53 sebab Malaysia istimewa




ho 01.1 53 sebab Malaysia istimewa


Setiap satunya bukan sahaja telah melonjakkan nama Malaysia di peta pelancongan dunia, malah ia menjadi permata yang dekat dengan hati, lalu menjadikan kita semua rakyat Malaysia!

1. Teh tarik – Apabila larutan teh bersama susu krim manis dan dicurah menggunakan kole pada kedudukan tinggi, maka terciptalah minuman rutin warga Malaysia yang dinikmati tidak kira waktu.

2. Songket – Fabrik tenunan tangan yang diserikan motif berbenang perak atau emas. Kekuatan nilai estetika dan identiti bangsa menjadikannya antara tekstil warisan yang elegan.

3. Taman Negara – Kekayaan khazanah alam dilindungi di banyak kawasan yang diwartakan sebagai taman negara. Masing-masing menyimpan tarikan ekosistem yang bernilai tambah.

4. Malaysia Airlines (MAS) – Syarikat penerbangan nasional utama dan banyak memenangi pengiktirafan dan anugerah antarabangsa.

5. Hari Raya Aidilfitri – Sambutan penting selepas sebulan umat Islam berpuasa, selain Hari Raya Aidiladha. Keraian ini merapatkan hubungan ahli keluarga dalam semangat ‘balik kampung’.

6. Menara Berkembar Petronas – Hingga kini, statusnya kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia dengan ketinggian 452 meter. Bangunan ikonik ini umpama salam pengenalan Malaysia kepada dunia.

7. Nasi lemak – Hidangan warisan ini memerlukan beras ditanak dengan santan kelapa dan dihidangkan bersama sambal, bilis goreng dan telur.

8. Wau bulan – Permainan tradisional persis layang-layang yang terkenal di negeri Kelantan.

9. Genting Highlands – Resort pelancongan tertinggi di Malaysia iaitu pada aras 2,000 meter dari aras laut ini menawarkan penginapan, taman tema dan tema percutian kelas satu.

10. Rangkaian lebuh raya – Jaringan lebuh raya utama negara melancarkan perhubungan darat di Semenanjung Malaysia.

11. Tahun Baru Cina – Perayaan besar bagi kaum Tionghua yang bercerita tentang kedatangan tahun baru. Sambutannya dimeriahkan dengan limau mandarin, pemberian ang pau, tarian singa dan bingit mercun.

12. Menara Kuala Lumpur – Menara telekomunikasi tertinggi yang terletak di Bukit Nenas di tengah-tengah ibu negara. Lokasi ini menyediakan pusat rekreasi, restoran berputar dan dek peninjau.

13. Pulau Langkawi – Pulau bebas cukai yang terletak di negeri Kedah ini terkenal dengan kisah Mahsuri dan pelbagai lagi tarikan buatan selain taman geologi berusia jutaan tahun.

14. Roti canai – Hidangan sarapan popular yang dimakan bersama kuah dal dan teh tarik.

15. Batik lukis – Seni tekstil indah hasil daripada teknik melukis, mencanting dan mewarna. Penggunaannya juga telah dipelbagaikan.

16. Proton – Pengeluar kereta nasional pertama ini telah dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelbagai model berprestij telah menambat hati pemandu tempatan dan juga luar negara.

17. Pulau Tioman – Pernah tersenarai sebagai 10 pulau tercantik dunia dan kewujudannya kini sedang dipertahankan sebagai antara syurga aktiviti selaman skuba dan gaya hidup pulau yang menyeronokkan.

18. Masjid Negara – Menjadi lambang kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Siap dibina pada 27 Ogos 1965 dan mampu menampung seramai 15,000 jemaah.

19. Litar Antarabangsa Sepang – Prasarana kelas dunia untuk perlumbaan Grand Prix A1, Grand Prix Motosikal dan Formula Satu.

ho 01.2 53 sebab Malaysia istimewa

TASIK Kenyir yang mendamaikan.

20. Deepavali – Festival cahaya yang disambut penuh adat oleh penganut Hindu. Ia jatuh pada hari ke-14 bulan Aipasi, kalendar Tamil.

21. Perak Man – Rangka tulang berusia 10,000-11,000 tahun di Gua Gunung Runtuh, Hulu Perak. Penemuan fosil manusia era Paleolitik paling sempurna di Asia Tenggara itu melakar sejarah tersendiri.

22. Bandar Raya Melaka – Kota warisan sejarah yang sarat nilai pertembungan budaya Melayu, Cina, India, Portugis serta Baba dan Nyonya.

23. Perodua – Syarikat pengeluar kereta nasional kedua dan ditubuhkan pada 1993.

24. Tasik Kenyir – Merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dan terletak di Hulu Terengganu.

25. Orang Utan – Haiwan primat yang menjadi maskot negara ketika Sukan Komanwel 1998. Sebuah pusat pemeliharaan orang utan sering dikunjungi di Sepilok, Sabah.

26. Krismas – Keraian 25 Disember yang disambut secara berbeza oleh kaum Cina, India serta bumiputera Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian.

27. Pulau Pinang – Selain Melaka, negeri ini turut melestari pelbagai nilai sejarah hebat Negeri Selat.

28. Vaisakhi – Diraikan penganut agama Sikh pada tarikh 14 April.

29. Muzium Negara – Ia dirasmikan pada 31 Ogos 1963, berlokasi di Kuala Lumpur dan merupakan lokasi wajib bagi anak Malaysia untuk mengenali sejarah.

30. LIMA – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi dijayakan secara dwitahunan. Pameran berprestij itu mengumpulkan jentera udara dan maritim yang berkaitan komersial dan pertahanan.

31. Pulau Sipadan – Terletak berhampiran bandar Sampoerna, Sabah, ia adalah antara pulau terindah di dunia dan ibarat syurga buat komuniti penyelam skuba.

32. Homestay – Konsep inap desa yang berjaya melonjakkan industri pelancongan domestik. Masyarakat kampung didekati melalui acara seni, masakan dan gaya hidup.

33. Kereta Api Tanah Melayu – Nostalgia pengangkutan bijih timah kini menghubungkan penduduk di sepanjang laluan landasan 1,699km di seluruh negara.

34. Batu Caves – Formasi gua batu kapur semula jadi yang menjadi meriah terutamanya ketika penganut Hindu menyambut Thaipusam.

35. Gua Niah – Gua batu kapur terbesar di dunia iaitu seluas 12 hektar di Miri, Sarawak. Fosil manusia berusia 40,000 tahun pernah ditemui di situ.

36. Citrawarna 1M alaysia – Ibu negara disimbahi warna kebudayaan dari 14 buah negeri di seluruh negara pada setiap penghujung Mei.

37. Cendol – Hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada tepung beras dan dihidang bersama ais parut, santan dan gula melaka.

38. Putrajaya – Pada tahun 1999, Putrajaya telah menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dengan ciri-ciri bandar raya pintar.

39. Rumah panjang – Rumah tradisional masyarakat Iban di Sarawak. Setiap rumah mengandungi sehingga 20 bilik dan diketuai oleh tuai rumah.

40. Gunung Kinabalu – Berketinggian 4,095 meter, ia adalah gunung tertinggi di Malaysia dan terletak di Kota Kinabalu, Sabah.

ho 01.3 53 sebab Malaysia istimewa

KEUNIKAN kain songket.

41. Piala Monsoon – Kejohanan kapal layar antarabangsa mengumpulkan jaguh-jaguh dunia di Pulau Duyung, Terengganu setiap musim tengkujuh.

42. Petaling Street – Bekas penempatan kaum Cina yang kini menjadi lokasi niaga gerai paling terkenal di tengah-tengah Kuala Lumpur.

43. Istana Negara – Tempat bersemayamnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang turut menjadi lokasi istiadat pertabalan dan upacara rasmi.

44. KLIA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor menjadi pintu masuk udara utama dengan akses jaringan kereta api elektrik dan lebuh raya canggih.

45. Pasar Seni – Turut dikenali sebagai Central Market, ia menjadi pusat yang mengumpulkan barangan seni, kraf dan cenderamata tempatan.

46. Le Tour de Langkawi – Kejohanan lumba basikal terbesar yang mengumpulkan para peserta dari seluruh dunia.

47. Raflesia – Selain bunga raya sebagai bunga kebangsaan, bunga eksotik terbesar di dunia ini sinonim dengan diversiti belantara Malaysia khususnya di Malaysia Timur.

48. Lemang – Diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasak di dalam buluh. Makanan ini popular dimakan bersama rendang.

49. AirAsia – Syarikat penerbangan nasional kedua dan syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia.

50. Hari Gawai – Diraikan oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak sebagai meraikan musim menuai padi.

51. Wat Phothivihan – Patung Buddha tidur yang kedua terbesar di dunia terletak di Tumpat, Kelantan.

52. Bangunan Sultan Abdul Samad – Sebuah bangunan warisan kebangsaan yang menjadi saksi kepada penurunan bendera Union Jack dan digantikan dengan Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1957.

53. Hari Kebangsaan – Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang wajib dihayati demi menyuntik semangat patriotisme dan kesetiaan pada negara.

133 total views, no views today

Set menu sambal Portugis




va 01.1 Set menu sambal Portugis

AYAM lada hitam antara pilihan yang terdapat di Portuguese Grill, Medan Selera AEON Jusco Bandar raya Melaka.


AROMA belacan dan udang kering yang bersatu dalam sambal Portugis menerjah keluar dari aluminium nipis sebaik dipotong selepas dibakar benar-benar membuatkan selera sesiapa sahaja teruja.

Biarpun ia agak baru bagi sesetengah masyarakat Melayu tetapi sajian itu dikatakan cukup popular dalam kalangan masyarakat Portugis Melaka.

Apatah lagi kepada yang pernah menikmati hidangan itu, pasti akan bercakap tentang kepedasan sambalnya.

“Kalau anda suka sesuatu yang pedas, mungkin kepedasan sambal menu Portuguese Grill akan menentukan tahap ketahanan anda terhadap pedas. Makanan Portuguese Grill benar-benar menguji sama ada anda seorang yang tahan pedas atau sebaliknya,” kata seorang pelanggan.

Portuguese Grill merupakan sejenis sajian yang dibakar. Sajian tersebut digandingkan dengan sambal yang dicampurkan bersama makanan laut seperti ikan, udang, lala dan sayuran segar seperti bendi, kangkung atau petai.

“Kebanyakan sajian Melaka memang pedas namun apa yang menjadikan sajian Portuegese Grill lebih istimewa ialah cara ia dibungkus dalam kepingan aluminium nipis yang dilapik daun pisang dan dibakar di atas dapur.

“Sajian ini akan diperap dan dibakar bersama menu pilihan pelanggan seperti ikan atau makanan laut dan sayur selama beberapa minit,” kata pemilik oulet Portuguese Grill, medan selera pusat beli-belah AEON Jusco Melaka, Fakir Mohamad, 26.

Jelas anak jati Melaka itu, sebaik bungkusan aluminium tadi dipotong, aroma belacan yang menjadi ramuan penting dalam sambal tersebut akan ‘menerjah keluar’ dan mampu mengecurkan selera sesiapa sahaja yang gemarkan sajian pedas.

Fakir yang lebih mesra dengan panggilan Bujang berkata, keistimewaan sajian Portuguese Grill terletak pada sambalnya. Apakah rahsianya? Pemilik Arca Tanur Venture itu berkata, sambal tersebut dimasak lebih lima jam dengan api yang perlahan.

Pes sambal

Cara tersebut katanya, menjadikan cili kisar yang disatukan dengan ramuan lain akan benar-benar masak seterusnya menghasilkan pes sambal yang enak dan mampu menerbitkan aroma yang memukau.

“Bagi set sajian ini iaitu yang dilengkapi sambal istimewa, pelanggan akan menerima sepinggan nasi putih percuma di samping sajian yang dipilih sama ada ikan seperti ikan pari, kembung, cencaru, tilapia, bawal dan makanan laut yang dibakar bersama sayuran,” jelas Fakir.

va 01.2 Set menu sambal Portugis

FAKIR (duduk) bersama kakitangannya yang menjalankan bisnes makanan selera Portugis.



Dijual pada harga yang berpatutan, set tersebut ditawarkan pada harga RM4.90 ke atas dan pelanggan boleh memilih untuk menikmati hidangan sayur bersama sambal khas, ikan yang dibakar bersama kuah asam, tilapia bersama sos tanur istimewa, daging atau ayam lada hitam.

“Dari segi harga, memang kami menjanjikan harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan harga sajian bakar yang terdapat di luar. Dari segi permintaan, kami mendapati ikan pari sering menjadi pilihan ramai mungkin disebabkan isinya yang lembut dan enak,” kata Fakir yang mempunyai ramai pelanggan yang terdiri daripada kaum Cina.

Jelas Fakir, setiap set hidangan yang ditawarkan mempunyai para penggemarnya tersendiri jadi beliau menawarkan menu yang bersesuaian dengan selera masyarakat setempat.

“Umpamanya kuah asam kami tawarkan untuk pelanggan yang tidak boleh makan pedas, sos tanur pula untuk pelanggan yang gemarkan rasa pedas manis manakala ayam lada hitam dikhaskan untuk penggemar rasa lada hitam. Pendek kata, menu yang ada mewakili selera 1Malaysia dan tidak tertumpu kepada sajian Portugis sahaja,” tambah Fakir.

“Cuma setakat ini pelanggan lebih menyukai set sambal Portugis yang terkenal dengan kepedasannya di samping kuah asam dan lada hitam. Malah terdapat juga sesetengah pelanggan yang menikmati satu set hidangan secara berdua dan hanya perlu membayar harga nasi tambah sahaja kerana hidangan ini boleh dikatakan agak berbaloi-baloi terutama buat pasangan bercinta yang sedang berjimat cermat,” katanya.

-kosmo

74 total views, no views today