18 SMS sehari

Apakah penemuan lain yang diperoleh berhubung tabiat penggunaan sms di kalangan remaja Malaysia berbanding negara lain di Asia?

in 01.1 18 SMS sehari

TELEFON bimbit sering menjadi medium utama untuk menyampaikan maklumat.


TAHAP penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) di kalangan remaja negara agak tinggi berbanding belia di beberapa negara Asia lain.

Demikian kajian terbaru didedahkan Pengarah Urusan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Asia Pasifik Telenor (TRICAP), Jens Olav Bjornson kepada Kosmo! di Cyberjaya, baru-baru ini.

Kajian syarikat pengendali perkhidmatan mudah alih dari Norway itu mendapati, remaja Malaysia menghantar kira-kira 18 SMS sehari berbanding remaja di negara-negara Asia lain di mana Telenor beroperasi iaitu Thailand (3), Bangladesh kurang daripada 5 dan Pakistan (6).

Kajian tersebut mendedahkan secara lebih mendalam tabiat penggunaan SMS remaja Malaysia berasaskan tinjauan membabitkan 1,718 responden negara ini yang berusia antara 15 hingga 29 tahun. Selain tabiat penggunaan SMS, ia juga mengkaji penggunaan telefon bimbit itu sendiri dan Internet.

“Berasaskan penyelidikan ini juga jelas menunjukkan bahawa telefon bimbit digunakan sebagai alat untuk mendapatkan maklumat terkini serta merta mengenai peristiwa penting. Justeru, ia dianggap sebagai peranti mudah alih yang paling penting dan serba guna oleh semua responden, tanpa mengira lokasi mahu pun jantina,” katanya.

in 01.2 18 SMS sehari

KAJIAN mendapati remaja lelaki Malaysia juga gemar berSMS.



Ketua Penyelidikan Pasaran dan Pandangan Pelanggan TRICAP, Sheena Lim berkata, majoriti responden menganggap SMS merupakan cara paling mudah untuk berhubung dengan seseorang.

“Justeru, SMS biasanya digunakan untuk menjawab pesanan yang diterima atau memulakan perbualan, bersembang dan menyelaraskan perkara kecil. Telefon bimbit juga menjadi penyimpan rangkaian sosial yang penting. Ini termasuklah maklumat tentang rakan, ahli keluarga dan kenalan lain. Secara purata, responden mempunyai seramai 100 kenalan dalam buku alamat telefon,” katanya.

Kajian juga mendapati penggunaan SMS di kalangan remaja perempuan dan lelaki di negara ini adalah hampir sama dan tidak mempunyai perbezaan yang ketara.

“Ia agak mengejutkan sebab pada jangkaan saya, perempuan jauh lebih banyak menggunakan SMS berbanding lelaki,” katanya.

Tambah Lim lagi, secara umumnya lebih daripada 50 peratus responden gemar mengirim SMS kepada kawan-kawan karib mereka dan individu yang diketahui berumur dalam lingkungan 20-an.

“Kebanyakan mereka membuat panggilan hanya jika mahu menghubungi ibu bapa dan individu yang lebih tua. Hanya lima peratus yang mengirim SMS kepada ibu bapa dan 12 peratus yang mengirim SMS kepada individu berusia 40-an. Selebihnya lebih suka membuat panggilan.

“Ini mungkin kerana budaya menghormati mereka yang lebih tua atau memikirkan mereka yang lebih tua lebih senang menerima panggilan berbanding mengendalikan SMS,” katanya.

in 01.3 18 SMS sehari


Bagi penyelarasan seperti penukaran temu janji, 32 peratus lebih gemar menggunakan SMS, 58 peratus lebih suka membuat panggilan sementara 10 peratus daripada responden tidak diketahui.

“Untuk memberitahu terlewat 40 peratus memilih SMS manakala selebihnya memilih membuat panggilan,” katanya.

Kajian juga mendapati, kebanyakan responden memilih menggunakan SMS untuk memulakan perkenalan atau menyatakan perasaan diri yang sebenar kerana tidak selesa melakukannya secara bersemuka.

“Sebanyak 44 peratus responden menggunakan SMS dan 39 peratus menggunakan pesanan suara untuk tujuan itu. Hanya 17 peratus yang berani bersemuka.

“Mungkin mereka SMS kerana mahu menguji tahap penerimaan orang tersebut terlebih dahulu atau mereka tidak cukup yakin,” tambah Lim.

Selain SMS, kajian berhubung rangkaian sosial turut mendapati, remaja di negara ini cenderung untuk menyertai sesuatu rangkaian sosial tertentu seperti Friendster dan Facebook kerana mempunyai perasaan memiliki (sense of belonging) yang kuat.

“Mereka takut kehilangan kawan-kawan. Mereka mahu sentiasa berada di tempat sahabat mereka berada. Selain itu, ada juga yang menyertainya kerana desakan kawan. Remaja perempuan lebih agresif dalam hal ini,” kata Sheena.

“Antara sebab pengguna menjadi aktif dalam komuniti tersebut kerana interaksi dan pendedahan sosial. Bagi belia Malaysia yang cenderung terperap di rumah, laman rangkaian sosial memberi mereka ruang untuk bersosial dari rumah,” ujarnya.

Terdapat juga satu fenomena baru apabila remaja kini memulakan perbualan dengan bertanya tentang rangkaian sosial yang disertai, menggantikan apa nombor telefon anda?

in 01.4 18 SMS sehari

PENGLIBATAN dengan rangkaian sosial turut didorong oleh sifat pemilikan yang kuat.



Lim turut memberitahu, terdapat kesedaran yang semakin meningkat terhadap blog di kalangan rakyat Malaysia.

“Walaupun hanya segelintir responden mempunyai laman blog mereka sendiri, 34 peratus mengunjungi laman blog orang lain dan daripada jumlah itu, satu perlima memberikan ulasan,” ujarnya.

Berhubung tinjauan ini, secara keseluruhannya ia bertujuan untuk meningkatkan pemahaman Telenor tentang pasaran operasinya di Asia. Dengan maklumat dan pemahaman berasaskan tinjauan ini, memastikan mereka membangunkan perkhidmatan baru yang menarik dan menyediakan pengalaman unggul kepada pelanggannya.

Sebagai pembekal perkhidmatan mudah alih paling pantas berkembang, kumpulan Telenor mempunyai 153 pelanggan di 12 negara. Ia merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih bukan Asia terbesar dengan lebih 60 juta pelanggan di Asia menerusi operasinya di Malaysia, Thailand, Pakistan dan Bangladesh.

-kosmo




79 total views, no views today