Kit uji kesuburan lelaki
JIKA sebelum ini, hanya wanita yang mempunyai kit ujian kesuburan di rumah bagi menguji kehamilan, saintis-saintis di Taiwan kini mencipta satu inovasi baru.
Mereka melaporkan baru-baru ini yang mereka telah mencipta kit ujian di rumah bagi menguji kesuburan lelaki. Ia mengukur efisiensi sel sperma iaitu faktor penting bagi menentukan keupayaan seseorang lelaki itu menjadi bapa.

Kit itu yang dibangunkan di National Taiwan University, memberikan ukuran berangka bagi mengukur pergerakan sel sperma untuk sampai ke telur.
“Ketidaksuburan sering disebabkan oleh gaya hidup, seperti stres atau pengambilan tembakau. Jadi, jika manusia mengubah gaya hidup mereka, mereka akan boleh menggunakan kit ini untuk memantau perkembangan tahap kesuburan mereka,” kata Andrew Wo, ketua bagi kumpulan penyelidikan itu.
Produk yang hampir sama yang direka khas untuk kegunaan di rumah sudah terdapat di pasaran, tetapi fokus mereka setakat ini hanya pada kuantiti sel sperma, bukan pada kualiti. Demikian menurut Wo dan rakan-rakannya yang membangunkan kit terbaru itu.
Wo menjangkakan kewujudan produk itu juga akan mengukir senyuman di bibir isteri-isteri yang merasakan mereka dipersalahkan apabila gagal hamil.
“Mungkin isteri-isteri itu berfikir yang ia bukan salah mereka. Mereka boleh membeli kit ini untuk suami mereka bagi membuktikan yang mereka di pihak yang benar,” kata Wo.
Katil robotik
SYARIKAT elektronik gergasi Jepun, Panasonic
baru-baru ini telah mendedahkan ciptaan terbaru mereka iaitu katil robotik yang boleh diubah menjadi kerusi roda.

Katil robotik yang boleh berubah daripada katil kepada kerusi roda itu telah didedahkan menerusi foto.
Ia membolehkan pengguna tetap berasa di atas katil atau kerusi roda ketika transformasi berlaku. Ia membuatkan kehidupan manusia lebih mudah terutamanya bagi warga emas dan orang kurang upaya.
Jepun merupakan salah sebuah negara yang memiliki populasi warga tua terbesar.
Peranti mobiliti peribadi
SYARIKAT pemotoran, Honda Motor Co baru-baru ini telah mempertontonkan peranti mobiliti peribadi terbarunya yang dinamakan U3-X. Peranti berbentuk kenderaan itu telah didedahkan kepada umum pada satu majlis di ibu pejabat syarikat tersebut di Tokyo, Jepun.

![]() |
|
U3-X dilengkapi dengan sistem pemanduan omni-directional.
|
U3-X dilengkapi dengan sistem pemanduan omni-directional. Dengan itu, ia boleh melaraskan kelajuan dan pergerakan untuk mengubah haluan dan berhenti pada kesemua arah.
Mempunyai ketinggian 65 sentimeter, kenderaan dengan bateri binaan dalaman itu mempunyai berat kurang daripada 10 kilogram. Ia boleh dipandu dalam tempoh satu jam dengan kelajuan maksimum 6 kilometer (km) sejam dengan cas bateri selama satu jam setengah.
-kosmo

