Tag Archives: teknologi digital

Tonton, rekod secara HD




me 01.1 Tonton, rekod secara HD

Rohana Rozhan (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan (kanan) pada pelancaran Astro B.yond PVR di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEBAGAI peneraju dalam pengendalian perkhidmatan televisyen satelit berbayar, Astro sentiasa berusaha mencari ruang mempertingkatkan operasi penyiarannya.

Hadir pada tahun 1996, syarikat tersebut telah membawa dimensi baru dalam aktiviti tontonan televisyen rakyat Malaysia melalui pengenalan transmisi program menggunakan Terminal Multimedia Digital (DMT).

Meneruskan kecemerlangan itu, tahun lalu sekali lagi syarikat berkenaan membawa inovasi terkini dalam industri penyiaran melalui paparan rancangan televisyen berformat definisi tinggi (HD).

Perkhidmatan yang ditawarkan menerusi platform Astro B.yond itu telah memberi peluang kepada penonton menikmati program seperti sukan, filem dan dokumentari dalam resolusi HD.

Tidak terhenti setakat itu, fasa perkhidmatan Astro B.yond terus diperkembangkan melalui pengenalan aplikasi canggih terbaru iaitu Astro B.yond dengan fungsi perakam video peribadi (PVR).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, perkhidmatan berkenaan bakal menawarkan pengalaman tontonan yang lebih selesa, bebas dan fleksibel.

”Kini, penonton boleh menikmati program kegemaran pada bila-bila masa mengikut waktu terluang dan yang paling penting mereka tidak akan terlepas mana-mana rancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Astro B.yond PVR di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Astro B.yond PVR yang masih mengekalkan kualiti siaran HD didatangkan dengan keupayaan empat fungsi interaktif utama iaitu merakam, mengulang, memberhenti dan memain semula.

Untuk tujuan menyimpan program yang telah direkod, Dekoder Astro B.yond PVR didatangkan bersama ruang storan binaan dalam bersaiz 500 gigabit (GB).

Kapasiti tersebut berkeupayaan menyimpan sehingga 290 jam rakaman berformat definisi standard (SD) dan 100 jam untuk HD.

Menarik mengenai Astro B.yond PVR, ia didatangkan dengan ciri penalaan berkembar yang membolehkan proses rakaman dibuat pada dua saluran secara serentak pada masa yang sama.

Di samping itu, ia juga membenarkan penonton menonton sesebuah rancangan siaran langsung dan pada masa yang sama mereka boleh merakam program di saluran lain.

Untuk memudahkan penonton menguruskan rancangan-rancangan yang telah dirakam dan memeriksa kapasiti memori yang tinggal, dekoder Astro B.yond PVR dilengkapi aplikasi perancang (planner) sebagai rujukan.

Bagi pengguna yang telah memiliki dekoder Astro B.yond sebelum ini, mereka masih boleh menjalankan operasi rakaman dengan hanya mendapatkan cakera keras binaan luar Western Digital (WD) My Passport bersaiz 320GB berharga RM299 dari mana-mana pusat komputer.

Berbeza dengan Astro B.yond PVR, operasi rakaman pada Astro B.yond hanya menyokong fungsi rakaman satu saluran sahaja pada satu-satu masa.

Astro B.yond PVR didatangkan bersama pakej satu unit dekoder, satu unit cakera penerimaan isyarat luar, kad pintar, alat kawalan jauh dan kabel antara muka multimedia berdefinisi tinggi (HDMI).

Kos pemasangan sebanyak RM400 akan dikenakan atau RM300 jika pelanggan memulangkan set unit dekoder Astro yang lama.

Selain itu, kos rakaman bulanan juga akan dicaj sebanyak RM10 untuk Astro B.yond PVR dan RM5 untuk Astro B.yond.

Pada masa akan datang, Asrto bercadang untuk menawarkan aplikasi video atas permintaan (VOD) dan sambungan televisyen protokol Internet (IPTV) pada Astro B.yond PVR.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini boleh diperolehi menerusi laman web www.astro.com.my/byond atau hubungi 1-300-82-3838.

-utusanmalaysia

Abadikan momen indah




in 02.1 Abadikan momen indah

PILIHAN warna yang pelbagai memberikan rasa yang lebih segar.


MALAYSIA mempunyai banyak perayaan dan hari cuti yang wajar dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik.

Sudah pasti setiap percutian itu wajar dirakamkan agar ia mampu menjadi kenangan indah.

Kehadiran rangkaian lapan model kamkoder baru oleh Panasonic bertepatan dengan masanya kerana dengan reka bentuk kompak, bergaya serta mempunyai ciri-ciri rakaman mudah, sesiapa sahaja mampu menggunakannya tanpa sebarang kesulitan.

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn. Bhd., Tony Endoh berkata, rangkaian kamkoder berdefinisi tinggi (HD) memaparkan tiga model kompak dan bergaya iaitu model HDC-HS60, HDC-TM60 dan HDC-SD60. Ia sesuai untuk penggunaan yang mudah tanpa menjejaskan kualiti HD.

in 02.2 Abadikan momen indah

MODEL HDC-SD60 salah sebuah kamkoder berdefinisi tinggi.


Selain itu katanya, lima kamkoder berdefinisi standard (SD) iaitu SDR-H95, SDR-H85, SDR-S50, SDR-T55 dan SDR-T50 direka mudah alih dengan ketahanan tinggi dan mempunyai ciri-ciri yang mengagumkan untuk membantu merakam video kualiti dengan mudah seperti mod aktif untuk fungsi penstabil imej optikal.

“Barisan model kamkoder dengan SD untuk tahun 2010 sesuai untuk kesemua pengguna kerana ia menawarkan reka bentuk yang kompak, bergaya dan serba boleh termasuk keupayaan zoom, rakaman mudah, muat naik dan ulang tayang mudah.

“Ciri-ciri kesemua model ini memberi pengalaman rakaman video yang mudah dan menyeronokkan,” tambahnya. Buat masa ini Panasonic masih belum menetapkan harga sebenar kamkoder tersebut.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Panasonic Malaysia, Siaw Yee Yen berkata, model kamkoder dengan SD tersebut direka untuk kemudahan dibawa ke mana-mana, tahan lasak dan berprestasi tinggi.

“Kamkoder ini mungkin bersaiz kecil tetapi mempunyai ciri-ciri yang menakjubkan, antaranya 33mm sudut lebar dan 78x zoom ultra berkuasa yang memberikan kebebasan merakam video pada jarak jauh atau dekat.

“Model-model ini juga mempunyai ciri-ciri untuk membantu kualiti rakaman lebih mudah, termasuk mod aktif untuk penstabil imej optikal lanjutan yang boleh membantu mengurangkan efek kabur walaupun zoom dipanjangkan atau apabila pengguna sedang bergerak,” katanya.

in 02.3 Abadikan momen indah

MOD penstabil imej optikal lanjutan membantu mengelakkan imej kabur ketika zoom dipanjangkan.



Selain itu, model SDR-H85, merakam pada cakera padat 80 GB atau pada kad memori SDXC, SDHC atau SD.

“Model SDR-T50 (4 GB) atau T55 (8 GB) menyimpan imej dalam memori sedia ada atau pada kad memori SDXC, SDHC, atau SD. Model SDR-S50 pula menggunakan media rakaman kad memori SDXC, SDHC atau SD,” katanya.

Sementara itu katanya, tiga kamkoder definisi tinggi 1080p pula bersesuaian dengan format kad memori SDXC baru kerana ia memberi kapasiti lebih besar dan kelajuan lebih pantas berbanding kad lain yang berada di pasaran.

“Tiga model kamkoder HD penuh mempunyai reka bentuk yang kompak dan bergaya dengan 35x zoom dan lensa sudut lebar iaitu HDC-HS60, HDC-TM60 dan HDC-SD60 dengan resolusi 1920 x 1080.

“Ia merupakan resolusi standard yang paling tinggi dalam pasaran kamkoder HD, sekaligus memberi keseronokkan rakaman video,” katanya.

Kad memori

SDXC merupakan kad memori SD generasi baru, dengan tahap lebih tinggi untuk menyimpan data dari 32 GB sehingga dua terabait.

Menurut Yee Yen, kad memori SDXC 64 GB Panasonic mempunyai kapasiti 64 GB yang sangat ideal untuk rakaman video berdefinisi tinggi, video biasa atau gambar biasa.

“Kad memori SDXC 64 GB boleh merakam video dalam mod HA (kualiti video tertinggi) sehingga 8 jam 30 minit apabila digunakan dengan kamkoder terbaru HDC-TM55,” katanya.

-kosmo

Definisi SL90 LG




LG Electronic turut memperkenalkan tujuh lagi televisyen LCD LED pada tahun ini.

in 04.1 Definisi SL90 LG

KEHADIRANNYA dalam kediaman menjadikan segalanya kelihatan bergaya.

PENGALAMAN baru dunia televisyen berskrin cecair kristal yang menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (TV LCD LED) boleh dirasai pada paparan TV LCD LED Digital SL90.

Model SL90 keluaran LG Electronic menampilkan reka bentuk moden dengan menggunakan teknik Injection Compression Molding (ICM) merupakan salah satu televisyen ternipis di dunia.

Teknik ICM itu menghasilkan permukaan berupa kaca, hampir-hampir menyingkirkan ruang antara skrin dan permukaan tepi sekali gus amat sesuai dengan gaya hidup moden rakyat Malaysia.

Televisyen moden nipis ini juga dilengkapi dengan lampu sorot LED untuk menghasilkan nisbah kontras dinamik tinggi sebanyak 3,000,000:1 bagi kualiti gambar yang sempurna dan meningkatkan piksel warna halus.

Ia adalah untuk memastikan pengguna yang menonton televisyen tersebut seolah-olah mengalami pengalaman sebenar ketika menyaksikan rancangan serta filem kegemaran mereka.

in 04.2 Definisi SL90 LG

PANDANGAN sisi yang mempesonakan.


Selain itu, skrin antisilau 1080 berdefinisi tinggi penuh yang terdapat pada televisyen ini mampu mengurangkan bayangan kerana ia diterap dengan teknologi TruMotion 100Hz untuk menawarkan kejelasan mengagumkan.

Bagi penggemar muzik dan ingin melihat gambar dari telefon bimbit melalui skrin lebih besar kemudahan canggih Bluetooth juga disediakan untuk mereka. Sistem audio SL90 membantu keterujaan tontonan kerana dilengkapi speaker ‘halimunan’ khas berkualiti tinggi.

Tidak perlu lagi bimbang tentang aspek tenaga. Model ini lebih mesra alam dengan menggunakan teknologi penjimatan tambahan tenaga pintar (Smart Energy Saving) yang mampu menjimatkan sehingga 70 peratus penggunaan tenaga.

Pengurus Besar Jualan LG Electronic, Chee Khay Huat berkata, beliau yakin dengan prospek pasaran TV LCD LED di Malaysia pada 2010 lantaran trend itu sejajar dengan peningkatan gaya hidup moden di kalangan rakyat negara ini.

in 04.3 Definisi SL90 LG

BIARPUN nipis, SL90 dilengkapi pembesar suara tersembunyi dengan kualiti audio memuaskan.


“Kita juga mengambil kira peningkatan permintaan bagi kediaman apartmen dan kondominium, sudah tentu pemilik kediaman ini mahukan transformasi bagi hiburan rumah. LG Electronic kini menguasai 22 peratus TV LCD dan menyumbang 10 peratus kepada jualan hiburan di rumah,” katanya.

Beliau juga menambah, LG Electronic akan memperkenalkan tujuh lagi TV LCD LED pada tahun ini bagi memastikan setiap isi rumah di Malaysia berpeluang menggunakannya. Katanya, dua lagi TV terbaru itu akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini termasuk TV bersaiz 72 inci.

“Kepelbagaian siri bagi TV LCD LED ini adalah strategi pemasaran LG Electronic untuk memastikan produk kami mampu dibeli oleh semua golongan termasuk pelanggan yang berpendapatan rendah,” ujar beliau.

Pengenalan produk itu dijangka membantu LG Electronic mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak RM800 juta pada tahun ini berbanding RM600 juta pada 2009.

Selain itu, tambah Chee, ia juga bakal memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama utama hiburan di rumah di kalangan pengguna Malaysia. Ia sekali gus membolehkan LG Electronic melonjakkan kedudukannya di tempat kedua utama dalam menguasai pasaran tersebut.

Model TV LCD LED Digital SL90 ditawarkan pada dua saiz iaitu 42 dan 47 inci, masing-masing pada harga RM7,499 dan RM10,999.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk terbaru ini pengguna boleh melayari laman sesawang http://www.lge.com.my, http://www.lgblog.com.my atau www.lgborderless.com -

-kosmo