Semua iPad habis dijual




du 02.1 Semua iPad habis dijual

SEBUAH iPad 2 dipamerkan di Pusat Yerba Buena di San Francisco pada 11 Mac lalu.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) – Syarikat Apple Inc. mengumumkan semua komputer tablet iPad keluarannya telah habis dijual dan ia kini sukar memenuhi permintaan pengguna untuk gajet popular itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs menyatakan bahawa syarikat berkenaan, yang beribu pejabat di negeri California, telah menjual sebanyak 19.5 juta komputer iPad generasi pertama dan kedua pada tahun lalu dengan 4.7 juta lagi dijual sepanjang suku pertama tahun ini.

“Kami menjual setiap iPad 2 yang kami keluarkan,” kata Ketua Pegawai Kewangan Apple, Peter Oppenheimer.

Menurutnya, pendapatan syarikat tersebut untuk tahun lalu adalah berjumlah AS$24.7 bilion (RM74.3 bilion) manakala AS$5.99 bilion (RM18.02 bilion) lagi diperoleh menerusi jualan pada suku pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Apple, Tim Cook berkata, syarikat itu sedang meningkatkan pengeluaran iPad bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna dan akan memasarkan komputer tersebut ke 13 lagi negara dengan jumlah keseluruhan negara pasaran Ipad meningkat kepada 39 buah negara.

Apple melancarkan iPad pada penghujung April tahun lalu yang kemudian menjadi komputer tablet paling laris dan sukar ditandingi oleh jenama lain. – Agensi

114 total views, no views today

Google lancar Honeycomb




lu 08.1 Google lancar Honeycomb

Komputer tablet terbaru Motorola dikendalikan oleh Android 3.0 Honeycomb dipamerkan di kampus utama Google di California, kelmarin. – AFP


MOUNTAIN VIEW, California 3 Feb. – Google semalam menjelaskan mengenai program perisian komputer tablet baru, yang direka untuk menyaingi iPad dan menarik perhatian pembangun-pembangun aplikasi yang akan menjadi kunci menentukan populariti gajet berkenaan.

Google memperkenalkan sistem operasi Android versi Honeycomb itu, yang digunakan dalam komputer tablet terbaru Motorola Xoom yang menerima pujian di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas pada bulan lepas.

Honeycomb, sistem operasi sumber terbuka dan percuma itu dijangka digunakan dalam pelbagai komputer tablet dengan skrin sentuh di pasaran yang kini didominasi oleh iPad, sejak dilancarkan oleh Apple pada tahun lepas.

Google yang berhasrat menarik perhatian pembangun aplikasi yang menjadi punca kepada populariti sesuatu telefon pintar dan komputer tablet, menekankan bahawa Honeycomb dibina sebagai platform untuk inovasi program perisian.

Google berhasrat menangani aduan yang diterima sejak sekian lama dengan membenarkan pembangun aplikasi membuat keuntungan daripada traksaksi permohonan seperti pembelian maya barangan, muzik atau tawaran digital lain.

”Kami menerima sejumlah maklum balas daripada pembangun aplikasi bahawa mereka mahu pelbagai cara untuk mendapat keuntungan daripada aplikasi mereka.

”Hari ini, kami mengeluarkan kod untuk aplikasi kewangan bagi keseluruhan komuniti pembangun aplikasi Android,” kata Pengarah Kejuruteraan Android, Chris Yerga.

Jumlah aplikasi yang banyak untuk Honeycomb yang dipamerkan selepas pelancaran itu termasuklah perisian interaktif yang menyambungkan pengguna komputer tablet dengan berita-berita, imej dan video CNN,

Salah satu daripada tiga permainan video di telefon bimbit Disney untuk Android, Tap Tap Revenge turut diumumkan pada majlis itu.

Tap Tap Revenge merupakan permainan paling berjaya dengan lebih 50 juta kali dimuat turun. – AFP

/// utusanmalaysia///

Video mengenai Honeycomb GOOGLE

115 total views, no views today

BlackPad lawan iPad




me 01.1 BlackPad lawan iPad

Ketua pegawai eksekutif RIM, Jim Balsillie bersama dengan replika BlackBerry Bold ketika pelancarannya, dua tahun lepas dan kini syarikat itu ingin memasuki pasaran komputer tablet seperti Apple.

POPULARITI iPad sebagai komputer tablet atau komputer sesentuh sememangnya tidak dapat dinafikan, terutama di kalangan penggila barangan keluaran Apple.

Sebagai contoh, walaupun produk itu belum dipasarkan secara rasmi di negara ini tetapi telah ramai yang memilikinya dengan membeli di negara luar.

Sememangnya jika ditanya apakah kegunaan penting iPad, mungkin ramai yang akan tersenyum sambil menyatakan ‘ia sekadar trend.’

Komputer boleh sentuh ini walaupun mencerminkan gaya masa depan tetapi ia kurang popular kerana tidak praktikal, sangat sensitif dan tidak sesuai untuk aplikasi pejabat.

Tidak ramai daripada kita yang selesa untuk menulis menggunakan pen stylus di skrin berbanding menaip di papan kekunci apabila melakukan kerja-kerja pejabat.

Bagaimanapun, populariti iPad perlu juga disaingi dan pengeluar telefon pintar BlackBerry, Research in Motion (RIM) yang kini dalam perancangan untuk memperkenalkan komputer tabletnya sendiri menjelang akhir tahun ini.

Alat itu dijangka mempunyai saiz yang hampir sama dengan iPad, iaitu skrin diagonal 9.7 inci dan dilengkapi dengan teknologi Wi-Fi dan Bluetooth untuk membolehkan pengguna mengakses Internet menggunakan telefon BlackBerry.

Produk yang dijangka dipasarkan menjelang sambutan Krismas ini bertujuan memberi pilihan kepada pengguna untuk memiliki peranti di antara telefon bimbit dan komputer notebook yang kini dikuasai iPad.

Apple menyatakan sehingga bulan lepas, syarikatnya telah menjual 3 juta komputer tablet iPad dalam masa 80 hari selepas diperkenalkan di Amerika Syarikat.

BlackPad

Menurut salah seorang yang dikatakan mempunyai kaitan dengan perancangan syarikat itu, RIM merancang untuk menamakan alat yang bakal diperkenalkan mereka sebagai BlackPad.

Untuk memperkuatkan lagi spekulasi itu, RIM yang berpangkalan di Waterloo, Ontario merupakan syarikat yang membeli hak Internet untuk domain www.blackpad.com bulan lepas.

Harga untuk peranti itu dijangka berada sekitar harga iPad iaitu bermula daripada AS$499 (RM1,596) kerana syarikat itu tidak mahu melancarkan perang harga dengan Apple.

Bagaimanapun, RIM akan meningkatkan persaingannya dengan memperkenalkan telefon lungsur terbarunya BlackBerry 9800.

Telefon ini akan menggunakan skrin sesentuh sepenuhnya seperti iPhone dan boleh dilungsur keluar papan kekunci Qwerty untuk memudahkan pengguna menaip e-mel.

Kembali kepada pasaran komputer tablet, RIM terpaksa membuktikan kepada pengguna bagaimana produknya mampu mengatasi komputer-komputer tablet lain termasuk iPad yang popular sebab ia mempunyai banyak aplikasi.

Bagi William Power, penganalisis dari Robert W. Baird & Co., RIM harus membuktikan kematangan teknologi skrin sesentuhnya untuk mencabar pendahulu pasaran seperti Apple.

Sudah tentu, kelebihan RIM adalah kemampuan e-mel dan populariti telefonnya di kalangan pelanggan korporat.

Komputer tablet itu juga akan bersepadu dengan sistem e-mel telefon pintar dan juga mempunyai ciri-ciri keselamatan dalam sistem pesanan segera.

Selain RIM, syarikat komputer Hewlett-Packard juga bulan ini telah membeli syarikat pengeluar telefon pintar Palm bagi membolehkannya memperkenalkan peranti tablet yang menggunakan sistem operasi Windows dari Microsoft.

Sementara LG Electronic dari Korea Selatan pula dikatakan merancang untuk memperkenalkan komputer tabletnya yang menggunakan perisian Android dari Google.

Kesimpulannya, persaingan untuk memenangi pasaran komputer tablet semakin menarik selepas Apple dan RIM mula melancarkan ‘perang’ ke atas produk masing-masing.

//utusanmalaysia//

119 total views, 1 views today