Motorola XT720 – Lebih nipis dan funky




in 04.1 Motorola XT720   Lebih nipis dan funky

TELEFON pintar ini menggunakan sistem operasi Android 2.1 dan sensorkamera ditingkatkan ke lapan megapiksel.


VERSI terkini Motorola Milestone iaitu XT720 mempunyai reka bentuk berbeza dengan model sebelumnya kerana menerapkan ciri skrin sentuh sepenuhnya. Sensor kamera juga ditingkatkan daripada lima kepada lapan megapiksel dengan tambahan pencahayaan Xenon.

Tanpa pad kekunci, ia tampil lebih nipis namun reka bentuk yang funky dikekalkan. Kehebatan telefon pintar ini terletak pada kehebatan sistem operasi Android 2.1 yang menyokong pelbagai akaun, Microsoft dan HTML serta mempunyai pemproses 550MHz.

XT720 turut dilengkapi upaya rakaman video 720p tetapi pengguna perlu membeli kad mikroSD yang mempunyai ruang memori sekurang-kurangnya 4 gigabit secara berasingan untuk merakam video yang panjang kerana ia tidak diletakkan di dalam satu pakej.

Bagaimanapun, rakaman video tidak sebagus rakaman gambar pegun kerana ia masih menangkap bunyi bising persekitaran. Kualiti rakaman objek bergerak juga pada kadar memuaskan.

Sungguhpun begitu, rakaman gambar pegun amat baik dan dapat menghasilkan gambar cantik di bawah pencahayaan yang bagus. Dalam keadaan pencahayaan kurang pula, fungsi lampu kamera mampu membantu menjelaskan rakaman objek dekat. Bagi menambah nilai, proses penyuntingan warna dapat dilakukan sebagai sokongan hasil akhir.

Dengan XT720, fungsi pelbagai tugas dapat dibuat dengan memuaskan. Walaupun banyak fail dibuka serentak, telefon pintar ini masih bekerja dengan pantas walaupun pemprosesannya ‘bekerja’ lebih kuat. Baterinya juga tahan sehingga dua hari dalam ujian penggunaan sederhana. Itu suatu ciri yang hebat untuk sebuah telefon Android.

Caj semula dapat dilakukan melalui slot mikro USB yang turut berfungsi menghantar data. Fon kepala 3.5 milimeternya juga merupakan ciri tambahan dengan kawalan volum terdapat pada sisi kanan telefon pintar ini.

Sekiranya pengguna tidak kisah mengeluarkan wang untuk membeli kad memori berasingan dan berpuas hati dengan reka bentuknya, XT720 merupakan Android yang disyorkan.

Video promo Motorola XT720

/// kosmo ///

79 total views, no views today