TOKYO 29 Julai – Robot yang mampu berbual, mencari cermin mata yang tersalah letak, melukis kapal terbang dan bermain dengan kanak-kanak adalah antara tarikan utama dalam satu ekspo di Tokyo ketika Jepun semakin mengalami perubahan dalam masyarakat.
Robot seperti Chapit yang sensitif kepada bunyi, mampu menjawab soalan mudah malah berjenaka bagi mengurangkan rasa sunyi di kalangan warga emas.
“Ramai golongan berumur di Jepun yang tinggal seorang diri dan tidak ada sesiapa berbicara dengan mereka.
“Robot komunikasi boleh menjadi teman dan tidak kisah jika mendengar cerita yang sama berulangkali,” kata wakil penganjur ekspo, Kazuya Kitamura.
Chapit yang merupakan robot ringkas, berjaya menarik minat rakan korporat, ramai penyelidik seperti Profesor Kiyoshi Matsumoto dari Universiti Tokyo mahu mendapatkan lebih ramai penaja untuk projek lebih mahal.
‘Personal Mobility Robot’ rekaannya yang dilengkapi empat kamera dan pengesan pusat graviti seseorang, dapat membantu warga emas bergerak tanpa perlu menekan butang, joystick atau memutar roda seperti kerusi roda biasa.
Robot ini juga mampu mencari cermin mata yang diletak merata-rata dengan menggunakan pengesan.
Satu lagi robot, DiGRO’ dicipta untuk membantu ibu bapa yang sibuk dan tidak sempat bermain dengan anak-anak.
Ia boleh mencari imej mudah di Internet dan melukis gambar, menemani anak-anak ketika ibu bapa bekerja. – REUTERS
KERANA boleh duduk, anda juga boleh membawa barang apabila menaiki U3-X.
BAGI mereka yang biasa menghadiri simposium atau persidangan ke Amerika Syarikat (AS), anda tentu pernah terserempak dengan lelaki beruniform yang mengawal simposium itu dengan menaiki kenderaan unik dikenali sebagai Segway.
Segway merupakan kenderaan roda dua yang dijana menggunakan bateri dan penunggang perlu berdiri ketika menaiki kenderaan yang berfungsi seperti basikal atau scooter ini.
Bagaimanapun, cara operasinya agak berbeza iaitu penunggang hanya perlu mencondongkan badannya ke hadapan untuk menggerakkan Segway ke hadapan dan mengiring ke kiri dan kanan untuk membelok.
Segway telah berjaya mendapat sambutan mengalakkan bagi pengangkutan di dalam bangunan seperti mengawal kawasan pusat dagangan, jabatan polis, pangkalan tentera, gudang, kampus korporat dan juga sebagai kenderaan pelancong di sesetengah negara Eropah.
Di atas kejayaan Segway, maka pelbagai syarikat kini turut cuba membangunkan kenderaan pengangkutan peribadi yang mungkin menjadi pilihan pengguna di masa depan.
Honda misalnya, baru-baru ini memperkenalkan kenderaan prototaip dikenali sebagai Sistem Pergerakan Peribadi U3-X yang seakan fungsi seperti Segway tetapi hanya menggunakan satu roda dan mempunyai tempat duduk.
Kenderaan ini tentu sesuai digunakan oleh mereka yang malas untuk berdiri seperti diperlukan oleh Segway. Ia juga tentu lebih stabil daripada scooter elektrik yang kini digunakan oleh sesetengah orang dewasa untuk bersiar di taman atau ke surau.
Bagi orang-orang tua, badut, orang gemuk dan semput bila berjalan jauh, U3-X adalah pilihan terbaik untuk mereka.
Kenderaan itu mampu bergerak selaju enam kilometer sejam (km/j) dan dengan beratnya hanya 10 kilogram, pengguna dengan mudah boleh membawanya menaiki bas, diletakkan di belakang bonet kereta atau dibawa berjalan.
Teknologi Asimo
Jika dicaj sepenuhnya, U3-X boleh digunakan selama sejam dan ia menggunakan beberapa teknologi robot Asimo dari Honda untuk mengimbangi kenderaan itu dan penunggangnya.
Honda menyatakan, syarikatnya mencipta alat itu untuk membantu golongan berumur tetapi golongan itu mempunyai banyak pilihan sekarang kerana telah banyak robot pendukung manusia sedang dicipta seperti Beruang Robot.
Honda juga berharap U3-X mampu bersaing dengan alat pengangkutan peribadi Winglet dengan dua roda yang diperkenalkan oleh Toyota dua tahun lepas.
Winglet juga merupakan scooter dua roda yang fungsinya hampir sama dengan Segway dan U3-X dengan kemampuan bergerak selaju 6 km/j iaitu sama dengan kelajuan U3-X. Bagaimanapun, ia tetap jauh berbeza dengan kelajuan Segway iaitu 20 km/j.
Honda telah menjalankan penyelidikan dalam bidang robotik sejak 1986 dan peralatan bergerak sejak 1999. Hasil kajian telah digunakan untuk pembangunan robot humanoid Asimo dan sebahagian daripada teknologi itu digunakan untuk U3-X.
Selain itu, Honda juga mempertingkatkan teknologi pemotorannya dengan memperkenalkan motosikal konsep 3R-C di Geneva, baru-baru ini yang melambangkan teknologi motosikal masa depan.
3R-C mempunyai penutup kecil yang melindungi tempat duduk penunggang ketika berhenti dan menjadi cermin pelindung angin ketika bergerak.
Maka di masa depan, kenderaan berkuasa elektrik akan menguasai jalan raya dan juga tempat laluan pejalan kaki kerana manusia ketika itu mungkin juga sudah lupa bagaimana untuk melakukan senaman cara mudah dan tanpa kos – iaitu berjalan.
PEMANASAN global yang melanda dunia pada hari ini membuatkan gergasi permotoran antarabangsa berlumba-lumba mengeluarkan kenderaan mesra alam untuk menarik pelanggan-pelanggan hari ini.
Strategi itu tidak terkecuali bagi syarikat permotoran gergasi Jepun, Honda Motor Co. apabila memperkenalkan prototaip skuter elektrik baru yang diberi nama EV-neo bagi membantu mengurangkan pengeluaran asap beracun.
Skuter elektrik berkenaan yang dijana kuasa bateri ion litium menyamai prestasi enjin petrol 50 unit sentimeter padu (cc) tanpa bunyi bising dan mampu bergerak sehingga 30 kilometer (km).
Honda mempromosikan skuter itu sebagai senyap, bersih dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat menggunakan karbon rendah semasa memperkenalkan prototaip jentera dua tayar tersebut di kemudahan penyelidikannya di Tokyo baru-baru ini.
Seorang jurucakap syarikat berkenaan berkata, Honda bercadang untuk memajak skuter tersebut kepada syarikat-syarikat Jepun bermula pada bulan Disember ini tanpa mendedahkan harga dan sasaran produk itu.
EV-neo amat sesuai untuk digunakan syarikat-syarikat penghantaran surat khabar atau makanan segera.
Imej grafik dikeluarkan oleh JAXA kelmarin merakamkan satelit Ikaros ketika berada di angkasa lepas. – AFP
TOKYO 28 April – Jepun akan melancarkan ‘kapal layar angkasa’ yang digerakkan oleh partikel solar, demikian menurut agensi angkasa negara ini hari ini.
Roket yang membawa Ikaros atau singkatan kepada Interplanetary Kite-craft Accelerated by Radiation of the Sun berbentuk layang-layang itu, akan berlepas dari pusat angkasa Tanegashima di selatan Jepun pada 18 Mei ini.
“Ikaros adalah ‘kapal layar angkasa’ yang bergerak mengikut tekanan partikel cahaya matahari yang mengenai layarnya,” kata pakar sistem angkasa di Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA), Yuichi Tsuda.
Layar fleksibel itu yang lebih nipis daripada rambut manusia akan dilengkapi dengan sel solar yang menaja elektrik, sekali gus mewujudkan ‘teknologi hibrid elektrik dan tekanan’.
Ikaros yang melibatkan belanja sebanyak 1.5 bilion yen (RM51 juta) akan menyaksikan penggunaan pertama teknologi baru itu di angkasa dengan JAXA merancang untuk mengawal laluannya dengan mengubah sudut partikel cahaya matahari yang mengenai layarnya.
Namanya menyerupai watak mitologi Greek, Icarus yang terbang terlalu dekat dengan matahari dan jatuh ke dalam laut.
Roket yang sama akan digunakan untuk melancarkan satelit pertama Jepun ke planet Venus, yang dikenali sebagai Akatsuki atau PLANET-C, sebuah satelit yang dihantar lebih awal oleh Agensi Angkasa Lepas Eropah. – AFP
SYARIKAT elektronik gergasi Jepun, Toshiba telah memperkenalkan model protaip telefon bimbit yang dikuasakan oleh bateri sel bahan bakar metanol (DMFC). Turut diperkenalkan ialah katrij metanol untuk cas semula.
Model prototaip itu telah dipamerkan dalam pertunjukan elektronik terbesar CEATEC di Chiba, pinggir Tokyo, Jepun.
Pengecas bateri untuk telefon bimbit itu juga boleh digunakan untuk peranti-peranti elektronik yang laun. Ia mempunyai kapasiti masa operasi dua kali ganda berbanding bateri ion litium biasa.