Botak masalah keturunan




ke 01.1 Botak masalah keturunan


Bagi individu yang berpegang kepada konsep rambut mahkota wanita, mereka pasti ghairah untuk memiliki rambut yang sihat dengan gaya terkini.

Menjawab masalah keguguran rambut tersebut, Presiden Persatuan Sains Rambut Malaysia, Dr. Steven Chow berkata, menjaga rambut tidak cukup dengan hanya bersyampu tiga kali seminggu.

Jelas beliau, kulit kepala juga memerlukan perapian dan vitamin yang cukup untuk kekal sihat tanpa sebarang masalah seperti kegatalan, kelemumur dan jangkitan kuman.

“Ramai pihak beranggapan silap memilih syampu, pengambilan serbuk perasa (monosodium glutamate) dalam masakan serta faktor penuaan sebagai sebab utama keguguran rambut, namun itu hanya penyebab sampingan.

“Realitinya, tekanan (stress) dalam kerjaya atau kehidupan menjadi pencetus kepada masalah keguguran rambut yang serius terutama membabitkan golongan lelaki,” jelas Steven.

ke 01.2 Botak masalah keturunan

MASALAH botak bukan hanya terhad kepada lelaki tetapi wanita turut mengalami fenomena sama.

Genetik

Menurut beliau, pola keguguran rambut lelaki (MPHL) yang biasa terjadi pada kaum Adam sering dikaitkan dengan faktor genetik.

“Mungkin ramai tidak menyangka botak tiada kaitan dengan faktor genetik, tetapi hakikatnya, keturunan kerap menjadi punca keguguran rambut.

“Ia boleh diwarisi daripada sebelah ibu atau bapa dan boleh berlaku terhadap lelaki ataupun wanita. Kedua-duanya cenderung untuk mewarisi gen botak,” ujar Steven.

Akibat daripada warisan gen rambut gugur tersebut, individu terlibat berisiko tinggi untuk berdepan masalah keguguran rambut yang mampu menipiskan rambut namun tidak semuanya berakhir dengan botak.

Namun, keadaan yang dikenali sebagai androgenetic alopeciaini boleh bermula pada usia belasan tahun, 20-an atau 30-an.

Dalam satu kajian jelas Steven, hampir 50 peratus anak-anak kepada lelaki atau wanita botak akan mewarisi gen tersebut.

“MPHL terjadi secara berperingkat-peringkat. Masalah itu bermula dari kawasan tengah kepala, ia mampu merebak hingga ke seluruh kepala. Ramai lelaki memilih untuk berdiam diri dan tidak berasa ia satu keperluan untuk berjumpa dengan doktor hanya kerana masalah rambut semakin menipis.

“Malah, lebih 80 peratus lelaki tidak tahu apa itu MPHL dan menganggap ia berlaku kerana faktor usia sedangkan masalah ini tidak akan melarat jika dirawat daripada awal,” katanya.

Steven menyarankan individu yang mengalami MPHL mendapatkan rawatan berkesan dengan menangani punca asas masalah tersebut.

Masalah keguguran rambut yang berisiko terjadi kepada setiap orang berkenaan turut mendorong ramai penyelidik untuk tampil menjalankan kajian.

Antaranya, beberapa ahli akademik dari dua universiti di Jerman iaitu Universiti Bonn dan Universiti Dusseldorf menjalankan kajian mengenainya. Mereka mendapati gen botak sememangnya diwarisi.

ke 01.3 Botak masalah keturunan

SELEBRITI Britney Spears membotakkan kepala kerana ingin membuat kejutan manakala Syarifah Amani membotakkan rambut untuk memenuhi kehendak skrip filem yang dilakonkannya.


Gelembung berair

Sekumpulan penyelidik di Victoria, Australia mendapati, keguguran rambut di bahagian tengah dan hadapan kepala meningkat selari mengikut usia. Ia memberi kesan sehingga 57 peratus wanita dan 73.5 peratus kepada lelaki yang berusia 80 tahun ke atas.

Laman sesawang Perpustakaan Medem Medical turut melaporkan, kira-kira 40 juta lelaki di Amerika Syarikat berdepan dengan masalah MPHL.

Menurut laman tersebut, seorang daripada empat lelaki mulai botak pada usia 30 tahun, dua pertiga mulai botak pada usia 60 tahun ke atas. Tambah laman itu, nisbah untuk mendapat gen botak adalah empat dalam setiap tujuh orang.

Selain tekanan dan faktor genetik, faktor pemakanan tidak seimbang, penyakit tiroid, masalah sistem imunisasi, pengambilan dadah atau ubat-ubatan tertentu, kurang penjagaan rambut, trauma dan jangkitan kulit kepala boleh menyumbang kepada keguguran rambut dan botak.

Pertumbuhan rambut individu dewasa yang dipengaruhi oleh hormon seks iaitu androgen boleh mengalami fasa pertumbuhan di antara dua hingga enam tahun dengan kepanjangan kira-kira 0.35 milimeter (mm) sehari. Selepas fasa tersebut, proses pertumbuhan akan berehat untuk beberapa bulan.

Rambut yang sihat dan normal memiliki beberapa ciri khas seperti berkilat, mudah lentur, tidak mudah patah dan boleh menyerap air.

Keguguran rambut di antara 50 hingga 100 helai sehari adalah normal namun jika ia tidak dipantau, keguguran mungkin akan menjadi lebih serius lebih-lebih lagi jika individu tersebut berada dalam kelompok berisiko tinggi untuk botak.

Jika terdedah kepada persekitaran kotor dan berhabuk, kulit kepala yang sering gatal boleh mendapat jangkitan kuman atau alahan kepada bahan kimia.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, ruam akan timbul dan bagi kes serius, gelembung berisi air kesan daripada radang kulit akan terbentuk. Pada peringkat ini, individu tersebut boleh mengalami kebotakan serius.

ke 01.4 Botak masalah keturunan

RAMBUT palsu sering menjadi pilihan terutamanya membabitkan wanita dalam menyembunyikan masalah rambut masing-masing.

Sementara itu, Ketua Trikologi Pusat Rambut Svenson, Teo Kim Teik berpendapat. untuk mendapatkan rambut yang sihat, amalan mengambil makanan seimbang sangat penting.

“Meninggalkan diet secara keterlaluan boleh menyebabkan keguguran kerana hampir 90 peratus komponen rambut terdiri daripada protein.

“Diet yang tidak sihat dan kurang mengambil protein akan menjadikan rambut lemah dan mudah gugur. Banyakkan pengambilan zat seperti kalsium dan zink kerana ia boleh menyihatkan rambut,” katanya.

Penjagaan kebersihan dan kesihatan rambut juga tidak boleh diabaikan. Rutin bersyampu sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan pemilihan sikat yang sesuai mampu mengurangkan risiko keguguran rambut.

/// kosmo ///

157 total views, 3 views today

Selalu bosan boleh pendek umur




LONDON: Ada kemungkinan seseorang cenderung mati lebih awal jika mereka sentiasa hidup dalam kebosanan.

Annie Britton dan Martin Shipley dari Universiti College London berkata, kebosanan sendiri tidak membunuh tetapi ia mungkin tanda kepada risiko tabiat lain seperti minum, merokok, mengambil dadah atau masalah psikologi.

Penyelidik menganalisis soalan yang dilengkapkan antara 1985 dan 1988 membabitkan lebih 7,500 pekerja awam London berusia 35 hingga 55 tahun. Mereka ditanya jika mereka merasa bosan di tempat kerja.

Britton dan Shipley kemudian menjejaki bilangan mereka yang mati sehingga April 2009. Mereka yang melaporkan rasa bosan lebih dua kali didapati mati akibat masalah jantung berbanding mereka yang tidak melaporkan rasa bosan.

Pakar lain berpendapat, kaitan antara kebosanan dan meningkatnya masalah jantung adalah berkemungkinan walaupun tidak secara langsung.

“Seseorang yang bosan mungkin tidak bermotivasi untuk makan dengan baik, bersenam dan menjalani gaya hidup sihat. Itu mungkin menjadikan mereka lebih berisiko mendapat masalah kardiovaskular,” kata Dr Christopher Cannon, profesor madya perubatan di Universiti Harvard. ? AP

-bharian

85 total views, no views today

Tekanan TEKNOLOGI komputer

Apa yang perlu anda lakukan untuk menangani masalah komputer atau shutter kamera lembap atau akses internet perlahan yang meresahkan?

in 02.1 Tekanan TEKNOLOGI komputer

FAKTOR seperti kualiti talian telefon di rumah juga memainkan peranan terhadap kualiti kelajuan internet. – Gambar hiasan


PERCAYA atau tidak, perkara yang sering menyebabkan stres atau tekanan ketika menggunakan aplikasi teknologi adalah masalah yang kecil dan remeh-temeh, tetapi ada kalanya cukup membuatkan kita hilang sabar?

Kelajuan sering dijadikan ukuran dalam membandingkan keupayaan sesuatu teknologi. Unit pemproses berpusat (CPU), jalur lebar serta kemampuan kamera mengambil gambar sering dijadikan topik perbualan setiap kali teknologi ini dibincangkan.

* Komputer lembap

Terdapat beberapa punca yang membawa kepada permasalahan ini, mengikut penerangan yang dibuat dalam laman web Microsoft. Sebagai contoh, fail-fail yang disimpan dalam komputer anda tidak tersusun, terdapat bermacam-macam perisian yang dimuatkan ke dalam komputer dan terlalu banyak program yang dijalankan serentak sewaktu komputer dihidupkan.

Penyelesaian

Langkah pertama bagi mengembalikan semula prestasi komputer ialah dengan membuangkan program yang tidak perlu. Ia bukan sekadar memakan ruang simpanan komputer malah turut menyebabkan komputer anda memakan masa lebih panjang untuk dihidupkan sepenuhnya.

Klik pada butang Start dan klik pada Control Panel. Kemudian, klik pada ikon Add or Remove Programs. Lihat pada senarai program yang terdapat pada komputer dan pilih program yang tidak dikehendaki lagi. Klik pada butang Remove dan ikuti arahan seterusnya bagi membuang program ini.

Satu kaedah lagi untuk mengurangkan ruang storan ialah dengan menggunakan fungsi yang sedia terdapat pada sistem operasi Windows. Klik pada butang Start, pilih All Programs. Klik pada Accessories dan kemudian pilih System Tools. Anda boleh memilih Disk Cleanup atau Disk Defragmenter bagi memadatkan fail-fail dan mengurangkan penggunaan storan.

Anda juga boleh mengurangkan jumlah program yang dilancarkan sewaktu komputer dihidupkan. Bagi melakukan ini, klik pada butang Start. Kemudian klik pada ikon Run. Taipkan arahan ‘msconfig‘ dan klik Ok. Selepas itu, pilih pada Startup dan pastikan kotak untuk program berkenaan tidak ditandakan. Bagaimanapun, anda masih boleh melancarkan program tersebut secara manual.

* Akses internet perlahan

Tidak banyak yang dapat dilakukan apabila masalah ini berlaku, tambahan lagi jika anda merupakan pengguna akses jalur lebar yang sepatutnya memberikan kelajuan yang memuaskan. Namun, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kita merasakan pengalaman melayari internet tidak banyak bezanya dengan menggunakan modem 56k 10 tahun lalu.

Penyelesaian

Kita tidak mempunyai kuasa kawalan sebenar terhadap akses internet. Sekiranya anda dapati kelajuan internet di rumah tidak seperti yang dijanjikan (contoh: Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) menawarkan pakej 1Mbps, tetapi anda mendapati kelajuan sebenar hanyalah 700Kbps, buat aduan terhadap kepincangan perkhidmatan ini kepada pihak ISP). Anda boleh mendapatkan laporan kelajuan internet anda daripada pihak ketiga seperti di www.testmy.net atau di www.2wire.com.

Harus diingatkan, faktor seperti kualiti talian telefon di rumah juga memainkan peranan terhadap kualiti kelajuan internet. Talian telefon yang telah berusia lazimnya mempunyai kualiti yang menurun berbanding dengan talian yang baru dipasang.

Sekiranya, talian telefon anda berbunyi bising ketika anda menggunakan telefon sewaktu talian jalur lebar anda digunakan, berkemungkinan terdapat masalah pada talian telefon anda. Anda boleh membuat laporan kepada pihak Telekom bagi mendapatkan gantian kabel telefon.

* Shutter kamera perlahan

Kereta F1 yang dipandu Raikkonen mula memasuki laluan hadapan tempat anda menonton, tetapi sebaik butang ditekan ia mengambil sedikit masa sebelum imej berjaya diambil. Namun saat itu, kereta yang dipandu oleh pemandu kesukaan anda telah pun terlepas dan kamera gagal mengambil gambarnya.

Apabila butang mengambil gambar ditekan pada kamera digital, isyarat dihantar bagi membuka shutter mekanikal bagi membolehkan sensor mengesan kehadiran cahaya yang kemudiannya akan dicas dengan elektron dan seterusnya merakam imej. Imej ini bagaimanapun perlu dihantar kepada unit pemproses imej bagi tujuan pemprosesan dan storan. Ini berlaku apabila anda melihat imej yang dirakam pada skrin kamera. Tempoh yang diambil untuk memproses ini walaupun hanya sekitar 0.5 hingga 1 saat, namun cukup untuk menyebabkan anda terlepas saat yang ingin dirakamkan.

Penyelesaian

Tekan dengan perlahan butang mengambil gambar sebelum saat yang anda ingin rakamkan itu berlaku. Ini akan membolehkan kamera bersedia untuk membuat rakaman. Pilihan lain ialah dengan mendapatkan kamera Digital SLR. Kamera jenis ini walaupun lebih mahal tetapi mempunyai shutter mekanikal dan pemproses imej yang lebih laju dan boleh mengurangkan masa pemprosesan.

Sumber:kosmo

76 total views, no views today