Tingkatkan prestasi komputer




in 05.1 Tingkatkan prestasi komputer


EVOLUSI teknologi pengkomputeran hari ini begitu pantas lantas menjadikan kadar keupayaan pengkomputeran berganda hampir setiap hari.

Sekiranya usia komputer anda telah menjangkau 10 tahun, ia mungkin sudah dianggap sebagai ‘fosil’ kerana kemampuan pemprosesan dan capaian fungsinya sudah terbatas.

Anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan komputer baru.

Usaha menaik taraf komponen-komponen mungkin tidak lagi relevan disebabkan beberapa faktor. Antaranya seperti kesukaran untuk mendapatkan komponen gantian atau komponen yang berada di pasaran hari ini tidak menyokong teknologi yang terlebih awal wujud pada sistem komputer lama anda.

Akan tetapi, sekiranya komputer anda baru berusia beberapa tahun tetapi kurang responsif dan amat perlahan terutamanya ketika menggunakan program tertentu, ia berkemungkinan mempunyai masalah yang berkaitan dengan perisian dan bukannya perkakasan.

Langkah berikut boleh diambil bagi mengatasi permasalahan berkaitan prestasi komputer yang menurun:

Buat imbasan virus

Lakukan imbasan virus menggunakan perisian antivirus anda. Sebelum itu, jangan lupa untuk mengemaskini antivirus sebelum melakukan imbasan.

Serangan virus merupakan salah satu punca prestasi komputer menurun lalu bertindak balas dengan begitu perlahan.

Selain virus, program-program lain yang turut boleh menyebabkan masalah yang sama adalah seperti Trojan dan Spyware yang lazimnya menyerang komputer yang sering bersambung dengan Internet.

Buang program yang tidak diperlukan

Tidak semua program yang ada di dalam komputer anda digunakan dengan kerap. Malah, ada di antaranya digunakan sekali sahaja. Langkah mengurangkan program di dalam komputer akan membebaskan ruang storan sekali gus meningkatkan kelajuan dan upaya pemprosesan.

Secara tidak langsung, ia membantu mengurangkan masalah keadaan fail di dalam cakera keras yang tidak tersusun. Selalunya jika faktor itu tidak diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya, kelajuan komputer anda boleh terjejas.

Mematikan komputer selepas digunakan

Selain menjimatkan penggunaan elektrik, amalan ini dapat mengelakkan kerosakan pada komponen komputer akibat kepanasan yang melampau.

Sesetengah pengguna komputer hanya mengakhiri penggunaan komputer dengan membiarkannya dalam keadaan log off. Adalah lebih baik jika memilih shut down dan suisnya dipadamkan.

Sekiranya komputer anda dihidupkan berhari-hari secara berterusan dan anda mendapatinya ia beroperasi terlalu perlahan, lakukan restart bagi memberikan komputer anda sedikit masa untuk ‘berehat’.

Guna program pembersih registry

Program-program yang telah dibuang dari komputer sebenarnya masih meninggalkan sedikit fail dalam bentuk registry atau pangkalan data dalaman sesebuah komputer.

Program pembersih registry dapat membantu pengguna komputer, terutamanya mereka yang agak baru dalam dunia pengkomputeran. Ia merupakan kaedah yang termudah dan selamat bagi ‘membersihkan’ komputer anda dari fail-fail yang tidak diperlukan.

Format cakera keras

Ini mungkin jalan terakhir, tetapi paling berkesan dalam menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan sistem komputer anda. Sekiranya masalah terlalu serius, anda mungkin perlu memformat cakera keras anda dan melakukan instalasi sistem operasi semula.

Ini akan memberikan nafas baru kepada komputer dan anda pastinya dapat melihat perubahan positif setelah cara itu dilakukan.

Namun, pastikan anda terlebih dahulu telah menyalin dokumen dan fail-fail penting anda ke storan lain kerana cara ini akan menghilangkan kesemua data dan sistem operasi yang terkandung di dalam komputer anda.

// kosmo //

150 total views, no views today

Panjang tempoh bateri




Ketahui langkah-langkah yang boleh diambil untuk memanjangkan jangka hayat bateri komputer riba anda sekali gus dapat menggunakannya dengan lebih lama.

in 02.1 Panjang tempoh bateri

SETIAP bateri yang didatangkan dengan komputer riba mempunyai tempoh bekalan kuasa tertentu.

KOMPUTER riba bukanlah gajet yang dianggap terlalu mewah pada hari ini. Jika dahulu penggunaannya terhad kepada golongan profesional atau setidaknya mereka yang telah bekerja, tetapi hari ini ia digunakan secara meluas termasuk golongan pelajar.

Faktor mobilitinya menyebabkan ia menjadi pilihan ramai. Sungguhpun begitu faktor bateri ada kalanya menyebabkan aktiviti dengan komputer mudah alih ini agak terhad. Langkah-langkah berikut dapat membantu memanjangkan nyawa bateri komputer anda.

Kebanyakan bateri komputer riba hari ini digerakkan oleh bateri lithium ion (li-ion). Bateri jenis ini lebih ringan, mempunyai nisbah kuasa dengan berat yang lebih baik, mampu menyimpan cas lebih lama, mempunyai jangka hayat dan tidak memberi kesan kepada ingatan komputer sekiranya ia menemui kegagalan pra-matang.

Kos pengeluaran bateri lithium ion ini juga lebih rendah berbanding bateri generasi sebelumnya – nickel metal hydride. Satu-satunya kekurangan pada bateri jenis lithium-ion ialah ia boleh menyebabkan litar pintas malah meletup sekiranya terlampau panas. Setiap bateri yang didatangkan dengan komputer riba mempunyai tempoh bekalan kuasa tertentu. Periksa tempoh bekalan kuasa yang tertera pada katalog sebelum membeli sesebuah komputer riba.

Anda boleh memilih pengunaan bateri yang optimum ialah dengan memadankan tetapan bateri selari dengan mod penjimatan kuasa pada komputer anda.

Tetapan ini akan meletakkan cakera keras pada mod tidur ketika beban tugasan berkurangan dan ini akan mengurangkan prestasi unit pemproses bagi memaksimumkan hayat bateri. Pilih longest battery life pada tetapan kuasa komputer anda.

Di sini, digariskan beberapa langkah-langkah penjimatan bateri yang boleh diamalkan. Semoga ia dapat memanjangkan lagi hayat cas bateri komputer riba kita. Maka, anda dapat menggunakan komputer riba dengan lebih lama!

in 02.2 Panjang tempoh bateri


Langkah penjimatan bateri

*** Sekiranya komputer tidak digunakan untuk satu tempoh yang agak panjang, letakkannya pada mod bersedia atau standby. Mod bersedia akan memastikan data semasa disimpan di dalam RAM dengan pengunaan kuasa yang minimum.

*** Menambahkan ingatan sementara atau RAM komputer anda akan menjimatkan kuasa bateri kerana ia akan mengurangkan pergantungan sistem operasi pada virtual memory swap pada cakera keras anda.

*** Tetapkan kecerahan skrin LCD anda serendah yang mungkin tetapi selesa pada mata anda. Semakin cerah paparan skrin, semakin banyak kuasa bateri yang digunakan.

*** Elakkan daripada mengecas bateri dan pada masa yang sama mengoperasikan komputer menggunakan adapter AC anda. Seboleh-bolehnya, cas ketika komputer tidak digunakan. Ini membolehkan bekalan elektrik dapat disalurkan dengan sempurna tanpa gangguan.

*** Sekali-sekala bersihkan sambungan bateri (berwarna keemasan) bagi memastikan ia bebas daripada habuk. Anda boleh menggunakan sedikit alkohol dan lapkan dengan kain bagi mencuci bateri.

*** Nyahaktifkan fungsi atau ciri yang tidak digunakan pada komputer riba anda. Sebagai contoh, keluarkan disk optikal (CD/DVD) dari pemacunya apabila tidak digunakan. Pemacu CD/DVD akan cuba membaca media di dalamnya dan ini menggunakan kuasa bateri yang lebih.

*** Cabut kabel perkakasan tambahan seperti pencetak, pengimbas atau gajet digital lain daripada komputer anda kerana ia akan memakan bekalan kuasa walaupun ketika tidak digunakan.

*** Hentikan carian automatik wifi dan bluetooth anda apabila tidak diperlukan. Sekiranya anda tidak menggunakannya langsung, matikan semua fungsi ini dan sekali gus anda dapat membuat penjimatan kuasa yang lebih.

-kosmo

148 total views, 1 views today