Jalan TAR jadi tumpuan pengunjung




dn 07.1 Jalan TAR jadi tumpuan pengunjung

AZMAN Bilal menjual baju raya empat pasang RM100 di hadapan kedainya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, semalam. -

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Dengan Aidilfitri tinggal beberapa hari sahaja lagi, sebahagian besar peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini mula menawarkan potongan harga besar-besaran.

Antaranya, Azman Bilal, 25, yang menjual empat pasang baju kurung pada harga RM100 sedangkan sebelum ini ia dijual dengan harga RM68 sepasang.

Menurutnya, beliau menjual baju kurung tersebut dengan harga yang murah kerana mahu menghabiskan stok jualannya.

“Stok jualan masih banyak, kalau masih mengekalkan harga yang sama iaitu RM68 sepasang, orang tidak akan membelinya.

“Buat masa ini, hasil jualan agak memberansangkan sehingga menunggu ketibaan Syawal yang dijangka Selasa depan,” katanya.

Terdapat juga peniaga lain yang menjual barangan mereka dengan harga lelong dengan alasan untuk menghabiskan stok dan mengurangkan kos kerugian.

Seorang daripada mereka, Farid Mustarif, 26, berkata, harga jualan pada penghujung Ramadan ini akan diturunkan kepada separuh untuk mengurangkan kos kerugian kerana pakaian masih banyak yang belum terjual.

“Saya boleh tawarkan baju kurung yang sebelum ini dijual pada harga RM100 kepada RM25 sahaja.

“Kami akan membuka gerai dari 10 pagi hingga 4 pagi kerana ingin memudahkan orang ramai yang datang dari jauh untuk membeli-belah,” ujarnya.

Orang ramai yang berkunjung di kawasan tersebut amat berpuas hati walaupun membeli-belah dengan keadaan sesak kerana rata-rata peniaga mula menawarkan potongan harga yang menarik.

Seorang pengunjung, Adila Anuar, 18, berkata, membeli-belah pada saat akhir ini ada keseronokannya kerana berpeluang mendapat harga yang lebih rendah.

“Pada saat akhir ini, peniaga akan letak harga barangan dan pakaian dengan harga lelong. Semua pengunjung akan mengambil kesempatan ini kerana harga pada awal dan akhir Ramadan berbeza,” katanya.

279 total views, no views today