Terlebih tidur hadapi kardiovaskular




WASHINGTON 1 Ogos – Individu yang terlebih tidur atau tidur kurang tujuh jam sehari berisiko dijangkiti penyakit kardiovaskular, penyakit utama yang menyebabkan angka kematian tertinggi di Amerika.

Fakulti perubatan Universiti West Virginia dalam jurnal berjudul Sleep berkata, tidur kurang dari lima jam sehari termasuk tidur sekejap pada waktu siang akan menghadapi risiko lebih dua kali ganda mengalami penderitaan didiagnosa angina, penyakit jantung koronari, serangan jantung dan juga strok.

Manakala tidur melebihi tujuh jam sehari pula boleh menghadapi risiko menghidap penyakit kardiovaskular.

sleep Terlebih tidur hadapi kardiovaskular

Kumpulan paling berisiko adalah mereka yang berumur di bawah 60 tahun yang tidur lima jam sehari atau kurang. Mereka merupakan golongan utama berisiko diserang penyakit kardiovaskular lebih tiga kali ganda berbanding orang yang tidur tujuh jam sehari.

cardio Terlebih tidur hadapi kardiovaskular

Kajian menunjukkan, jangka masa tidur yang singkat boleh dikaitkan dengan serangan angina (sakit dada), manakala tidur terlalu sedikit dan terlebih tidur akan menyebabkan serangan jantung dan strok.

Dalam satu kajian yang berasingan yang juga terkandung dalam jurnal Sleep menunjukkan tempoh berbaring yang lama adalah satu kebaikan kepada individu yang kurang tidur.

Ketua pengkaji daripada unit tidur dan kronobiologi Universiti Perubatan Pennsylvania, David Dinges berkata, terdapat 142 orang dewasa yang tidak cukup tidur dan terlebih tidur dalam tempoh lima hari dalam tempoh hari bekerja akan menghadapi tindak balas yang perlahan dan juga mempunyai masalah tumpuan.

“Penambahan satu atau dua jam masa tidur di waktu pagi adalah manfaat sebenar untuk pemulihan lanjutan terhadap perilaku seseorang,” kata Dinges.

Para pengkaji dari WVU menunjukkan tempoh tidur yang lama boleh mempengaruhi fungsi endokrin dan metabolisme, dan kurang tidur boleh menyebabkan gangguan toleransi glukosa, mengurangkan sensitiviti insulin dan tekanan darah tinggi.

Amerika Academy of Sleep Medicine pula mengesyorkan setiap orang dewasa perlu tidur yang cukup iaitu tujuh atau lapan jam sehari. – AFP

/// utusanmalaysia ///

129 total views, 1 views today

Tidur 20 jam sehari




Seorang remaja perempuan di Britain, Louisa, telah mencatat rekod tidur paling lama iaitu selama 13 hari. Dia menghidap penyakit Sleeping Beauty.

ru 03.1 Tidur 20 jam sehari

FUNGSI utama tidur akan terjejas jika terlebih tidur.


ADA sesuatu yang amat luar biasa mengenai Louisa Ball setiap kali dia tidur. Apabila melelapkan mata, dia mampu tidur sepanjang hari dan jika itu berlaku, tiada sesiapa atau apa yang dapat mengejutkan gadis berusia 15 tahun itu.

Louisa, yang tinggal di Worthing, tenggara England, telah didiagnosis menghidap Sindrom Kleine-Levin, juga dikenali sebagai penyakit Sleeping Beauty, yang menyebabkan pesakit boleh tidur lena selama berminggu-minggu.

Menurut ibunya, Lootie, keadaan anak gadisnya itu bermula setahun yang lalu akibat selesema dan perlahan-lahan, episod tidur Louisa bermula.

Bukan sahaja dia gagal menyiapkan kerja sekolah dan menduduki peperiksaan, Louisa turut terlepas menghadiri majlis tari-menari, Halloween serta kehidupan normal gadis yang sama usia dengannya.

Rekod tidur paling lama Louisa ialah selama 13 hari.

Keluarganya tidak dapat berbuat apa-apa. Namun apabila Louisa mula menjadi cepat marah dan kurang bercakap, itu bermakna mereka perlu bersedia menghadapi waktu tidur Louisa yang panjang.

Jarang berlaku

Menurut Pakar Psikiatri di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Syed Hassan Ahmad, penyakit Sleeping Beauty amat jarang berlaku.

“Berdasarkan kes yang pernah direkodkan di seluruh dunia, bilangannya tidak sampai 1,000 orang dalam tempoh beberapa tahun.

“Ini kerana mereka yang didiagnosis dengan penyakit ini mempunyai kitaran tidur yang normal sehinggalah ia menyerang,” ujar Syed Hassan.

Statistik oleh Pusat untuk Narkolepsi di Universiti Standford, mendedahkan hanya 108 kes dilaporkan pada tahun 2008.

Jelas Syed Hassan, tiada faktor tunggal yang boleh dikaitkan dengan penyakit ini kecuali tingkah laku pesakit yang mengalami perubahan.

Tidak menolak genetik menjadi sebahagian faktor, Syed Hassan menjelaskan sehingga kini, saintis belum dapat mengenal pasti gen yang terlibat dalam penyakit gangguan tidur ini.

Membuatkan ia lebih unik, penyakit ini berselindung di sebalik perubahan tingkah laku walhal ia melibatkan faktor neurologi iaitu kelenjar hipotalamus.

Justeru, pesakit sering dirujuk kepada pakar psikiatri berbanding pakar neurologi.

“Kelenjar ini terletak di bawah talamus, betul-betul di bawah pangkal otak dan ia hanya sebesar biji badam.

“Antara fungsi utama kelenjar ini ialah mengawal kitaran tidur dan nafsu makan,” katanya.

Apabila berlaku gangguan di bahagian kelenjar ini, terdapat kebarangkalian penyakit Sleeping Beauty tercetus dan menyebabkan seseorang itu mampu tidur selama hampir 20 jam sehari.

Berbanding dengan individu biasa, kitaran normal waktu tidur bagi seseorang yang berumur 20-an adalah tujuh jam sehari.

“Waktu terjaga pesakit yang tidak sampai empat jam itu akan diisi dengan aktiviti makan dalam kuantiti yang banyak.

“Bukan saja nafsu makan akan berlipat ganda, pesakit juga mengalami perubahan emosi yang amat ketara,” ungkap Syed Hassan yang turut menyatakan bahawa Sleeping Beauty sering dialami oleh lelaki berbanding perempuan dalam nisbah 3:1.

Emosi

Antara perubahan emosi yang sering dihadapi pesakit ialah halusinasi, mudah marah, agresif dan delusi. Ini semua akan membawa kepada potensi untuk mencederakan diri sendiri.

“Pesakit tidak tidur sepanjang masa. Seringkali ia berlaku dalam tempoh tertentu.

“Sebagai contoh, seseorang itu akan mengalami sindrom ini selama tiga hingga empat bulan dalam setahun. Selebihnya, pesakit adalah normal,” katanya.

Selain itu, pola tidur pesakit Sleeping Beauty turut melalui empat tahap tidur biasa yang dialami oleh orang biasa iaitu tidur-tidur ayam hinggalah nyenyak.

Jelas Syed Hassan lagi, dalam sesetengah kes, akan berlaku perubahan dan gangguan dari aspek kognitif dan imunisasi akibat tidur terlalu lama.

Merujuk kepada pengalaman beliau yang hanya sekali berhadapan kes sebegini sekitar tahun 1980-an dahulu di London, walaupun ia hanya menyerang pesakit dalam tempoh yang singkat, kesannya cukup dalam.

Seringkali ia menyerang pada awal remaja dan beransur-ansur hilang apabila menjengah usia dewasa.

Lebih unik, ketika mengalami gangguan Sleeping Beauty, pesakit turut mengalami amnesia

-kosmo

68 total views, no views today

Cerita KESIHATAN




Barah angkara kurang tidur

ANDA mungkin seorang yang sibuk dan aktif menjalankan aktiviti fizikal. Ia bagus kerana kegiatan berpeluh itu mampu mengurangkan risiko kanser khususnya di kalangan wanita.

Namun, jika anda cuma boleh tidur kurang daripada tujuh jam, anda akan berdepan dengan risiko barah yang lebih tinggi.

Menurut Felo Pencegahan Kanser di Institut Barah Kebangsaan Amerika Syarikat, Prof. James McClain, mereka yang sangat aktif menunjukkan pengurangan risiko barah sehingga 25 peratus berbanding yang tidak aktif.

ke 02.1 Cerita KESIHATAN


Bagaimanapun, apabila kajian terhadap paten tidur golongan aktif dilakukan, didapati mereka yang tidur kurang daripada tujuh jam semalaman berdepan dengan risiko barah hampir dua kali ganda berbanding dengan mereka yang tidur lebih tujuh jam.

Kajian selama 10 tahun itu melibatkan 5,968 wanita di Maryland berumur 18 tahun ke atas.

EKSTRA: Imbasan menggunakan mesin MRI menunjukkan aktiviti otak di bahagian yang berfungsi merasakan sakit meningkat semasa kita melihat orang sakit. Kemampuan itu disebut sebagai kesakitan fungsi. “Orang yang mengalami kesakitan fungsi akan berasa sakit meskipun dia tidak cedera secara fizikal,” kata penyelidik di Universiti Birmingham, Dr. Stuart Derbyshire.

Kanak-kanak gemuk lebih awal baligh

KANAK-KANAK perempuan yang berlebihan berat badan di Amerika Syarikat sudah mula membentuk payu dara yang merupakan tanda awal baligh pada umur sembilan tahun, kata pakar penyelidik di Hospital Universiti Kanak-Kanak Michigan’s Mott.

Menurut Dr. Joyce Lee, Pakar Pediatrik Endrokrinologis, kaitan berat badan berlebihan dengan baligh sangat rapat.

Di kalangan peserta kajiannya seramai 354,168 orang didapati telah mencapai akil baligh pada usia sembilan tahun.

Kanak-kanak perempuan yang mempunyai berat badan berlebihan dengan indeks tubuh (BMI) sebanyak 25-29.9 dikelaskan sebagai berlebihan berat badan manakala 30 ke atas dianggap obesiti.

ke 02.2 Cerita KESIHATAN

Penemuan ‘matang awal’ ini penting untuk dikenal pasti kerana ia berkait rapat dengan masalah psikologi, pelakuan sosial, pengambilan awal alkohol, kegiatan awal seks, kehamilan remaja, barah pangkal rahim dan obesiti ketika dewasa.

EKSTRA: Penyelidik dari Universiti Manchester, England dan Universiti Lubeck di Jerman berjaya mewujudkan semula warna rambut yang hilang akibat penyakit dan tekanan.

Sejenis molekul khas didapati mampu merangsang pigmen melamin pada rambut tersebut.

Kurang vitamin D punca serangan jantung

SATU kajian yang dijalankan di Barat mendapati lelaki yang kekurangan vitamin D bakal menderita serangan jantung.

Vitamin itu dihasilkan oleh tubuh apabila kulit terdedah kepada cahaya matahari.

Sebelum ini, kajian awal mendapati kekurangan vitamin D adalah faktor kepada barah usus, barah payu dara dan kencing manis.

ke 02.3 Cerita KESIHATAN

Selain itu, kekurangan itu turut mendorong penyakit darah tinggi, penyakit saraf, kemurungan, halusinasi dan beberapa lagi penyakit auto imunisasi.

Justeru, luangkan masa selama 20 minit sehari untuk berada di bawah matahari, seeloknya pada waktu pagi.

EKSTRA: Ujian mesin MRI amat efektif dalam mengesan sebarang komplikasi serius ketika hamil seperti uri tersangkut pada rahim, kata ketua penyelidik di Universiti California, Dr. Reena Malhotra.

Aroma buat kita rasa kenyang

SELERA setiap orang pasti akan tergoda apabila menghidu aroma makanan tertentu apatah lagi semasa perut lapar.

Tidak mustahil, anda akan terus mencapai makanan tersebut dan makan sehingga kenyang.

Bagaimanapun, perkara itu boleh dielak dengan mengatur fungsi otak untuk berperasaan kenyang.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Rianne Ruijschop di NIZO Food Research di Ede, Belanda, beliau menganjurkan pengambilan makanan berteknologi.

Ketika makanan dikunyah, aroma yang terdapat dalam makanan itu akan sampai ke bahagian belakang hidung dari dalam mulut.

ke 02.4 Cerita KESIHATAN

Urat-urat saraf yang terdapat di sekelilingnya mampu mengirimkan rasa tanda sudah kenyang sekali gus membuat orang berhenti mengunyah.

Hasil kajian yang tidak diduga ini turut mengetengahkan wujudnya beberapa aroma, rasa dan tekstur yang sangat berkesan dalam membuat orang berasa kenyang.

Antaranya, makanan pejal yang memerlukan kunyahan sebelum ditelan dapat membuat orang selalu berasa kenyang berbanding makanan cair.

Selain itu, tindakan menghidu aneka aroma makanan juga mampu melepaskan aroma sehingga orang berasa kenyang.

EKSTRA: Menurut data Yayasan Tidur Kebangsaan Amerika Syarikat, satu daripada 10 pasangan suami isteri mempunyai kebiasaan tidur di kamar yang terpisah daripada pasangannya.

-kosmo

85 total views, no views today