Peserta seluruh dunia boleh sertai Imam Muda 2




KUALA LUMPUR 6 Jan. – Program realiti Imam Muda musim kedua melakukan perubahan besar apabila turut membuka peluang kepada muslimin dari seluruh dunia hadir uji bakat untuk menyertai program itu.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. , Zainir Aminullah berkata, langkah Astro membuka penyertaan peserta luar negara itu berdasarkan kepada permintaan para peminat dari seluruh dunia yang mengikuti program itu musim lalu.

“Maklum balas menggalakkan dapat dilihat di laman sosial Facebook daripada peminat-peminat program itu dari Asia Barat, Perancis, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Kami menjangkakan kehadiran peserta antarabangsa ini mampu meningkatkan persaingan yang sihat di kalangan peserta dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Imam Muda musim kedua di sebuah restoran di Sri Petaling, dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar.

Katanya, setiap calon antarabangsa beragama Islam berumur antara 18 – 27 tahun yang berminat menyertai program itu mestilah mempunyai berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu.

Beliau berkata, uji bakat pertama program itu akan diadakan pada 22 dan 23 Januari ini di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru.

Selain itu, program yang mendapat tempat di mata dunia itu juga turut menambah lokasi uji bakat iaitu di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Kota Kinabalu pada 26 dan 27 Februari ini.

Lain-lain lokasi adalah Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan (28 – 29 Januari), Masjid Zaher, Alor Setar, Kedah (11 – 12 Februari), Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang (19 – 20 Februari) dan Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur (5 – 6 Mac).

Katanya, seperti program pertama, Astro juga mendapat kerjasama dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk program kali ini.

“Untuk musim kedua ini, mantan Imam Besar Masjid Negra, Datuk Hasan Mahmud Al-Hafiz masih dikekalkan sebagai Mudir.

“Sementara para bakal imam muda masih mengikuti jadual ketat dan kali ini mereka didedahkan dengan cabaran baru seperti selok belok ekonomi, perdagangan dan perubahan berdasarkan kitab suci al-Quran,” katanya.

Menurutnya, program Imam Muda musim kedua dijangka bersiaran secara rasmi mulai 25 April depan.

67 total views, no views today