Tag Archives: wanita islam

Wanita Islam saman Disneyland




lu 05.1 Wanita Islam saman Disneyland

Imane Boudlal


LOS ANGELES 19 Ogos – Seorang wanita Islam memfailkan saman ke atas Disneyland yang didakwa melakukan diskriminasi kerana tidak membenarkannya melayan pelanggan kerana memakai tudung.

Jurucakap kesatuan sekerja UNITE HERE Local 11, Leigh Shelton berkata, Imane Boudlal, 26, beberapa bulan lalu meminta kebenaran majikan di Grand Californian Hotel milik Disneyland untuk memakai tudung semasa bertugas sebagai pelayan.

Jelasnya, disebabkan tiada jawapan diterima, Boudlal memutuskan untuk memakai saja pakaian menutup aurat itu sejak bermulanya Ramadan baru-baru ini.

“Disney memberitahu Boudlal sekiranya dia mahu bekerja sebagai pelayan, hijab tidak boleh dipakai kerana tidak mematuhi cara berpakaian ‘Disney Look’.

“Syarikat kemudian menasihatkan Boudlal enggan membuka tudung, dia boleh bekerja di bahagian belakang yang tidak dilihat orang ataupun pulang saja ke rumah,” kata Shelton dalam satu kenyataan.

Boudlal tidak mahu menuruti syarat tersebut dan membawa kes itu ke Suruhanjaya Kesamaan Peluang AS, agensi persekutuan yang mengendalikan dakwaan diskriminasi di tempat kerja.

“Tawaran mereka meletakkan saya di bahagian belakang adalah memalukan. Mereka seolah mengatakan oleh kerana saya Arab dari Maghribi dan beragama Islam, mereka tidak mahu melihat saya berada di depan,” kata Boudlal dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengarah Eksekutifnya, Ameena Mirza Qazi yang juga peguam kumpulan itu berkata, tiada alasan untuk Disney tidak membenarkan Boudlal memakai tudung di tempat kerja. – AFP

/// utusanmalaysia ///

Denmark mahu larang pakai purdah




COPENHAGEN 20 Jan. – Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen berkata, wanita Islam yang mengenakan pakaian menutup muka seperti burka dan purdah tidak mempunyai tempat di negara itu dan kerajaannya sedang mengkaji untuk menyekat mereka daripada berpakaian sedemikian.

Rasmussen bagaimanapun, tidak menyebut istilah ‘pengharaman’ tetapi menekankan bahawa ia bakal menjadi satu kesalahan undang-undang di negara ini.

“Prinsip kerajaan adalah jelas, pemakaian burka dan purdah adalah sama sekali tidak akan diterima oleh masyarakat di negara ini. Mereka menggambarkan layanan terhadap wanita dan hak kemanusiaan yang sentiasa mendapat tentangan daripada kerajaan Denmark. Malah, kami juga sedang berusaha menentang budaya seperti ini.

“Denmark adalah sebuah negara demokrasi dan rakyatnya lebih gemar melihat muka setiap orang ketika bercakap dengan mereka, tidak kira sama ada di bilik darjah mahupun di pejabat,” ujarnya kepada pemberita.

Katanya, kerajaan berhaluan tengah-kanan pimpinannya sedang membincangkan larangan pemakaian burka dan purdah ini agar ia tidak bercanggah dengan perlembagaan negara Scandinavia itu.

Kenyataan Perdana Menteri itu hadir sehari selepas laporan yang menyebut pemakaian burka adalah sangat jarang dilihat Denmark. Walaupun tiada angka rasmi, namun, dilaporkan kira-kira 100 hingga 200 wanita di Denmark mengenakan burka dan purdah.

Laporan yang ditulis oleh seorang penyelidik dari Universiti Copenhagen itu dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial.

Isu ini telah menimbulkan perdebatan hangat hingga menyebabkan kedua-dua parti gabungan kerajaan berpecah sekali gus menambahkan tekanan kepada parti gabungan kerajaan, Parti Rakyat Denmark.

Menurut laporan itu, kira-kira 100,000 atau 1.9 peratus daripada jumlah penduduk negara itu adalah wanita Islam. Daripada jumlah itu, 15 peratus wanita Islam di negara tersebut mengenakan burka dan purdah.

Hubungan Denmark dan dunia Islam semakin keruh ekoran penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad pada 2005. – AFP

-utusanmalaysia