Premis tiga dalam satu




Selain berfungsi sebagai restoran, New Generation turut menawarkan perkhidmatan mencuci kereta dan kelas mengaji al-Quran kepada mereka yang berminat.

ur 01.1 Premis tiga dalam satu


APABILA menyebut tentang restoran, apa yang terbayang di fikiran ialah lokasi untuk orang ramai menikmati aneka sajian yang enak.

Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai tempat melepak bersama rakan-rakan sambil bersembang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu.

Namun, demi menyuntik kelainan, dua sahabat baik berpadu tenaga untuk menguruskan New Generation, Car Wash & Cafe dengan konsep tersendiri.

Terletak di kawasan Jalan Gombak, Kuala Lumpur, New Generation merupakan sebuah restoran yang menawarkan khidmat mencuci kereta untuk pelanggan yang datang menjamu selera.

ur 01.2 Premis tiga dalam satu

SEMENTARA menjamu selera, orang ramai berpeluang menggunakan khidmat mencuci kereta di restoran New Generation.


Menurut pemiliknya, Ilanur Muhaini Mohd. Noor, 33, idea atau konsep perniagaan tersebut dikongsi bersama rakan baiknya, Richard Ng Cheong Leong yang mahu menampilkan kelainan dalam perniagaan yang baru mereka ceburi itu.

“Kami tahu persaingan dalam perniagaan berasaskan makanan amat sengit. Malah, kita sendiri boleh lihat kewujudan restoran pada hari ini boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Di mana-mana sahaja, terdapat banyak restoran baru dibuka yang menawarkan pelbagai keistimewaan untuk pengunjung. Selepas berbincang dalam segenap aspek, saya dan Richard akhirnya sepakat untuk membuka restoran dengan konsep sebegini.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima juga amat menggalakkan sekali gus menguatkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan,” kata Ilanur Muhaini ketika ditemui Kosmo! di Gombak.

ur 01.3 Premis tiga dalam satu

HARGA mencuci kereta yang ditawarkan di New Generation berpatutan.


Memulakan operasi pada Jun tahun lalu, New Generation, Car Wash & Cafe sudah pun mencecah usia sembilan bulan.

Ibarat seperti seorang bayi yang baru dilahirkan, Muhaini memberitahu masih banyak perkara baru yang perlu dipelajari untuk menjadikan perniagaan mereka maju dalam tempoh jangka panjang.

Konsep kopitiam

Perkara itu diakui oleh Richard yang menganggap ia sebagai langkah awal untuk mereka lebih berjaya pada masa akan datang.

ur 01.4 Premis tiga dalam satu

KELAS bimbingan membaca al-Quran untuk kanak-kanak juga disediakan di New Generation.


“Buat permulaan ini, kami rasa gembira kerana hasil usaha yang dicurahkan tidak sia-sia. Pelanggan yang datang silih berganti membuktikan perniagaan kami mempunyai tarikan tersendiri.

“Contohnya, walaupun pada mulanya pelanggan itu hanya datang untuk makan tetapi apabila mengetahui ada perkhidmatan mencuci kereta, mereka akan menggunakan kesempatan tersebut.

“Sesudah sahaja mereka makan, hati pasti senang apabila melihat kereta bersih dan berkilat,” ujar Richard.

ur 01.5 Premis tiga dalam satu


Tambahan pula, bayaran mencuci kereta yang ditetapkan agak berbaloi berbanding di tempat lain iaitu sekitar RM7 dan RM8. Setiap malam, dianggarkan hampir 30 buah kereta dicuci.

“Malah, kami turut menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus bagi pelanggan yang menggunakan khidmat polish & wax yang disediakan,” katanya.

Dalam aspek lokasi gastronomi, restoran itu mengkhusus pada sajian ala Thai dan selera Barat. Antara menu yang popular termasuklah sup ekor, tom yam udang galah, chicken chop, roti bakar dan sebagainya.

ur 01.6 Premis tiga dalam satu

RESTORAN New Generation turut menyediakan kerusi urut untuk kegunaan pelanggan.


Suasana dalam restoran pula lebih berkonsepkan kopitiam dengan penggunaan meja dan kerusi kayu lama. Paling istimewa terdapat sebuah kerusi urut elektrik untuk pelanggan yang mahu merehatkan badan pada bayaran RM5 selama 15 minit.

Selain berfungsi sebagai restoran dan pusat cuci kereta, New Generation juga menyediakan kelas bimbingan fardu ain dan membaca al-Quran untuk kanak-kanak yang berusia enam tahun ke atas di bawah satu bumbung.

Dikenali sebagai Pusat Bimbingan Itqan & Le Monarz Islamic Centre, hingga kini terdapat lebih 30 pelajar yang dihantar oleh ibu bapa masing-masing untuk mendalami ilmu-ilmu asas agama Islam.

ur 01.7 Premis tiga dalam satu

PEMILIK bersama, Richard Ng dan Ilanur Muhaini.



“Kami juga ada membuka kelas tuisyen bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik untuk pelajar sekolah rendah serta kelas intensif Bahasa Arab untuk mereka yang berminat.

Salah seorang pelajar, Lisa Dayana Ramli berkata, sudah hampir dua tahun dia mengikuti kelas yang dianjurkan di New Generation dan mengakui seronok dapat belajar bersama rakan-rakan seusia.

“Saya mula belajar mengaji di New Generation pada usia enam tahun. Ustazah yang mengajar sangat baik dan saya gembira dapat mengenali ramai rakan baru,” kata pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Sungai Cincin, Gombak itu.

-kosmo

121 total views, no views today