Manusia cenderung bergosip




ke 02.1 Manusia cenderung bergosip

BERBUAL hal negatif tentang individu lain sudah dianggap lumrah oleh sesetengah orang.


BERGOSIP bukan amalan yang sihat namun masih ramai yang berdepan kesukaran untuk menghindarinya. Walaupun minda mengarahkan kita supaya tidak mendengar perbualan tentang orang lain, arahan itu seperti tidak dipedulikan, malah kita menjadi semakin teruja untuk mendengar gosip tersebut, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan orang yang kita kenali.

Hanyut dalam lingkaran gosip memang susah untuk dibuang. Salah satu penyebabnya adalah sistem visual manusia yang telah diprogram untuk fokus kepada gosip negatif yang kita dengar.

Selain itu, minda manusia lebih mudah untuk mengingati gosip yang negatif berbanding perkara baik.

“Secara semula jadi, manusia lebih sensitif kepada informasi yang mungkin berpotensi mengancam kehidupan kita,” beritahu pakar sains neuro dari California, Amerika Syarikat, Irving Biederman.

Tambahnya lagi, walaupun topik dalam gosip itu mengenai orang lain, misalnya pertelingkahan antara rakan sepejabat, kita akan menjadi semakin teruja untuk mendengarnya.

Kajian sebelum ini menunjukkan manusia cenderung untuk menghakimi dan senang bercakap tentang orang lain.

Walaupun gosip telah lama berada dalam lingkungan sosial, tetapi manusia tidak lahir untuk bergosip. Walaupun kecenderungan itu ada, sebagai ibu bapa, kita perlu menjahi gosip dengan cara menjaga pertuturan dan mengelak daripada bercakap hal negatif orang lain.

138 total views, no views today

Interpersonal majikan, pekerja




ps 03.1 Interpersonal majikan, pekerja

KOMUNIKASI yang baik dengan rakan sekerja membantu meningkatkan prestasi syarikat.


HUBUNGAN interpersonal berkait rapat dengan cara anda berkomunikasi atau berinteraksi dengan seorang yang lain.

Terdapat empat asas penting yang perlu diberikan perhatian:

1Layanan sebagai seorang manusia: Setiap individu dikeliling anda sama ada kakitangan anda atau rakan sekerja malah majikan anda, semuanya adalah sama seperti anda iaitu masing-masing adalah seorang manusia.

ps 03.2 Interpersonal majikan, pekerja

MENDENGAR secara aktif baik dalam hubungan interpersonal di tempat kerja dalam memastikan kelancaran kerja.


Fitrah seorang manusia mahu dilayan sebaiknya sebagai manusia, bukan sebagai binatang atau haiwan yang boleh dicaci maki sesuka hati, biar apa pun kesalahan atau kesilapannya. Seorang manusia mengharapkan agar difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Andai wujud kekurangan dalam item utama layanan ini, hubungan interpersonal yang baik sukar diwujudkan.

2Hormati harga diri orang lain: Asas untuk menghormati harga diri orang lain adalah dengan menjadikan orang tersebut merasakan diri mereka penting.

Perlu telus ketika memberikan maklum balas dalam komunikasi iaitu dengan mendengar dan memberikan perhatian kepada mereka semasa berinteraksi.

Mendengar adalah lebih penting daripada berkata-kata tetapi, perlu pastikan anda tidak mendengar dalam keadaan terpaksa. Luangkan masa namun, andai anda perlu beredar segera, nyatakan dengan baik dan tetapkan temu janji untuk menyambung perbincangan pada masa lain.

Penting! Pandang mereka ketika bercakap, fokus kepada fakta percakapan, beri penghargaan jika perlu dan berikan maklum balas tanpa membuat sebarang tuduhan, kesimpulan atau hukuman kepada yang bercakap.

3Fahami orang lain: Manusia mempunyai satu persamaan iaitu berbeza dengan orang lain. Lantaran, usaha untuk memahami orang lain amat penting dalam hubungan interpersonal. Untuk memahami orang lain, anda perlu bebaskan diri dan minda daripada perkara lain ketika berinteraksi dan fokuskan kepada percakapan yang sedang berlangsung.

ps 03.3 Interpersonal majikan, pekerja

FITRAH manusia mahu ditegur dengan cara yang baik tanpa perlu diiringi maki hamun.


Perlu diingat! Anda dan pihak lain adalah unik maka perlu bersedia dan terbuka kepada pertembungan idea dan lihatlah kepada aspek yang positif, bukan negatif.

Hindari daripada mengenali seseorang daripada orang lain sebaliknya kenali orang tersebut dengan sendiri. Berhati-hati dengan perkataan dan nada percakapan anda kerana gaya bahasa serta lenggok percakapan anda boleh disalaherti yang memungkinkan rosaknya hubungan.

4Empati: Untuk mempunyai perasaan empati kepada orang lain, anda terlebih dahulu perlu menghapuskan pemikiran, perasaan dan pengharapan anda kepada seseorang kerana unsur penting dalam empati ialah kepercayaan.

Bagi mempraktikkan sikap empati, langkah-langkah berikut perlu diikuti iaitu:

* Mendengar secara aktif

* Mendapatkan maklumat fakta dan perasaan di sebaliknya

* Mengesahkan kefahaman anda melalui kaedah paraphrasing atau rephrasing (memberi respons berlawanan atau mempersoalkan fakta percakapan)

* Melihat isu dan pandangan melalui kaca mata mereka

* Bersama-sama memahami dan menyelami perasaan mereka dengan bersungguh-sungguh.

187 total views, no views today

Penyakit keanak-anakkan




Apakah bentuk penjagaan yang patut diberikan kepada pesakit nyanyuk?

ke 01.1 Penyakit keanak anakkan


MALAYSIA dianggarkan mempunyai kira-kira 50,000 orang pesakit Alzheimer (AD) atau nyanyuk. Berbanding dengan Amerika Syarikat yang mempunyai anggaran empat juta pesakit AS, angka ini mungkin tidak begitu signifikan. Namun, AD merupakan punca paling umum bagi dementia iaitu kemerosotan fungsi mental seperti memori, pemikiran dan keupayaan daya pembelajaran.

Simptom-simptom ini agaknya nampak umum tetapi secara kasarnya, terdapat 10 tanda amaran tentang penyakit AD yang perlu diketahui oleh ahli keluarga mahupun penjaga terdekat.

Pertama, kemahiran dan prestasi kerja yang terganggu akibat kehilangan daya ingatan jangka masa terdekat. Kedua, pesakit mungkin berdepan dengan kesukaran melaksanakan tugasan yang biasa dilakukannya.

ke 01.2 Penyakit keanak anakkan

PERUBAHAN dari segi personaliti, tingkah laku dan pesakit tersalah meletak barang juga tidak patut dipandang remeh.


Dalam satu ceramah awam yang dianjurkan oleh Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia dan Novartis Corporation (M) Sdn. Bhd. (Norvatis), baru-baru ini, pakar kaji uzur dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Lee Fatt Soon berkata, pesakit AD turut menghadapi masalah dalam bahasa.

“Pada kebiasaannya, petanda pertama pesakit sudah mengalami kenyanyukan adalah ketidakupayaan untuk mengingati perkara yang baru berlaku dalam kehidupan hariannya. Seterusnya, mungkin timbul perubahan daripada corak pertuturan atau percakapan.

“Misalnya, pesakit mempunyai masalah menggunakan perkataan yang betul, lebih cenderung mencari perkataan yang ringkas atau sememangnya menghadapi kesukaran memilih perkataan yang sesuai,” katanya.

Selain itu, pesakit AD juga mengalami kesulitan atau kurang orientasi dalam mengecam masa serta tempat. Daya pertimbangan yang semakin merosot turut menyukarkan pesakit dalam membuat keputusan.

Sungguhpun punca sebenar berlakunya AD masih belum dipastikan oleh pakar perubatan, tetapi, petanda seperti perubahan dari segi personaliti, tingkah laku dan kecenderungan tersalah meletak barang juga tidak patut dipandang remeh.

Perubahan dari segi tingkah laku termasuk menolak bantuan orang lain, sukar mengawal pembuangan air besar atau kecil, ketidakstabilan emosi, berhalusinasi dan menghadapi masalah tidur.

ke 01.3 Penyakit keanak anakkan

SEPERTI juga orang yang normal, penghidap AD merupakan insan yang berperasaan.


Keadaan seperti ini semestinya membuatkan ahli keluarga yang lain khasnya penjaga terdekat berasa resah. Namun, jika penjaga dilengkapi dengan maklumat serta pengetahuan yang betul, bebanan pengendalian pesakit AD boleh diringankan sedikit.

Kemahiran menjaga pesakit AD boleh diasah menerusi rujukan kepada garis panduan praktikal yang melibatkan pihak penjaga dan juga pesakit itu sendiri.

Sebuah buku panduan kecil yang dikeluarkan oleh Persatuan Gerontologi Malaysia menerusi sumbangan Novartis telah menekankan lima aspek penting dalam penjagaan pesakit AD.

Jika anda juga menetap bersama dan menjaga seseorang yang menghidap AD, anda disarankan memberi sokongan agar pesakit mampu berdikari suatu hari nanti. Seperti juga orang normal yang lain, penghidap AD merupakan insan yang berperasaan.

Justeru, anda perlu berhati-hati agar tidak membincangkan perkara berkenaan diri mereka secara terang-terangan.

ke 01.4 Penyakit keanak anakkan


Seboleh-bolehnya juga, elakkan sebarang pertelingkahan atau percanggahan pendapat. Ini kerana hanya dengan suasana yang tenang dan selesa serta disuntik dengan sedikit humor mampu mengurangkan tekanan mental kedua-dua pihak.

Apabila berkomunikasi dengan pesakit, cuba sedaya upaya bercakap dengan jelas, lembut dan perlahan-lahan. Elakkan daripada menggunakan perkataan yang terlalu kompleks kerana seperti yang disebutkan tadi, penghidap AD mempunyai masalah dengan bahasa.

Dalam soal berbicara, sesetengah penjaga mungkin hilang kesabaran tetapi percayalah hanya dengan perasaan tenang, penjaga dapat membantu pesakit. Pesakit yang banyak bertanyakan soalan barangkali sangat melecehkan.

Namun, penjaga boleh menggunakan kaedah yang lebih kreatif seperti menerusi bantuan petanda-petanda visual (objek atau gambar) untuk membantu pesakit memahami mesej yang ingin disampaikan.

Sebut sahaja perkataan nyanyuk, tidak kurang ramai yang suka mengaitkan masalah dengan sikap keanak-anakkan seorang warga emas. Ada ketikanya penjaga seakan kehilangan akal saat ada di kalangan pesakit yang terlalu melekat kepada penjaganya. Jadi, apakah yang boleh dilakukan?

Menurut Dr. Lee, keadaan seperti ini menguji ketabahan seorang penjaga. Sama ada penjaga boleh meminta bantuan seorang lagi pembantu untuk ‘mendapatkan sedikit ruang bagi diri sendiri’, atau sediakan sesuatu untuk menarik perhatian pesakit.

Bagi masalah berhalusinasi atau delusi pula, warga emas yang menghidap AD ada ketikanya takut ditinggalkan berseorangan atau tersilap identiti bagi orang-orang yang rapat dengannya.

“Ingatlah bahawa realiti seorang pesakit AD dengan orang biasa adalah tidak sama. Dalam keadaan takut, mereka sebenarnya memerlukan ketenangan dan sentuhan lembut daripada penjaga atau ahli keluarga terdekat bagi memberikan mereka rasa selesa.

“Elakkan daripada bergaduh tentang apa yang dilihat. Sebaliknya, cuba alihkan perhatian kepada sesuatu yang lebih menarik dalam bilik tersebut,” katanya.

-arkibkosmo

86 total views, no views today