Selain kejutan pada hari lahir, banyak surprise lain boleh meninggalkan kenangan bermakna.
Antara kejutan yang sering dilakukan ialah ulang tahun perkenalan, lamaran perkahwinan, candle light dinner atau sekadar suka-suka bagi mengeratkan hubungan dan kemesraan.
Semestinya mengikut pandangan lelaki, lawan sejenisnya yang suka mengambil inisiatif melakukan kejutan. Namun, lelaki juga sukakan elemen surprise sebagai cara meluahkan cinta si jantung hati.
Bagi wanita pula, pasti mereka sekali-sekala sukakan kejutan bagi menambah warna-warna hidup serta jalinan mesra dua insan. Mari berkongsi isi hati mereka…
Azlan Shah Husin, 35, kerani
“LELAKI tidak terkecuali mengambil inisiatif melakukan kejutan buat pasangan tersayang. Mungkin lelaki banyak idea untuk menggembirakan si dia.
Menyentuh mengenai kejutan, ia tidak terhad atau bergantung kepada bajet. Bagi saya, tidak semestinya kejutan yang ingin dilakukan itu memerlukan bajet tinggi atau mewah. Paling bermakna, kita berusaha menjadikan detik itu lebih menarik.”
Faridatul Zahara Mohd Salleh, 33, eksekutif
“SEMESTINYA wanita lebih cenderung bersusah payah melakukan kejutan. Apatah lagi, wanita lebih peka terhadap tarikh bermakna untuk diingati.
Sedangkan lelaki, jika kita sedia maklum, memang mudah lupa dan sering memberi alasan sibuk bekerja. Ini kerana mereka tidak mahu dibelenggu dan terlepas daripada tanggungjawab. Perubahan antara lelaki bujang dan sudah berumah tangga lebih ketara dalam soal begini.”
Danny Prabhu, 23, pelajar
“KESUNGGUHAN lelaki memenangi hati wanita tersayang membuatkan mereka sanggup melakukan apa saja kejutan terutama pada hari jadi pasangan.
Mungkin itulah cara lelaki untuk mengurat dan membuktikan rasa cinta. Tidak kisah apa saja bentuk hadiah dan kejutan, bagi lelaki, apa yang lebih penting ialah kesungguhan dan cara kita memberikan yang terbaik buat si dia.”
Jasbirizla Ilia Zainal Abidin, 24, pelajar
“MELAKUKAN kejutan bagi saya bergantung kepada individu dan siapa yang kita ingin surprise. Secara peribadi, saya belum pernah menerima kejutan daripada sesiapa. Bagi saya, wanita lebih suka melakukan kejutan kepada lelaki berbanding golongan Adam.”
Mohd Kamal Mohd Yatim, 25, pembantu tadbir
“BERDASARKAN pengalaman, saya rasa wanita lebih suka melakukan kejutan. Mereka sanggup bersusah payah semata-mata membuktikan kasih sayang kepada lelaki. Lelaki pula bagi saya lebih banyak mengungkap kata-kata.”
Adibah Abdul Mutalib, 24, kakitangan bahagian hartanah
“SOAL kejutan ini, tidak kira lelaki atau wanita, bagi saya tepuk dada tanya selera. Melakukan kejutan ini pada dasarnya ialah perbuatan membuktikan rasa cinta yang tidak dibuat-buat. Namun, kejutan pasti lebih bermakna buat pasangan yang sedang bercinta.”
-bharian
