Amazon perkenal tablet terbaharu Kindle Fire

du 05.1 Amazon perkenal tablet terbaharu Kindle Fire

PENGANALISIS melihat kemunculan Kindle Fire boleh membuatkan pengeluar komputer tablet yang lain seperti Apple dan Samsung menurunkan harga produk mereka.

 

NEW YORK – Amazon kelmarin memperkenalkan komputer tablet sesentuh keluarannya yang akan dijual di Amerika Syarikat (AS).

Kindle Fire yang mempunyai fungsi seumpama iPad keluaran Apple itu dijual pada harga $199 (RM635), separuh harga lebih murah berbanding iPad yang ada di pasaran sekarang.

Model asas Kindle sebelum ini digunakan untuk membaca eBooks. Namun, gajet terbaharu itu akan menggabungkan ciri tersebut dengan kemampuan untuk memainkan muzik, filem dan melayari Internet.

Pengguna juga boleh mengakses lebih 18 juta filem, program televisyen, lagu, aplikasi, permainan video, buku dan majalah menerusi laman web Amazon.

Gajet tersebut mempunyai skrin bersaiz tujuh inci, berbanding iPad 2 iaitu 9.2 inci. Tidak seperti iPad, Kindle Fire tidak mempunyai kamera atau aplikasi untuk membuat panggilan video.

“Kindle Fire akan membawa semua hasil kerja yang diusahakan di Amazon selama 15 tahun ke dalam satu perkhidmatan bersepadu untuk pengguna.

“Ia menawarkan permainan, muzik, carian laman web dan buku pada harga hanya $199 (RM635). Ini merupakan produk premium yang ditawarkan pada harga bukan premium. Kami akan menjual jutaan unit Kindle Fire,” kata Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos. – Agensi

122 total views, 1 views today