Belanja RM100 baru dapat beli gula




ne 01.1 Belanja RM100 baru dapat beli gula

ANGGOTA penguat kuasa PPDNKK Negeri Sembilan merampas lebih dua tan gula di sebuah gudang di Jalan Dato’ Siamang Gagap, Seremban semalam.


SEREMBAN – Sebuah syarikat pemborong dan peruncit yang didapati mengenakan syarat melampau dengan mewajibkan seseorang pelanggan perlu berbelanja sebanyak RM100 terlebih dahulu sebelum dibenarkan membeli lima kilogram gula akhirnya diserbu semalam.

Premis yang terletak di Jalan Dato’ Siamang Gagap di sini itu diserbu sekumpulan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan selepas menerima aduan ramai.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK, Mohd. Nor Musa berkata, serbuan pada pukul 11 pagi itu dilakukan selepas menerima aduan bahawa syarikat berkenaan hanya menjual gula kepada pelanggan yang membeli barangan melebihi RM100.

“Bertindak berdasarkan aduan tersebut, seorang pegawai kami menyamar sebagai pelanggan dan terbukti pemborong dan peruncit berkenaan meletakkan syarat tersebut.

“Berikutan itu kami bertindak menyerbu premis berkenaan dan merampas lebih dua tan gula bernilai lebih RM3,300,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Nor, syarikat berkenaan yang merupakan pemborong kelas kedua didapati menyalahi Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu mengenakan syarat-syarat jualan ketika menjual barang-barang kawalan.

Jika sabit kesalahan individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, manakala syarikat sendirian berhad (pemborong) pula boleh dikenakan denda sehingga RM250,000

-kosmo

124 total views, no views today