Dari London ke stylingdarling.com




in 02.1 Dari London ke stylingdarling.com

INTAN BAIZURA turut menjual pakaian untuk ibu hamil di laman webnya.



IBU BAPA yang baru menimang cahaya mata pasti inginkan anak mereka kelihatan comel dan bergaya dengan menyarung pakaian cantik dan terbaru dalam dunia fesyen anak kecil.

Begitupun, untuk membeli pakaian bayi berjenama, ia akan menelan kos yang tinggi kerana sangat mahal. Tetapi dengan adanya laman sesawang www.stylingdarling.com jenama terkenal seperti Polo Ralph Lauren, Monsoon, BabyGap dan Zara Baby boleh dibeli pada harga yang berpatutan.

Pengarah Urusan Pemasaran stylingdarling.com, Intan Baizura Ismail berkata, beliau mendapat idea untuk membuka perniagaan dalam talian tersebut pada Jun tahun lalu.

“Kebanyakan kawan-kawan saya sudah berkahwin dan selalu merungut mengenai harga pakaian bayi yang terlalu mahal. Bahkan, mereka mengatakan tidak banyak pilihan, warna dan corak untuk digayakan.

“Situasi ini memberi peluang kepada saya untuk menceburi bidang fesyen pakaian bayi berjenama agar bayi-bayi di negara ini juga dapat bergaya seperti orang dewasa. Saya juga gemar melihat bayi-bayi berpakaian cantik,” kata usahawan muda berusia 26 tahun itu.

Intan Baizura menambah, beliau memulakan perniagaan dalam talian dengan produk-produk pakaian bayi stylingdarling.com yang dimport sepenuhnya dari London, Britain.

Menurutnya, perniagaan cara itu menjimatkan kos sewa kedai, selain menjamin pakaian yang diiklankan adalah mengikut fesyen terkini.

in 02.2 Dari London ke stylingdarling.com

PAKAIAN bayi yang diimport khas dari London boleh dipadankan dengan aksesori kasut yang cantik.



Katanya, tujuan perniagaan dalam talian itu adalah untuk memenuhi kehendak pengguna yang begitu mementingkan gaya, khususnya golongan ibu bapa moden.

Ujarnya, ahli keluarga banyak memberi dorongan kepada beliau untuk terus berkembang maju dalam bidang fesyen pakaian bayi dan ibu mengandung itu.

“Saya akan pergi ke London untuk memilih pakaian bayi berkenaan untuk memastikan ia merupakan fesyen terkini dan menepati cita rasa masyarakat Malaysia,” ujarnya.

Ditanya tidakkah ia melibatkan kos yang tinggi untuk mendapatkan pakaian bayi di London, beliau berkata pakaian di sana jauh lebih murah berbanding di negara ini.

“Saya juga mempunyai seorang kakak di sana dan dia akan sentiasa memaklumkan perkembangan fesyen terkini serta kadangkala akan menghantar pakaian terus kepada saya untuk dijadikan produk jualan di laman stylingdarling.com,” kata pemegang Diploma Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Segamat, Johor itu.

Intan Baizura berkata, pakaian bayi yang dijual di laman webnya adalah untuk bayi perempuan dan lelaki yang baru lahir hingga berusia tiga tahun sahaja. Beliau mahukan kepelbagaian fesyen dalam produk yang dibawa ke Malaysia.

“Pendekatan perniagaan yang dilakukan dalam talian ini diharap dapat memberi peluang kepada ibu bapa untuk menggayakan bayi-bayi comel mereka,” ujar anak bongsu daripada empat adik-beradik itu.

Ujar beliau lagi, pakaian bayi yang terdapat di stylingdarling.com termasuk kardigan, seluar panjang, dres, skirt mini, baju t dan kemeja.

in 02.3 Dari London ke stylingdarling.com

INTAN mempunyai dua laman web dalam memasarkan produknya.

Katanya, pakaian bayi yang dijualnya juga boleh diperoleh pada harga RM19.90 hingga RM79.90. Jenama yang terkenal boleh diperoleh termasuk Ralph Lauren, Monsoon, BabyGap, Zara Baby, Next, GapMaternity, Zara, Benetton dan Mamas&Papas.

“Pakaian bayi di stylingdarling.com sangat berkualiti dan memenuhi cita rasa kehendak pelanggan. Buat masa ini permintaan daripada orang ramai begitu menggalakkan.

“Selain daripada pakaian bayi, saya juga ada menjual kasut-kasut bayi untuk dipadankan dengan pakaian yang dibeli,” katanya lagi.

Percaya bahawa ibu hamil tidak semestinya tidak boleh tampil cantik, kerana itu Intan Baizura turut menjual pakaian ibu mengandung di stylingdarling.com.

“Mereka juga boleh memadankan gaya terkini agar kelihatan sentiasa cantik dan anggun walaupun dalam keadaan mengandung,” katanya.

Dalam pada itu, Intan Baizura turut mengusahakan perniagaan talian easyboxy.com yang menjual produk kotak kasut diperbuat daripada polypropelen khusus untuk wanita dan lelaki.

“Produk kotak kasut ini dijual pada harga RM45 bagi perempuan dan RM55 bagi lelaki. Ia didatangkan dengan lima kotak,” katanya.

Untuk membeli produk-produk Intan Baizura anda boleh melayari laman web www.stylingdarling.com atau www.easyboxy.com.

-kosmo

139 total views, no views today