Tag Archives: touchscreen

Pengalaman skrin sentuh kreatif




me 01.1 Pengalaman skrin sentuh kreatif

LG Cookie 3G (LG KM555) menawarkan fungsi hiburan dan akses rangkaian sosial terbaik


ANTARA elemen sofistikated yang semakin banyak ditampilkan pada gajet telefon bimbit pintar hari ini adalah binaan skrin sesentuh moden.

Selain kelihatan ringkas dan bergaya, fungsi tersebut juga menawarkan pengguna kemudahan mengakses pelbagai operasi pada peranti mudah alih mereka.

Mengetengahkan kelebihan itu, syarikat peneraju inovasi komunikasi mobiliti, LG Electronics (LG) baru-baru ini telah memperkenalkan tiga model telefon bimbit terkini yang menampilkan fungsi skrin sentuh lebih seronok dan kreatif.

Model tersebut adalah LG Cookie3G (LG KM555), LG Cookie Plus (LG GS500) dan LG Cookie Fresh (LG GS290).

Ketiga-tiga model dalam rangkaian jenama Cookie itu disempurnakan bersama beberapa kelebihan seperti paparan grafik termaju, aplikasi mobiliti terkini dan pengalaman rangkaian sosial terbaik.

Untuk aktiviti rangkaian sosial, model-model berkenaan dilengkapi aplikasi pintar Social Network Service (SNS) yang menawarkan visual interaktif dalam talian lebih dinamik.

Tidak cukup dengan itu, ia turut menampilkan paparan antara muka pengguna yang lebih unik dan bergaya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LG Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd., Jeff Cheh, penampilan model-model tersebut bakal melengkapkan usaha syarikat itu untuk memberi keseronokan hiburan dan komunikasi di kalangan penggunanya.

“Spesifikasi pada model-model ini dibangunkan sesuai untuk pelbagai peringkat pengguna.

“Walau bagaimanapun, ia masih mengekalkan identiti dan ciri-ciri asal rangkaian telefon bimbit Cookie,” katanya.

LG Cookie3G, LG Cookie Plus dan LG Cookie Fresh kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga masing-masing RM799, RM699, dan RM499.

/// utusanmalaysia ///

Navigasi sentuhan intuitif

me 03.1 Navigasi sentuhan intuitif

GAJET terbaru HTC ini dijangka mampu bersaing di pasaran.


MEMEGANG HTC Magic buat kali pertama tentu membuatkan anda teruja untuk meneroka apakah keistimewaan yang ditawarkan oleh telefon bimbit pintar ini.

Daripada namanya sahaja, ia menggambarkan alat telekomunikasi itu mampu mengetengahkan prestasi luar biasa untuk aplikasi hiburan, multimedia dan juga perhubungan.

Bukan setakat itu, rekaannya yang sofistikated juga bakal menjanjikan pengalaman penerokaan cemerlang yang ditransformasikan daripada teknologi sebelum ini.

Menurut Pengurus Negara HTC Malaysia, SK Wong, implementasi teknologi pada telefon bimbit itu bakal memperluaskan aktiviti pelayaran pengkomputeran sesuai dengan gaya hidup pengguna moden.

“Gaya kompak dan kuasa platform canggih yang diperkenalkan sudah tentu memberi sentuhan ajaib dan kepuasan kepada pengguna,” katanya pada pelancaran HTC Magic di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengetengahkan sesuatu yang baru, model berkenaan kali ini didatangkan dengan pemproses Qualcomm MSM7200A 528 Mhz dan sistem operasi Android.

Dari segi paparannya, ia menawarkan skrin TFT-LCD sentuhan sensitif 3.2 inci bersama resolusi HVGA 320 x 480.

Bagi memastikan pengguna sentiasa dikemaskinikan dengan kemasukan e-mel peribadi atau pejabat mereka, telefon bimbit ini disempurnakan dengan sistem pengurusan akaun emel mudah.

Ia merangkumi sokongan kotak mel pelbagai Microsoft Exchange Server yang diselaraskan bersama kalendar dan senarai nombor kontak.

Fungsi multimedianya juga mempunyai keistimewaan tersendiri menerusi tawaran kamera pemfokusan automatik 3.2 megapiksel serta peningkatan prestasi rakaman video yang boleh di hantar terus ke laman web YouTube.

Menerusi butang bebola trek kawalan pula, segala aplikasi pada telefon bimbit itu dapat digerakkan dengan mudah dan lancar.

Selain itu, untuk memastikan kemudahan navigasi pelayaran Internet secara mobiliti, gajet ini turut dilengkapkan bersama fungsi putaran skrin automatik.

Kelebihan lainnya, ia dilengkapi antena sistem penentu kedudukan global (GPS) binaan dalam, pendail pintar, sambungan Bluetooth 2.0, Wi-Fi dan USB mini 11 pin.

Menawarkan kesempurnaan fungsi untuk tujuan tugasan dan kegunaan peribadi, HTC Magic didatangkan dengan pakej rangkaian telekomunikasi daripada Celcom.

Untuk itu, ia kini boleh diperolehi melalui cawangan kedai Blue Cube yang mengambil bahagian dengan tawaran harga RM2,699 bersama memori kad microSD lapan gigabait (GB).

-utusanmalaysia




Acer lancar gajet terkini

me 02.1 Acer lancar gajet terkini

Kemasan mewah pastinya satu daya penarik keluaran Acer ini.


PENGELUAR komputer ketiga terbesar dunia, Smart Handheld Business Group of Acer Inc. melancarkan satu rangkaian telefon pintar terkini selepas dilancarkan di Barcelona, Sepanyol awal tahun ini.

Gajet berkenaan telah berada di pasaran dan boleh di dapati di wakil penjual Acer iaitu Ace Mobile Group Sdn. Bhd.

Gajet berkenaan mewakili arah strategik Acer untuk menceburkan diri dalam pasaran mobiliti dengan penyelesaian Internet Mudah Alih mencapai 20 juta pengguna bagi lebih 100 buah negara.

Direka khusus bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi gajet yang semakin canggih dan ini merupakan isyarat bagi Acer.

Disasar bagi ahli perniagaan dan penggemar teknologi, Acer Smart Handheld direka khusus bagi memberikan keselesaan bagi kegunaan peribadi dan profesional.

Naib Presiden Smart Handheld Business Group APAC Acer Inc., Roger Yuen berkata, Acer menduduki pasaran teratas bagi netbook dan tempat kedua bagi komputer riba menjadikan Acer pemain penting dalam segmen mudah alih.

“Pelancaran ini merupakan langkah awal bagi Smart Handheld Business Group bagi pasaran Asia Tenggara dan berusaha untuk menjadi salah satu syarikat yang bergerak maju dalam pasaran mudah alih,” katanya semasa majlis pelancaran Acer Smart Handhelds di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Ace Mobile Group Sdn Bhd, CK Yong berkata, pihaknya amat teruja dengan hubungan strategik yang telah lama terjalin antara pihaknya dengan Acer bagi memasarkan produk Smart Handhelds Business Group di negara ini.

“Ini hanya satu permulaan dan banyak lagi produk yang menarik dan canggih akan dilancarkan selepas ini,” katanya.

Model ACER DX900 dengan harga RM1,999 menawarkan fungsi dua kad SIM bagi membenarkan pengguna yang mahukan perbezaan antara peribadi dan perniagaan.

Manakala ACER DX650 dengan harga RM1,599 memberikan dua rekaan antara muka bagi keselesaan pengguna yang mahukan kedua-dua skrin sentuh dan papan kekunci yang mudah untuk dikendalikan.

Bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan pelbagai kecanggihan tanpa membawa pelbagai gajet, mereka boleh memilih ACER X960 yang berharga RM1,899 yang kecil dan kompak bagi pelbagai kegunaan.

Dua model lain ACER F900 dan ACER M900 dibangunkan bagi mereka yang gemar melayari Internet di mana saja mereka berada.

Model F900 direka dengan papan kekunci mudah guna dan boleh memaparkan lebih maklumat di skrin bagi menawarkan pengalaman melayari Internet lebih mudah.

-utusanmalaysia