Google ambil alih fflick




WASHINGTON 27 Jan. – Google meningkatkan pelaburannya dalam dunia dalam talian semalam dengan pembelian syarikat penyedia perkhidmatan yang menumpu kepada sembang mengenai filem dan menghubungkan selebriti dengan peminat.

Satu kenyataan di blog Google di YouTube mengumumkan pembelian fflick, satu perkhidmatan yang mengumpul mesej Twitter berhubung reaksi positif dan negatif mengenai filem.

fflick Acquired by YouTube Google ambil alih fflick

”Terdapat perbualan menarik yang berlaku pada setiap masa di YouTube.com dan komen-komen yang berpotensi untuk menambah baik pengalaman ketika menonton video di YouTube,” kata Pengurus Produk Kumpulan, Shiva Rajaraman.

Katanya, sebagai sebahagian daripada YouTube, pasukan fflick akan membantu menghubungkan video-video terbaik yang dibincangkan di semua laman web dan memberikan peluang untuk seseorang itu turut menyertai perbincangan itu.

fflick yang berpangkalan di California, dilancarkan enam bulan lalu oleh bekas kakitangan Digg.

Google tidak menyatakan harga pembelian perkhidmatan yang dikatakan berjumlah kira-kira AS$10 juta (RM31 juta).

SayNow, satu program baru diasaskan pada 2005 dan berpangkalan di bandar Silicon Valley, Palo Alto berkata, perkhidmatan itu telah dibeli oleh Google.

”Melalui laman web, telefon pintar dan talian kekal, produk kami mengumpul pelbagai komuniti bersama melalui satu suara.

Google mempunyai produk suara yang terbaik di dunia, kami percaya penggabungan dengan pasukan Google Voice akan membantu kami mencari inovasi dan bidang baru,” tambah perkhidmatan itu dalam satu blog semalam.

SayNow mendakwa lebih 15 juta pengguna dan beribu-ribu selebriti menggunakan produk dan platformnya. – AFP

/// utusanmalaysia///

105 total views, no views today

Pengasas Google beli kapal layar terpakai




du 01.1 Pengasas Google beli kapal layar terpakai

Kapal layar milik Larry Page yang dibeli pada harga RM137.7 juta. Gambar kecil Larry Page dan isterinya.


CALIFORNIA – Pengasas enjin carian, Google di Internet, Larry Page menyertai ‘kelab pemilik kapal mewah’ apabila dia membeli sebuah kapal layar mewah terpakai yang bernilai kira-kira AS$45 juta (RM137.7 juta), lapor sebuah akhbar semalam.

Kapal yang diberi nama Senses itu dibeli daripada seorang pengusaha arak dari New Zealand, Sir Douglas Meyer yang telah menggunakannya sejak 1999.

Senses yang bersaiz 58.8 meter itu dilengkapi dengan tapak pendaratan helikopter, gimnasium, dek bertingkat, 10 bilik mewah, 14 orang anak kapal dan rekaan dalaman dari pereka terkenal Perancis, Philippe Starck.

Page, 37, menerima kapal mewah terpakai itu daripada Meyer menjelang tahun baru lalu.

Page yang berkahwin dengan seorang model, Lucinda Southworth pada 2007 dan mereka mempunyai seorang anak lelaki berumur setahun.

Dia dianggarkan mempunyai kekayaan kira-kira AS$15 bilion (RM45.9 bilion). – Agensi

132 total views, no views today

Google Instant tingkatkan kelajuan enjin carian




SAN FRANCISCO 9 Sept. – Google Inc. meningkatkan kelajuan enjin carian Internetnya semalam dengan menambah satu ciri yang memaparkan hasil pencarian sebaik sahaja pengguna mula menaip permintaan mereka.

Ciri tersebut yang dikenali sebagai Google Instant merupakan kemajuan paling besar yang dicapai setakat ini oleh syarikat berusia 12 tahun itu bagi merealisasikan cita-cita para pengasasnya untuk membina enjin carian yang boleh membaca fikiran pengguna.

Pencapaian itu dialu-alukan oleh pengasas bersama Google, Sergey Brin yang secara berkelakar memberitahu wartawan, komputer syarikatnya yang secepat kilat kini mengalami transformasi menjadi sebahagian otak manusia.

“Saya berpendapat kemajuan ini boleh digambarkan sedikit sebagai era baru dalam pengkomputeran,” kata Brin.

Perubahan itu bermakna pengguna Google akan mula melihat set hasil pencarian yang sentiasa berubah-ubah di skrin komputer mereka dan hasil pencarian itu boleh berubah lagi dengan setiap aksara tambahan yang ditaip.

Pengguna mungkin hanya perlu menekan kekunci sekali untuk memperoleh satu set hasil pencarian yang memuaskan.

Misalnya, pengguna yang menaip ‘w’ dalam kotak pencarian Google mungkin melihat hasil tinjauan kaji cuaca di kawasan sama di mana permintaan itu ditaip.

Ciri terbaru itu akan diperkenalkan beransur-ansur di seluruh Amerika Syarikat (AS) minggu ini dan ditawarkan di bahagian lain dunia lewat tahun ini.

Ia direka untuk berfungsi pada versi terbaru pelayar utama lama Web.

Google percaya meningkatkan kelajuan jentera pencariannya akan menambah kepuasan pengguna dan mungkin menggalakkan mereka membuat lebih banyak permintaan.

Perkara itu penting bagi Google kerana setiap permintaan membuka satu lagi peluang untuk menyiarkan iklan yang menjana sebahagian besar daripada pendapatan tahunan syarikat yang berjumlah hampir AS$30 bilion (RM96 bilion). – AP

/// utusanmalaysia ///

58 total views, no views today