Tag Archives: teknologi maklumat

Panduan guna Internet secara selamat




me 03.1 Panduan guna Internet secara selamat

Aspek keselamatan dalam penggunaan Internet kini semakin menjadi penting.-Gambar hiasan


INTERNET atau rangkaian komputer awam merupakan satu tempat yang sangat popular digunakan untuk mencari sebarang maklumat atau melakukan pelbagai transaksi dan aktiviti seharian seperti jual beli, perbankan, permohonan, semakan dan pelbagai lagi.

Teknologi Internet ini dibina dengan kaedah protokol rangkaian TCP/IP secara eksperimental oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan di Amerika.

Tujuannya adalah untuk merangkaikan komputer secara fleksibel dan mudah tanpa mengambil kira aspek keselamatan bagi kaedah tersebut.

Dengan itu, Internet merupakan satu alat yang sangat popular, mudah dan murah digunakan untuk membuat aktiviti-aktiviti tertentu.

Namun begitu, dari segi keselamatannya ia agak longgar dan tidak terjamin kecuali pengaksesan Internet itu dibuat dengan cara-cara tertentu untuk tujuan keselamatan.

Di sini dibincangkan beberapa cara yang boleh dipraktikkan secara umum untuk akses kepada teknologi Internet secara selamat.

Secara umumnya, tidak mengira apa jenis aplikasi yang dipakai menerusi Internet, data dan transaksinya perlulah dienkripsikan kerana berkemungkinan besar.

Data-data yang diakses menerusi Internet ini boleh dicapai dengan mudah sebelum ia sampai ke destinasinya.

Jadi, sekiranya ia dapat dicapai, data-data yang dienkripsikan tadi adalah dalam bentuk yang tidak bermakna.

Penceroboh perlu melakukan pecah masuk ke dalam sistem enkripsi data itu terlebih dahulu untuk dia mengetahui apa yang terkandung dalam data-data atau paket-paket tersebut.

Sekiranya data-data atau paket-paket tersebut tidak dienkripsi, segala kandungan dan maklumat yang diperolehi oleh penceroboh tersebut adalah dalam bentuk yang nyata dan jelas.

Sebagai contoh, sekiranya ia dapat kata laluan, By32u2 , itulah data yang penceroboh itu akan dapat.

Isu keselamatan dalam capaian Internet boleh ditangani dengan tiga faktor iaitu polisi atau undang-undang, pendidikan dan perimeter atau teknikal.

Perbincangan ini akan melihat isu keselamatan capaian Internet dari segi teknikal atau perimeternya.

Kompromi akaun perbankan Internet Pengguna Servis komunikasi dan log in dalam Internet yang menggunakan protokol HTTP untuk melayari web, protokol POP3/SMTP dan IMAP untuk e-mel, protokol TELNET untuk capaian sistem komputer daripada komputer lain dan protokol FTP untuk pemindahan fail tidak dienkrip.

Ini bermakna data atau paket yang dihantar dan diterima adalah dalam bentuk teks yang nyata atau clear text.

Jadi, untuk melayari atau masuk atau log in ke dalam laman web yang sensitif terutamanya yang melibatkan transaksi wang, pastikan laman web tersebut menggunakan protokol HTTPS/SSL.

Protokol Secure Socket Layer atau SSL ini akan enkrip data yang terlibat dengan tanda-tanda seperti berikut:-

lAlamat URL web tersebut akan dimulai dengan https:// dan tidak http://.

lPelayar web pula akan melihatkan ikon kunci mangga atau ruang alamat web akan berwarna hijau atau tanda-tanda yang lain.

Penggunaan aplikasi capaian e-mel atau client seperti Outlook dan Thunderbird yang menggunakan protokol-protokol e-mel yang tidak selamat perlu ditambah baik dengan menyertakan sekali dengan protokol keselamatan SSL yang akan mengenkrip sambungan e-mel tersebut.

Namun begitu, penggunaan protokol enkrip ini perlu disokong atau dibenargunakan oleh konfigurasi pada komputer pelayan e-mel tersebut.

Sekiranya begitu, keadaannya dan sistem e-mel itu menyokong akses menerusi web, capaian e-mel boleh dibuat menerusi web dengan menggunakan protokol keselamatan HTTPS/SSL.

Bagi kemasukan ke dalam sistem komputer secara jarak jauh daripada komputer lain menerusi Internet, elakkan penggunaan aplikasi yang menggunakan protokol TELNET.

Gunakan aplikasi untuk kemudahan ini yang berupaya menggunakan protokol keselamatan SSH atau Secure Shell.

Pemindahan fail menerusi Internet seperti muat turun dan muat naik sesebuah fail adalah mudah menggunakan aplikasi FTP tetapi ia tidak selamat kerana data atau fail tersebut tidak dienkrip.

Penyelesaiannya, gunalah aplikasi pemindahan fail menerusi Internet ini yang menyokong protokol keselamatan seperti protokol SSH, SSL with FTP atau SFTP dan SCP.

Namun begitu, penggunaan protokol keselamatan dalam aplikasi pemindahan fail ini perlu disokong oleh komputer pelanggan dan komputer pelayan.

Kemudahan capaian teknologi Internet memberi banyak manfaat kepada manusia untuk menjalankan aktiviti seharian. Namun begitu, secara lalainya atau default ia tidak selamat kerana sejarah pembinaannya adalah untuk kemudahan sambungan di antara komputer-komputer tanpa memikirkan isu keselamatan.

Penggunaan apa sahaja aplikasi Internet secara selamat memerlukan penggunaan protokol-protokol keselamatan seperti SSL, SSH, IPSec dan lain-lain.

Ini kerana, protokol-protokol keselamatan ini akan enkrip data-data, paket-paket dan sambungan daripada komputer anda ke komputer lain menerusi sambungan rangkaian awam ini atau Internet.

Teknologi Internet generasi baru yang menggunakan protokol IPv6, meletakkan protokol keselamatan di dalamnya sebagai sesuatu keutamaan dalam capaiannya.

/// utusanmalaysia ///

Robot kampung




me 01.1 Robot kampung

PENCIPTA robot berkelulusan sekolah rendah ini telah mencipta 47 jenis robot, termasuk robot penarik lanca ini yang disifatkannya sebagai anak yang ke-31.



Jika kita berbangga dengan Zulkifli Haron yang juga dikenali sebagai ‘McGyver Malaysia’ kerana berjaya mencipta pelbagai peralatan canggih daripada bahan-bahan yang murah, negara China juga mempunyai seorang pencipta yang gemar mencipta robotnya sendiri.

Wu Yulu, 49, seorang petani yang tinggal di pinggir bandar Beijing, boleh dianggap hebat kerana telah mengabdikan hidupnya untuk mencipta robot-robot dengan hanya menggunakan bahan-bahan terbuang.

Sejak kecil lagi, Yulu begitu obses dengan pergerakan mekanikal dan beliau sentiasa ingin menggerakkan mesin agar mampu berjalan seperti manusia.

Nama Yulu sememangnya telah terkenal dalam dunia penciptaan robot di negaranya kerana beliau telah mencipta sebanyak 47 buah robot yang boleh melakukan pelbagai tugasan.

Antara kemampuan robot-robotnya ialah berjalan, melompat, menuangkan teh kepada tetamu, mencucuh rokok untuk perokok, mengurut dan juga melukis gambar.

Yulu yang kini sedang menyertai Ekspo Dunia Shanghai berkata, beliau mula mencipta dan membina robot-robotnya sendiri sejak 1986.

Pencipta robot yang hanya berkelulusan sekolah rendah ini mengaku yang ketaksubannya kepada penciptaan robot merupakan satu cabaran dalam kehidupan berkeluarga.

Misalnya, isterinya pernah mengugut untuk meninggalkannya bersama dua anak kerana membelanjakan hampir kesemua wang yang ada untuk membina robot.

Seperti kebanyakan pencipta robot lain, Yulu juga menghadapi pelbagai masalah ketika proses ciptaan seperti bateri meletup, hidup berhutang dan hampir membakar rumahnya apabila salah satu robotnya menyebabkan litar pintas.

Bagaimanapun, beliau berharap penyertaannya bersama robot-robot yang dianggap sebagai anaknya di dalam Ekspo Dunia kali ini akan memberi sinar baru dalam kehidupan dan juga dunia penciptaan.

Yulu akan mempamerkan lebih 30 jenis robotnya sepanjang ekspo itu yang berlangsung selama enam bulan.

Pencipta ini juga semakin diiktiraf ciptaan-ciptaannya termasuk menerima hadiah dan kontrak dari universiti-universiti di negara itu.

“Saya semakin popular sekarang. Walaupun saya telah melakukan kesemua kerja-kerja ini sejak 20 tahun lalu tetapi setiap tahun akan lebih ramai orang yang menyedari mengenai kehadiran robot-robot saya,” kata Yulu.

“Dalam ekspo ini, saya menerima pengiktirafan daripada setiap orang. Saya mewakili kesemua petani dan ia merupakan satu kebanggaan,” tambahnya.

Yulu memulakan karier penciptaannya dengan membuat peralatan-peralatan untuk membantunya di ladang seperti menukarkan basikalnya menjadi mesin membenih.

Kemudian beliau terus mencipta pelbagai jenis robot dengan pelbagai fungsi seperti projeknya yang terkini iaitu membina sebuah robot yang mampu mengurut.

“Saya mahu membina lebih banyak robot yang mampu membantu manusia. Saya juga telah mereka bentuk robot yang mampu memotong daging bagi membantu kerja-kerja di dapur,” katanya yang bercita-cita untuk membawa ciptaannya ke Britain.

Lelaki ini sememangnya mengakui yang beliau boleh dikatakan lebih mencintai robot-robot ciptaannya berbanding anak sendiri.

Beliau yang menganggap robot penarik lancanya sebagai anak ke-31 dan memprogramkan android itu agar boleh berkata: “Wu Yulu ialah bapa saya, saya akan membawanya ke pekan.”

Begitulah hebatnya anak kampung ini yang walaupun hanya tidak berpendidikan tinggi tetapi disebabkan minat dan kreatif, beliau mampu melakukan sesuatu yang mungkin ada menggangap sebagai mustahil.

-utusanmalaysia

Mengumpan mangsa yang lalai




in 01.1 Mengumpan mangsa yang lalai


SERING kita digemparkan dengan kes-kes jenayah siber membabitkan penggodam profesional yang menceroboh laman-laman web kerajaan dan bank-bank bertaraf antarabangsa.

Perbuatan itu mengakibatkan kerugian dan kerosakan, termasuk pindahan wang bernilai jutaan ringgit. Akhirnya, kes-kes berkenaan dilupakan begitu sahaja.

Kes sedemikian seakan-akan tiada kesan jangka panjang kepada sesiapa pun, sedangkan masyarakat seharusnya berasa bimbang. Semua itu boleh bermula dengan pembabitan akaun e-mel peribadi yang sering dilihat sebagai tidak mempunyai nilai.

Jarang kita mendengar laporan mengenai kecurian maklumat peribadi disiarkan media cetak dan elektronik. Isu ini mungkin kecil tetapi kesannya kepada individu amat besar kerana kecurian maklumat peribadi yang dimanipulasi ibarat kecurian maruah yang tidak dapat dikembalikan.

“Akaun peribadi kawan saya diceroboh seseorang dan ia digunakan untuk menghantar e-mel berbentuk lucah kepada teman-teman, rakan sekerja, klien-klien dan majikan kawan saya.

“Kesannya, kawan saya dibuang kerja kerana dituduh sebagai individu tidak beretika dan memalukan organisasi tempatnya bekerja,” ujar Ketua Perunding Pengurusan Perkhidmatan dan Perundingan, HeiTech Managed Services, Kavitha Muthy yang turut menerima e-mel lucah tersebut.

Menurut Kavitha, penggodam tidak semestinya di kalangan mereka yang profesional dan mempunyai pengetahuan teknikal dalam teknologi maklumat. Sesiapa sahaja boleh menjadi penggodam demi melaksanakan niat jahatnya apabila terdesak.

“Hari ini, seorang kanak-kanak juga boleh menjadi penggodam kerana ia sangat mudah dilakukan. Tambahan pula, maklumat mengenai teknik menggodam begitu mudah didapati di Internet.

in 01.2 Mengumpan mangsa yang lalai

KESILAPAN yang kecil boleh membawa banyak perkara buruk kepada mangsa. – Gambar hiasan

“Masyarakat juga perlu tahu, jenayah siber bukan sahaja membabitkan penggodaman komputer, tetapi ia hadir dalam banyak bentuk iaitu penipuan, pencurian identiti, spam, phishing, pencurian data, spyware, malware dan sebagainya,” katanya.

Jelas Kavitha, mangsa boleh terdiri daripada individu mahupun organisasi kecil dan besar. Jejak jenayah itu pula sukar dikesan malah rumit dihentikan setelah terjadi. Ia sekali gus memberikan impak negatif jangka panjang kepada mangsa.

“Penjenayah siber sering memilih laman web yang meniti populariti seperti laman web membeli belah, perbankan, serta laman-laman lain yang sering meminta data peribadi dan maklumat kewangan dengan tujuan menipu pengguna.

“Selain itu, dengan populariti diraih laman web Facebook dan Twitter, risiko untuk berlaku kecurian maklumat peribadi, gambar-gambar dan video amat tinggi apatah lagi penggunanya dilihat amat mudah mendedahkan maklumat masing-masing,” katanya.

Etika siber

“Untuk mengelakkan diri menjadi mangsa, terlebih dahulu kita perlu faham apakah jenayah siber, dan bagaimana ia mampu memperdayakan kita.

“Dalam erti kata lain, seseorang itu mesti mempunyai etika siber kerana melaluinya, kita mampu meminimumkan kesannya dengan mengajar diri sendiri dan orang lain mengenai penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab,” jelas Kavitha.

in 01.3 Mengumpan mangsa yang lalai

PENGGUNA Internet dinasihatkan agar berwaspada atau berfikir dahulu sebelum mendedahkan maklumat peribadi di ruang maya.

Menurut Kavitha, setiap pengguna Internet mesti melaksanakan etika siber yang baik termasuk memahami risiko perlakuan tidak bertanggungjawab dan mempelajari kaedah melindungi diri sendiri dan pengguna lain daripada terjebak.

“Kita sering melihat permasalahan akibat jenayah siber yang dilakukan individu tertentu yang paling kita percayai.

“Kepercayaan hanya boleh wujud melalui perkahwinan, politik, perniagaan dan persahabatan tetapi tidak melalui Internet. Pastikan sumber yang diperolehi disiasat dan disahkan sebelum kita memberi apa-apa maklumat,” tegasnya.

Selain itu katanya, pengguna juga perlu melabur untuk membeli program antivirus yang baik, mengemas kini kata laluan, belajar untuk membuat kata laluan yang selamat serta tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali serta meletakkan firewall.

“Pilihan perisian keselamatan terlalu banyak di pasaran tetapi itu tidak menghapuskan risiko digodam. Seperti produk-produk pengguna lain, perisian antivirus ada yang baik, sederhana dan kurang bagus.

“Pengguna mesti bijak memilih sesuatu produk daripada pelbagai penyedia program sama ada dikenali, kurang dikenali atau baru dalam pasaran mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

in 01.4 Mengumpan mangsa yang lalai

KAVITHA mengajak orang ramai memahami jenayah siber dan mengajar diri serta orang lain tentang penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab.



Tambahnya, program antivirus sahaja tidak cukup kerana pengguna mesti meletakkan keselamatan pada satu tahap lebih tinggi, iaitu dengan meletakkan firewall, perlindungan identiti dan sebagainya.

“Keselamatan siber bermula dari rumah dan kesedaran itu mengikut kita ke mana-mana sahaja termasuk di tempat kerja. Ia adalah tanggungjawab setiap orang yang menyentuh papan kekunci,” katanya.

Laporan kes

Menurut CyberSecurity Malaysia, sebanyak 4,000 kes jenayah siber dilaporkan di Malaysia sejak dua tahun lalu.

Pada 23 Februari lalu, ZDNet Asia pula melaporkan 75 peratus responden di rantau ini mengatakan sistem mereka diceroboh penjenayah siber pada tahun 2009.

Ia didahului oleh New Zealand dengan 100 peratus responden dimengaku diceroboh, diikuti Australia (82 peratus), Jepun (76 peratus), Hong Kong (75 peratus), Singapura (66 peratus) dan Malaysia (50 peratus), berdasarkan kes yang dilaporkan.

Dalam pada itu, maklumat terkini melalui MyCert.org.my, orang ramai diminta berwaspada dengan kemungkinan penggodam memuat turun dan memasang perisian yang tidak sah kepada sistem pengguna yang menggunakan Adobe Download Manager.

Ia dilakukan dengan menipu pengguna supaya mengikut tautan tertentu atau melawat laman web ‘jahat’. Majoriti perisian Adobe Acrobat dan Adobe Reader terdedah kepada risiko berkenaan.

Statistik mengenai jenayah siber serta maklumat terkini berkaitan isu keselamatan siber boleh dilihat melalui laman web MyCert.org.my.

-kosmo

Komputer riba generasi baru




Komputer riba Lenovo menjadikan pengalaman melihat gambar, mendengar muzik, bermain permainan komputer dan membaca e-Book lebih menarik.

in 02.1 Komputer riba generasi baru

SEORANG model, Sim Mei Fen memperagakan komputer baru jenama Lenovo di One World Hotel, Damansara baru-baru ini.


DENGAN pengalaman hampir dua dekad di dalam industri teknologi, komunikasi dan maklumat, adalah sesuatu yang mustahil jika keempat-empat produk komputer peribadi keluaran Lenovo untuk 2010 tidak menepati cita rasa pengguna yang menantikan kemunculan generasi baru komputer riba mahupun komputer yang serba canggih.

Bermula dengan IdeaPad S10-3t dan S10-3, generasi komputer riba (netbook) itu tampil penuh gaya dan kaya dengan ciri-ciri multimedia yang menggabungkan portabiliti selain merupakan peneraju teknologi dalam kalangan kategori komputer riba masa kini.

Menurut Pengurus Siaran Pengedaran Perniagaan Pelanggan Lenovo Malaysia, Yap Hui Hui, S10-3t adalah yang pertama seumpamanya memiliki aplikasi skrin sentuh menjadikan pengalaman penggunaannya berada pada tahap paling optimum.

“Melalui respon Lenovo NaturalTouch ini segala-galanya hanya di hujung jari sahaja,” kata Hui Hui.

Pengguna akan menikmati pengalaman menakjubkan apabila skrin dengan lebar 25.4 sentimeter (sm) inci tersebut boleh dipusing sehingga 180 darjah dan boleh dilipat sekali gus menjadikannya tablet sentuh yang lebih praktikal untuk digunakan di mana-mana sahaja.

“Dengan pelengkap ciri Prosesor Intel Atom N450 dan simpanan 250 gigabit HDD, IdeaPad S10-3t dan S10-3 menawarkan pengalaman audio yang hebat di samping pembesar suara stereo dan audio fon kepala Dolby.

“Kedua-dua ciri komputer riba ini juga disertakan dengan Maplife, iaitu perisian yang mampu mengesan kedudukan lokasi dan sistem perlindungan aktif yang mampu melindungi cakera padat sekiranya komputer riba terjatuh,” jelas beliau.

Harga Lenovo IdeaPad S10-3 ialah RM1,399 manakala Lenovo IdeaPad S10-3t ialah RM1,899.

Lenovo G460 mengimbangi antara fungsi dan kemampuan pengguna. Ia dilengkapi dengan prosesor Intel Core baru dengan teknologi Intel Turbo Boost dan mempunyai memori sehingga 8GB DDR3 serta simpanan 500 gigabit HDD.

in 02.2 Komputer riba generasi baru

KOMPUTER riba S10-3t tampil penuh gaya dan kaya dengan ciri-ciri multimedia.


Pengurus Produk Komputer Meja Pelanggan Asean, Lenovo Malaysia, Jimmy Chin memberitahu, Lenovo G460 mempunyai kelebaran skrin 35 sm 16:9 dengan lampu latar LED Definisi Tinggi (HD).

“Ia juga datang dengan sokongan grafik HD dan sambungan HDMI yang membenarkan pengguna untuk merasai pengalaman multimedia yang ceria dan segar.

“Dengan pengalaman yang dipertingkatkan Lenovo bersama perisian Windows 7, pengguna dapat melakukan proses pembukaan, daftar masuk dan penutupan menjadi lebih pantas, selain sistem selenggara yang lebih mudah,” katanya.

Antara ciri lain Lenovo G460 adalah ia disertakan dengan Lenovo Energy Management 5.0 yang memanjangkan jangka hayat bateri dan kurang bunyi bising melalui kawalan kipas yang dinamik.

“Model ini juga hadir dengan sistem OneKey Rescue iaitu sandaran dokumen satu sentuhan, alat memperbaiki dan pemulihan dan pengenalan wajah VeriFace, yang mempercepatkan proses login dan keluar,” katanya mengenai produk yang berharga RM2,249 itu.

Selain itu, IdeaCentre B500 tidak kurang hebatnya kerana ia menyediakan tahap persembahan yang tinggi – semua dalam satu dan pengalaman hiburan paling hebat dengan ruang memori luas.

in 02.3 Komputer riba generasi baru

KOMPUTER riba IdeaCentre B500 menyediakan ruang memori yang luas.


“Model ini dilengkapi dengan Prosesor Intel Core 2 Quad, diskrit grafik berkuasa dan ruang memori sehingga 1 terabit HDD yang membolehkan ia menjadi pilihan pertama bagi mereka yang gilakan permainan komputer dan pengguna multimedia.

“Dengan kelebaran skrin sehingga 58 sm, berdefinisi tinggi dan pembesar suara JBL-brand yang berkualiti serta bersepadu, ia dapat memberi kepuasan maksimum,” katanya.

Komputer peribadi itu turut disertakan dengan tuner televisyen yang membenarkan ia menerima transmisi TV dan CamSuite iaitu alat yang membolehkan pengguna berada di tengah-tengah fokus kamera web.

“IdeaCentre B500 dijual pada harga RM3,669,” katanya.

-kosmo

Rumah sains alam maya




Anda berminat bidang sains tetapi masih tercari-cari laman web yang menarik? Layarilah www.newscientist.com.

gk 04.1 Rumah sains alam maya


INGIN melihat bagaimana evolusi spesies haiwan cimpanzi dan lengkap bersama foto-foto menarik? Jika anda bukan pencinta haiwan tetapi meminati pelbagai jenis gajet dan teknologi baru seperti perkembangan dunia telefon bimbit, teknologi laser atau aeroangkasa, laman web www.newscientist.com menyediakan pelbagai maklumat sains menarik untuk dikongsi bersama.

Pada muka utamanya dibahagikan beberapa kolum utama seperti angkasa lepas, teknologi, persekitaran, kesihatan, gaya hidup, fizik, matematik dan sains.

Turut dipaparkan pada muka utama berita-berita terbaru dunia sains daripada isu berkaitan teknologi, penemuan baru sehinggalah masalah kesihatan.

gk 04.2 Rumah sains alam maya

DAPATKAN berita-berita menarik mengenai dunia sains, teknologi dan gajet menerusi laman web NewScientist.

Jika anda merasakan tajuk-tajuk bahan bacaan yang diberikan terlalu banyak, anda boleh mencuba kolum tajuk-tajuk bacaan yang paling banyak dilayari. Ia akan memudah dan menjimatkan masa anda kerana kebiasaannya tajuk-tajuk bacaan paling popular adalah bahan yang paling menarik.

Tidak ketinggalan www.newscientist.com memaparkan sudut video di mana pembaca yang ingin melihat rakaman video boleh menekan butang main. Antara topik terbaru yang dipaparkan ialah teknologi berkaitan robotik.

Dengan melayari laman itu segala yang ingin anda ketahui mengenai sains boleh didapati hanya dengan klik di hujung jari.

-kosmo