

Kantanya pula turut dilengkapi dengan penutup yang tahan lasak. Malah, anda boleh membersihkan permukaannya daripada kesan cap jari atau habuk dengan mudah tanpa sebarang sensitiviti.

in 02.2 Blueberry i mirip Blackberry

KAMERA yang dilengkapi teknologi VGA mampu memberi hasil grafik yang menarik.


in 02.3 Blueberry i mirip Blackberry


Kemudahan

Rekaannya nampak eksklusif seperti telefon-telefon bimbit yang mempunyai pelbagai kemudahan terkini.

Namun, jika diteliti Blueberry-i sebenarnya direka bagi pengguna yang kerap membuat panggilan telefon.

Ia kurang sesuai digunakan oleh pengguna yang menggunakan telefon untuk bermain permainan.

Dilengkapi dengan kabel mini USB yang terletak di sebelah bawah telefon, pengguna boleh menggunakannya untuk membuat sambungan bagi mengecas, memasang aksesori, kabel penyimpanan data-data dan fon telinga.

Pembaharuan lain yang ditonjolkan menerusi telefon itu ialah Global System for Mobile Communication (GSM). Ia merupakan sistem data yang diterima secara langsung tanpa wayar bagi memudahkan anda mendapat maklumat terkini.

Aplikasi seterusnya pula ialah GPRS dan Bluetooth yang menggunakan Advanced Audio Distribution Profile (A2DP). Teknologi streaming baru itu menyokong stereo bagi menikmati muzik dengan bunyi yang kuat, bertenaga dan berkualiti.

Pengguna juga diberi kebebasan untuk membuat pilihan bahasa sama ada bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.

Ia turut menyediakan fungsi berbentuk Islamik apabila telefon itu mengetengahkan sistem pelbagai guna seperti laungan azan setiap kali masuk waktu solat.

Bagi mereka yang sering mengembara, anda tidak perlu bimbang berhubung arah kiblat kerana Blueberry-i turut menyediakan kemudahan tersebut.

Dua dalam satu

Satu lagi keistimewaan telefon itu ialah pengguna boleh menggunakan dua kad SIM serentak.

Bagaimanapun, ia membolehkan pengguna untuk menggunakan hanya satu kad SIM sahaja.

Caranya ialah hanya mengunci sahaja kad SIM yang tidak digunakan.

Anda tidak perlu menyimpan kad SIM yang tidak digunakan di tempat lain yang mungkin hilang, rosak, dicuri atau sebagainya.

-kosmo




Telefon bimbit serendah RM78

mainpix1 Telefon bimbit serendah RM78
ANTARA model terbaru telefon bimbit keluaran CSL.

Keluaran syarikat CSL mula dipasar Julai

PETALING JAYA: Pengeluar telefon bimbit tempatan, Kumpulan Syarikat CSL (CSL) akan memperkenalkan telefon bimbit dengan harga serendah RM78 seunit bulan depan untuk menguasai pasaran dalam negara dan yakin dapat menjual kira-kira 20,000 unit sebulan.

Dengan harga serendah itu, syarikat berkenaan yakin dapat meningkatkan jumlah jualan kepada 300,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar CSL, Edwin Gan, berkata CSL menjual lebih 300,000 unit telefon bimbit membabitkan 47 model di antara November 2007 hingga Mei lalu.

“Ini tidak termasuk tujuh model baru yang dilancarkan malam ini iaitu M28, M52i, DS28i, DS88i, SP10i, K500i dan Blueberry-i,” katanya pada `CSL Star Dealers’ Night 2009′ di sini, malam kelmarin .

Produk baru telefon bimbit itu diperkenalkan oleh barisan finalis Miss Pageant 2009.

Sempena pelancaran itu juga, CSL memperkenalkan dua produk baru multimedia iaitu N1000 netbook dan model baru 3.5G HSDPA USB modem – U1-TF Blossom.

Edwin berkata, ketika ini, CSL mempunyai 120 kiosk jualan di seluruh negara dan jumlah itu dijangka bertambah 50 lagi menjelang akhir tahun ini.

Bagi separuh penggal kedua tahun ini, katanya syarikat itu bercadang melabur RM1.5 juta untuk mengukuhkan jenama produk CSL, RM1 juta untuk meningkatkan kemudahan di pusat servis dan RM1 juta lagi untuk pembangunan perisian dan kandungan digital.

Katanya, CSL juga mempunyai 18 pusat servis bagi memberi perkhidmatan selepas jualan kepada pengguna.

“Dengan kekuatan 150 kakitangan teknikal, kami merancang memberi perkhidmatan lebih baik kepada pengguna.

“Berikutan itu, kami akan membuka lebih banyak pusat kutipan dengan menggunakan premis pengedar utama yang letaknya di seluruh negara sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Sehingga kini, produk yang dihasilkan CSL dikenali sebagai barangan buatan Malaysia dan sebagai pengeluar telefon bimbit tempatan, syarikat itu yakin rakyat negara ini akan menyokong usaha CSL.

-bharian