Jom jalan bersama Nestle




va 01.1 Jom jalan bersama Nestle

LARIAN 3,000 Langkah akan diadakan di Pulau Pinang pada 21 November ini.


BERJALAN kaki merupakan kegiatan riadah yang paling mudah dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kesihatan seseorang.

Bagi menyokong program kesihatan bersama masyarakat, Nestle Malaysia (Nestle) bersama-sama dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) menganjurkan program Larian 3,000 Langkah sempena Sambutan Hari Berjalan Kaki Sedunia 2010.

Bertemakan Jom Jalan Bersama, aktiviti riadah berkonsepkan kekeluargaan itu bakal berlangsung pada 21 November ini di Padang Polo, Jalan Sepoy Line di George Town bermula dari pukul 6.30 pagi hingga 11.30 tengah hari.

Trek laluan sejauh 2.2 kilometer itu bermula dan tamat di Padang Polo, melalui Jalan MaCalister, Jalan Residensi dan Hospital Pulau Pinang.

Menariknya, tiada bayaran penyertaan dikenakan dan 2,000 peserta yang awal mendaftar akan diberi sehelai kemeja-T, sarapan pagi percuma, persembahan pentas dan hadiah cabutan bertuah tajaan Nestle.

Menurut Pengurus Korporat (Wellness) Nestle, Chia Wee Leng, acara tersebut merupakan inspirasi Nestle untuk menjadikan cara hidup sihat sebagai satu amalan berterusan masyarakat.

“Nestle tidak mahu dikenali sebagai pengeluar jenama makanan yang dikaitkan dengan kesihatan sahaja, tetapi kami mahu bersama-sama komuniti mempopularkan kesihatan sebagai gaya hidup.

“Justeru, kami mulakan kempen ini di Pulau Pinang buat pertama kali dan yakin ia bakal mendapat sambutan serta mungkin dijadikan acara tahunan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Hotel G, George Town baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah MSNPP, Mohamed Akbar Mustapha berkata, penyertaan terbuka kepada organisasi, kumpulan atau individu sebelum 19 November ini di pejabat MSN negeri, Batu Uban.

“Pendaftaran penyertaan juga boleh dibuat di Jabatan Belia dan Sukan Negeri, pejabat Nestle Pulau Pinang dan di Majlis Perbandaran Pulau Pinang,” ujarnya

94 total views, no views today