SEKALI pandang, telefon bimbit pintar terbaru keluaran Samsung ini mempunyai saiz dan reka bentuk kosmetik seakan-akan iPhone.
Namun dari segi fungsi, model Galaxy S GT-I9000 itu mempunyai aplikasi serta fungsi selularnya yang tersendiri.

Menurut Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics, Yu Jai Sul, pembangunan inovasi lengkap Galaxy S itu bakal menawarkan pengguna aplikasi hiburan serta komunikasi lebih cemerlang dan efektif.
“Ia merupakan fasa pembaharuan dalam pembangunan telefon bimbit pintar ke peringkat yang lebih baik.
“Kami yakin, integrasi servis mobiliti yang ditampilkan pada model ini akan diterima baik oleh para pengguna di seluruh negara,” jelasnya.
Samsung Galaxy S dipacu menggunakan pemproses Android 1GHz sebagai piawaian standard bagi tawaran operasi pintar.
Untuk fungsi paparan pula, ia dilengkapi skrin Super AMOLED bersaiz empat inci, mempunyai kualiti definisi tinggi (HD) serta dibangunkan dengan teknologi enjin Imej Natural Digital Mobiliti (mDNIe) sama seperti yang terdapat pada binaan televisyen LCD dan LED.
Dengan kelebihan tersebut, pengguna akan dapat menikmati pengalaman tontonan video, foto, e-book dan pelayaran Internet dengan lebih sempurna.
Tidak cukup dengan itu, Galaxy S juga dilengkapi papan kekunci Swype sentuhan pantas selain berupaya mengintegrasikan senarai nombor telefon, emel, rakan-rakan dalam rangkaian sosial dan kalendar aktiviti secara serentak.
Fungsi multimedianya pula dilengkapi ciri antara muka intuitif TouchWiz 3.0, perkhidmatan pelayaran Internet mobiliti menerusi Google seperti Pencarian Google, Gmail dan Peta Google serta boleh memuat turun lebih daripada 50,000 aplikasi menerusi platform Android Market dan Samsung Apps.
Sebagai strategi pemasaran lebih baik, Samsung telah bekerjasama dengan operator telekomunikasi Maxis Berhad (Maxis) untuk menawarkan pakej pemilikan Samsung Galaxy S yang lebih kompetitif.
Menerusi pakej itu, Samsung Galaxy S boleh diperolehi daripada 28 Pusat Maxis seluruh Malaysia pada harga serendah RM1,699 dengan pelan Maxis Value Plus.
Maklumat lanjut mengenainya, sila hubungi talian 1-800-821-123 atau lawati laman web www.samsungmobile.com.my/galaxys atau www.maxis.com.my.

