Gogal skuba berkamera




in 06.1 Gogal skuba berkamera

KINI merakamkan foto digital atau video menjadi semakin mudah dengan menggunakan gogal skuba berkamera.


AKTIVITI menyelam seringkali dikaitkan dengan keindahan hidupan bawah laut, yang tidak dapat dinikmati di darat. Namun, tidak ramai yang dapat mengabadikan keindahan dasar laut ketika melakukan aktiviti selaman. Faktor utama yang menyebabkan keindahan bawah laut tidak dapat dirakam dalam bentuk gambar atau video adalah kos tinggi untuk memiliki peralatan kalis air seperti perumah kamera untuk dibawa bersama-sama ketika menyelam.

Aksesori kalis air untuk kamera yang boleh dibawa ke dasar laut lazimnya berharga dari ratusan hingga ribuan ringgit.

Ini merupakan kekangan utama mengapa tidak ramai penyelam rela membelanjakan wang sebegitu banyak hanya untuk sebuah aksesori kamera.

Namun, gogal skuba yang dilengkapi kamera video keluaran Liquid Image, sebuah syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat merupakan satu khabar gembira buat mereka yang gemarkan aktiviti ekstrem itu.

Kamera video kalis air dengan keupayaan lima megapiksel mampu mengambil gambar digital beresolusi 2,592 x 1,944 dan juga merakamkan video berdefinisi tinggi (HD) 1,280 x 720 (720p) pada 30 bingkai sesaat menerusi bantuan memori binaan dalam yang berfungsi sebagai pemproses dan bukannya storan.

Apa yang istimewa tentang kamera ini ialah ia mampu melakukan rakaman tanpa membataskan pergerakan tangan penyelam.

Jika biasanya, penyelam perlu memegang kamera untuk mengambil gambar atau merakamkan video pelbagai spesies ikan dan juga terumbu karang, kini tidak lagi dengan gogal skuba berkamera. Penyelam hanya perlu mengaktifkan butang di penjuru bingkai gogal tersebut untuk merakamkan video atau mengambil gambar.

Gajet ini mampu mengabadikan rakaman yang diambil ke dalam kad memori SD dan juga kad memori berkapasiti tinggi SDHC yang mempunyai ruang simpanan sehingga 32GB. Ia mampu berfungsi hingga kedalaman 40 meter.

in 06.2 Gogal skuba berkamera

MENGGUNAKAN bateri litium penyelam boleh merakam 2,000 keping gambar digital atau dua jam rakaman video.


Selain itu, lensa sudut lebar kamera ini mampu memberikan pemandangan menarik yang dapat dikongsi bersama teman-teman lain yang tidak mengikuti aktiviti selaman. Bukan itu saja, rakaman audio juga turut disertakan dengan mikrofon binaan dalam.

Ia dikuasakan dengan bateri bersaiz AAA dengan pilihan bateri litium atau alkali untuk kemudahan pengguna. Jika menggunakan bateri litium, gogal skuba berkamera ini mampu mengambil sehingga 2,000 keping gambar digital atau dua jam rakaman video.

Bagaimanapun, pengguna juga boleh menggunakan bateri alkali biasa, yang lebih mudah didapati di kedai-kedai runcit dan pasar raya kecil.

Dengan bateri alkali, ia mampu mengambil kira-kira 500 keping gambar dan 16 minit rakaman video sahaja – memadai untuk satu sesi selaman.

Segala khazanah alam yang telah diabadikan boleh dipindahkan terus ke komputer menggunakan sambungan USB. Gajet ini menyokong format JPEG untuk gambar digital dan format video H.246 dengan audio untuk merasai suasana sebenar menyelam di dasar laut.

Harga gajet itu bermula dari RM500 hingga RM3,000 bergantung kepada model gogal.

Maklumat lanjut tentang pilihan model yang ditawarkan boleh didapati di www.liquidimageco.com.

-kosmo

221 total views, no views today