Kamera kompak digital yang mempunyai teknologi paparan dwiskrin memudahkan pengguna merakam imej pegun agar kelihatan lebih jelas dan kemas apabila tiada orang dapat membantu mereka.

SAAT melancong kita sudah pasti akan menempuhi pelbagai destinasi menarik yang ingin dirakam untuk menjadi karya album foto kenangan.
Bangunan lama, pemandangan menghijau dan pantai memutih merupakan antara plot cerita menarik yang bakal ditempuhi apabila mengunjungi ke destinasi-destinasi pelancongan ini.
Agak malang, apabila detik indah yang dilalui itu tidak dapat dirakam hanya kerana tiada orang membantu memetik butang kamera kompak digital kita.
Bagaimanapun, inovasi terbaru kamera kompak digital yang dikeluarkan Samsung Malaysia Electronics dapat membantu merungkai segala kekalutan apabila ingin merakam imej sendiri.
Model kamera kompak digital ST700 yang didatangkan bersama teknologi dwiskrin dan ciri-ciri terkini mampu memberi kelegaan kepada penggemar fotografi yang suka merakam imej mereka sendiri.
Dilengkapi skrin LCD 4.6 sentimeter (sm) di bahagian hadapan, pengguna mempunyai kebebasan untuk merakam imej pegun mereka di mana-mana sahaja dengan mudah tanpa memerlukan bantuan orang lain.

Ciri itu dapat memastikan setiap petikan imej dirakam kelihatan lebih jelas tanpa terkeluar daripada bingkai fokus yang boleh merosakkan karya pengguna.
Bahagian belakang pula, terdapat paparan skrin sentuh 7.6 sm yang dapat memberikan paparan imej jelas, menarik dan menakjubkan. Ia turut mempunyai ciri menarik Smart Access UI bagi memudahkan lagi pengguna mengendalikan kamera kompak berkenaan.
Bagi yang gemar merakam telatah si comel, mod kanak-kanak dapat membantu ibu bapa dalam merakam imej anak mereka.
Skrin hadapan kamera kompak itu akan bertindak menghiburkan anak comel dengan paparan animasi untuk menarik perhatian apabila merakam imej mereka.
Dalam pada itu, ciri mod bingkai magis membenarkan pengguna memilih pelbagai bingkai menarik untuk melahirkan mood dan personaliti.
Antara templat yang boleh didapati termasuk Wall Art, Old Film, Ripple, Full Moon, Old Record, Magazine, Holiday, Classic TV dan banyak lagi.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kamera kompak digital Samsung ST700 yang dijual pada harga RM1,149 boleh melayari laman web www.samsung.com atau www.facebook.com/SamsungUnivez.
/// kosmo ///






