Serlah kreativiti fotografi

in 02.1 Serlah kreativiti fotografi

MOD iAuto membantu pengguna menyunting subjek dalam kamera.


DAYA imaginasi dan kreativiti memainkan peranan penting dalam penghasilan sesuatu imej pegun yang dapat memberi seribu makna kepada penggemar fotografi.

Bahkan, rakaman imej pegun yang tidak memerlukan suntingan perisian komputer menyerlahkan lagi kreativiti selain menjimatkan masa seseorang jurufoto.

Bagaimanapun, tidak semua kamera digital didatangkan dengan ciri-ciri kreatif untuk memberi kebebasan kepada penggemar fotografi melakukan suntingan ketika menggunakan peranti berkenaan. Ia sekali gus mengehadkan kreativiti mereka semasa merakam imej.

Ini semua bakal berubah apabila menggunakan kamera sistem generasi baru salah sebuah syarikat peneraju industri kamera digital dunia, Olympus iaitu PEN E-PL1.

Peranti revolusi baru, model PEN E-PL1 ini dilengkapi dengan mod iAuto yang mampu memberi kebebasan kepada pengguna untuk merakam imej pegun dengan mudah dan pantas mengikut gaya kreativiti mereka.

Menariknya tentang mod iAuto ini apabila ia menawarkan lima pilihan Live Guide yang dapat membantu pengguna menyunting subjek yang dikehendaki.

Lima pilihan Live Guide yang terdapat pada kamera digital tersebut ialah penepuan warna (colour saturation), warna imej (colour image), kecerahan (brightness), latar belakang kabur (blur background) dan pergerakan pantas (express motion).

Kesemua pilihan Live Guide tersebut dapat membantu pengguna menghasilkan imej pegun yang lebih kreatif tanpa menggunakan sebarang perisian komputer dengan hanya melaraskan punat menambah atau menolak hasil pilihan berkenaan.

Ciri-ciri itu mampu memberi peluang kepada pengguna melakukan eksperimentasi terhadap imej pegun yang dirakam, sekali gus menajamkan daya imaginasi penggemar fotografi.

Selain itu, keunikan kamera digital yang mempunyai resolusi 12.3 megapiksel tersebut adalah ia didatangkan dengan lima panduan merakam imej gaya profesional.

Empat panduan tersebut adalah rakaman kanak-kanak, haiwan peliharaan, bunga-bungaan, makanan dan cara membingkai imej.

Pengguna PEN E-PL1 juga boleh melakukan ekperimentasi imej dengan menggunakan Art Filter yang disediakan dalam kamera digital itu iaitu gentle sepia, pop art, pin hole, diorama dan grainy film.

Model kamera digital PEN E-PL1 boleh dimiliki pada harga RM2,499 dan keterangan lanjut mengenai peranti itu boleh melayari laman web www.olympusimage.com.my.

-olympus PEN-E-PL1

// kosmo //

67 total views, 1 views today