Semua iPad habis dijual




du 02.1 Semua iPad habis dijual

SEBUAH iPad 2 dipamerkan di Pusat Yerba Buena di San Francisco pada 11 Mac lalu.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) – Syarikat Apple Inc. mengumumkan semua komputer tablet iPad keluarannya telah habis dijual dan ia kini sukar memenuhi permintaan pengguna untuk gajet popular itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs menyatakan bahawa syarikat berkenaan, yang beribu pejabat di negeri California, telah menjual sebanyak 19.5 juta komputer iPad generasi pertama dan kedua pada tahun lalu dengan 4.7 juta lagi dijual sepanjang suku pertama tahun ini.

“Kami menjual setiap iPad 2 yang kami keluarkan,” kata Ketua Pegawai Kewangan Apple, Peter Oppenheimer.

Menurutnya, pendapatan syarikat tersebut untuk tahun lalu adalah berjumlah AS$24.7 bilion (RM74.3 bilion) manakala AS$5.99 bilion (RM18.02 bilion) lagi diperoleh menerusi jualan pada suku pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Apple, Tim Cook berkata, syarikat itu sedang meningkatkan pengeluaran iPad bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna dan akan memasarkan komputer tersebut ke 13 lagi negara dengan jumlah keseluruhan negara pasaran Ipad meningkat kepada 39 buah negara.

Apple melancarkan iPad pada penghujung April tahun lalu yang kemudian menjadi komputer tablet paling laris dan sukar ditandingi oleh jenama lain. – Agensi

61 total views, no views today